Sunday, October 12, 2008

MASALAH TIDAK SOLAT, PENYAKIT YANG PERLU DIRAWATI SEGERA.


Solat adalah ibadat terpenting dan asasi dalam syariat Islam. Ibadat pertama yang akan dihisab adalah sembahyang. Kadang kala ada antara kita selalu mengabaikan ibadah wajib ini, belum dikira berapa ramai yang melengah-lengah dan meringan-ringankan solat. Kadangkala Ketayap_putih sendiri lalai terhadap solat. Semoga rencana ini mampu sedikit sebanyak member kesedaran terhadap diri Ketayap_putih dan anda semua.

“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat dan rukuklah kamu semua bersama-sama orang-orang yang rukuk.” (Al-Baqara, 43)

Solat juga disebut sebagai tiang agama sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.,

“Sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya ia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya maka ia telah meruntuhkan agama.” (riwayat Al-Baihaqi)


Apa yang malangnya di akhir zaman ini ramai dikalangan umat Islam yang tidak sembahyang, samaada remaja mahupun orang dewasa, kita bukan tidak tahu tentang kewajiban solat, tetapi kita seringkali memandang mudah terhadap perkara ini.


Ada antara kita menganggap, hidup beragama hanya sekadar beberapa kepercayaan dan melakukan beberapa upacara seperti berkhatan, doa selamat, akad nikah, hari raya dan lain-lain syiar sahaja. Inilah bahagian akhir matlamat gerakan sekular dan Islam liberal, menjadikan umat Islam jauh dari ibadat agama nya sendiri. Kenyataan Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Dungun pada Mei 2006 , berasaskan kepada kajian oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu bahawa lebih 51,000 atau kira-kira 34 peratus daripada 149,000 pelajar tahun dua hingga enam di negeri ini didapati tidak tahu jumlah rakaat setiap solat lima waktu. Betapa kasihannya kita terhadap perkara ini, sedangkan mata pelajaran Pendidikan Islam ada menerapkan bab solat, bukan sahaja solat fardhu, malahan solat sunat juga ada diselitkan di dalam silibus. Lebih daripada itu ia juga sama-sama dipraktikkan dalam Ujian Penilaian Asas Fardhu Ain.

Ini bermakna ada di antara kita yang tidak tahu sembahyang. Dan jika ditanya bilangan yang tidak sembahyang mungkin angkanya sangat menyayat hati. Bilangan remaja ke masjid dan surau terlalu sedikit, mungkin Ketayap_putih juga tergolong dalam golongan yang jarang solat di masjid. Deasa kini kita telah dilalaikan dan dijampi dengan hiburan melulu. Hiburan, nyanyian dan sukan telah mengheret remaja menjauhkan solat dan ilmu Islam. Segala tumpuan, hati, akal dan persaan kita telah dikunci dari mengingati Allah. Na’uzubillahiminzalik.

Dalam mencari penyelesaian kepada isu ini kita tiada pilihan kecuali ibu bapa, guru-guru, rakan sebaya, dan masyarakat mesti memainkan peranan dalam membentuk generasi anak soleh dan solehah.


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,


“Setiap anak dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (bersih), ibu bapanya yang mencorakkan sama ada menjadi yahudi, nasrani atau majusi.”(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Pendidikan solat mestilah dimulakan sejak awal usia lagi. Bermula dari melihat contoh ibubapa mereka bersolat hingga kepada perintah dan larangan, sebagaimana sabda Nabi saw.,

“Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang sejak umurnya tujuh tahun dan apabila berumur 10 tahun, pukullah mereka jika mereka tidak sembahyang.” (Riwayat at-Tirmidzi).

Membiasakan kanak-kanak bersembahyang adalah penting supaya mereka membesar menjadi remaja yang sebati dengan sembahyang. Walaupun bermula dengan mereka tidak memahai apa yang dilakukan dan dibaca, tetapi secara beransur-ansur ditanam kefahaman.


Mendidik anak kecil mendirikan solat memang meletihkan. Samalah seperti kita mengasuh dalam hal-hal lain. Mudah-mudahan setiap titik peluh dan kesabaran kita akan diberi ganjaran oleh Allah. Janganlah kita menjadi seperti sesetengah ibubapa yang amat perihatin tentang persekolahan anak mereka terapi tidak ambil peduli samaada anak mereka pandai sembahyang atau tidak. Jadikanlah mereka insan yang seimbang di dunia dan akhirat.

Jika mendidk anak kecil sudah begitu sukar, apa lagi mendidik remaja yang sudah sarat kepalanya dengan hiburan, sukan, perempuan(bagi lelaki), lelaki (bagi perempuan), kadangkala kita merasakan mereka sudah kebal daripada segala nasihat dan teguran, kalau masuk telinga kiri keluar telinga kanan masih boleh dikira bernasib baik lagi, tetapi kalau tak masuk langsung!?

Bagi golongan remaja, biasanya rakan sebaya memainkan peranan yang amat besar, ajaklah mereka dengan hikmah, jangan lupa iringai dengan doa, moga-moga terbuka hati mereka untuk ke masjid. kerana kalau kita berkeras, inilah jawapan yang bakal kita terima,


“ko ingat ko tu alim sangat ke?”


“aku tau la, ko ingat aku ni bodoh sangat ke?”

“kang aku nak sembahyang, aku sembahyang la, tak payahlah ko nak bising-bising”

“alamak, die da start nak buat kuliah agama la pulak”

“ko kalau nak berceramah, baik ko wat ceramah kat masjid”


Jadi, tepuk dada, tanyalah iman, barulah hati menjawab dengan tulus. Kalau Tanya selera, alamatnya teruslah hanyut dibawa arus dunia. Bagi mereka-mereka yang jarang ke masjid macam Ketayap_putih ni, untuk permulaan datanglah bersolat di masjid sekurang-kurangnya 1 kali sehari, lepas it uterus istiqamah dan tambah pada masa seterusnya, mudah-mudahan ALLAH s.w.t member kekuatan kepada kita.


Sekian daripada Ketayap_putih, selamat beramal.

No comments: