Wednesday, June 1, 2011

HARGA SEBUAH MARUAH

Assalamu'alaikum W.B.T pada semua blogwalkers. Semoga kita semua dalam keadaan sihat dan sejahtera adanya. Agak lama tak mencorat-coret blog usang ni. Ternanti-nanti pawana sakti menyapa jendela perasaan, yang adakalanya lembut membelai dan adakalanya kencang membadai. Aku nak kongsikan bersama perihal maruah... MARUAH... apa itu maruah?

Maruah menurut kamus dewan bermaksud kehormatan atau harga diri. Mahal atau murahnya maruah kita, kitalah yang menentukannya berdasarkan sikap dan tindakan kita masing-masing. Tetai ramai antara kita yang tidak mementingkan penjagaan maruah dalam kehidupan, ada yang menganggap maruah itu sifat kejantanan seorang lelaki atau kewanitaan seorang perempuan, pantang sahaja dicabar, mahu sahaja disahutnya.

Remaja khususnya, tidak mahu menghiraukan nasihat ibu bapa atau orang dewasa, bagi mereka orang dewasa tidak memahami perasaan gelojak jiwa remaja mereka. Kononnya zaman remaja ibu bapa mereka tidak seperti zaman kini yang penuh pancaroba ~ "statement lapok entahpapentah." Perihal inilah yang menyumbang kepada masalah moral yang semakin meruncing. Bukan salah ibu bapa atau orang dewasa yang utama, namun keengganan menuruti nasihat oleh remaja itu sendiri yang patut dipersalahkan. ~"yang kamu fikirkan baik, belum tentu baik untuk kamu.

Keperibadian individu dikelaskan kepada individu Ekstrovert dan Introvert. Individu ekstrovert ialah orang yang berminat terhadap hal yang berlaku di sekitarnya, mampuanyai kualiti hidup, pemikiran dan daya imaginasi yang baik, minat bercampur dengan golongan yang lebih tua untuk mengutip pengalaman. Golongan ini menikmati hidup dengan penuh makna.

Berbeza dengan individu introvert, individu dalam golongan ini suka memusatkan pemikiran dalam dunianya sendiri, biasanya bersifat egois, pemendam, pemarah, syok sendiri dan tidak mementingkan maruah diri, apa yang dilakukan hanyalah kehendak diri dan bukan memikirkan kenyataannya. Golongan ini juga mementingkan kebebasan untuk menentukan apa yang mereka mahu lakukan tanpa mengambilkira pandangan ibu bapa dan masyarakat. Kadangkala individu ini sedar akan kesalahan mereka namun tidak berusaha untuk memperbaikinya.

Maruah bukanlah perkara mainan dan ia menjadi kayu ukur keperibadian seseorang, ia ibarat mahkota diri yang letaknya di atas ruangan akal. Namun ada antara kita yang menjadikannya murah, semurah debu di kaki, tiada harga, tiada nilai. Tiada manusia yang dilahirkan bersifat jahat, tapi manusia itu sendiri mencorakkannya jadi begitu. Maruah diri tak ternilai harganya namun ada yang sanggup menjadikannya tidak bernilai hanya untuk seulas ucapan 'sayang',  selingkar 'kasih', dan sekelumit perhatian insan yang dikenali baru seketika berbanding seluas langit 'kasih' dan laut 'sayang' insan yang bergelar ibu bapa... ibu bapalah yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita kerana mereka mengenali kita sebelum kita dilahirkan ke dunia lagi...Maruah mereka adalah maruah kita...

Semoga perkongsian sedikit ini dapat membuahkan hasil yang lebih dan sarinya terus dirasai berpanjangan...

Sekian...

No comments: