Friday, October 21, 2011

LELAKI OH LELAKI !!!

Assalamu'alaikum W.B.T, Alhamdulillah wa syukurillah atas keizinan-Nya kita berkongsi lagi dalam ruangan Blog Usang ini, terima kasih atas sokongan korang semua kepada seorang sampah seperti aku, atas komen-komen dan perkongsian melalui facebok dan emel. Aku juga berharap perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua demi menuju kehidupan yang lebih baik. Aku pun tak kisah kalau ade yang nak mengutuk aku, sebab apa yang aku kongsikan ni untuk yang nak menerima, yang tak boleh terima, semoga berbahagialah adanya. Aku ni cuma sampah, bukanlah baik sangat pun, baik pun belum tentu sangatnya apatah lagi....


Kalau topik yang lepas mengenai perempuan, topik kali ini pasal lelaki pulak. Aku sebagai seorang lelaki nak jugak berkongsi sesuatu walaupun ada yang benci, ADA AKU KESAH!!! kalau benci pi la baca posting SAMPAH BERBICARA~ JANGAN ADA BENCI... Saja ja aku promote baca posting yg lepas... Get back on track... Apa yang kita nak bincangkan pasal lelaki antaranya ialah peranan lelaki, kelebihan, kelemahan dan penambah baikan... Insyaallah sekadar perkongsian untuk kita semua.


Allah Maha Bijaksana menjadikan makhluk berpasang-pasang; lelaki dan wanita, bumi dan langit, siang dan malam, syaitan dan malaikat, gunung dan lembah, matahari dan bulan, begitulah seterusnya.Banyak hikmah dalam kejadian alam yang perlu direnung dan dijadikan bukti keagungan Allah. Satu contoh dalam kejadian manusia, Allah jadikan wanita bersifat lembut dengan nisbah 9/10 malu dan 1/10 akal, manakala lelaki 9/10 akal dan 1/10 malu.



  1. LELAKI OH LELAKI !!! Atas kelebihan akal inilah, Allah menjadikan kaum lelaki penjaga bagi kaum wanita. Begitu juga dalam apa jua masalah, Allah menyamakan 2 wanita dengan 1 lelaki; contohnya dalam hal penyaksian.Walaupun kurang berakal, namun wanita ada sifat malu. Kerana ada malulah, wanita dipandang mulia. Kalaulah wanita tiada malu, habislah dunia ini. Begitu juga lelaki, meskipun kurang malu namun mereka mempunyai akal yang dapat memikirkan kesan dan sebab-akibat sesuatu perkara. Kalaulah lelaki tiada akal, dunia akan jadi kucar-kacir. 
  2. LELAKI OH LELAKI !!!Begitulah kebijaksanaan Allah untuk menjaga keharmonian alam. Namun apa dah jadi pada masa ini. Wanita sudah tidak ada perasaan malu lagi; bebas bergaul tanpa batas, bebas keluar hingga larut malam. Manakala lelaki pula sudah tidak menggunakan akal lagi malah merosakkannya pula. Fikirkanlah kesan buruk yang akan menimpa masyarakat jika fitrah kejadian ini sudah diabaikan. Wanita yang sepatutnya malu dah tiada malu lagi; lelaki yang sepatutnya berakal dah hilangkan akal mereka. Perempuan dengan gejala dedah; lelaki dengan gejala dadah.Kata orang tua-tua - pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara kini sudah hampir berkubur. Apa tindakan kita sekarang?
  3. LELAKI OH LELAKI !!! Firman Allah di dalam Al-Quran bermaksud: "Kaum lelaki adalah pemimpin kaum wanita". Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa kepimpinan adalah diterajui oleh kaum lelaki; manakala kaum perempuan adalah golongan yang dipimpin. Inilah fitrah atau sunnatullah yang berkuatkuasa dalam kehidupan manusia di dunia ini sepanjang zaman. Dalam ayat lain pula Allah berfirman, bermaksud "Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka." Perintah ini ditujukan kepada kaum lelaki yang menjadi ketua sesebuah keluarga.
  4. LELAKI OH LELAKI !!! Lewat ini pelbagai berita dapat kita peroleh dari media, kejadian rogol, bunuh, pergaduhan, keganasan domestik dan macam-macam lagi. Walaupun banyak faktor dikaitkan dengan gejala keruntuhan akhlak yang berlaku sekarang, namun faktor yang jelas ialah kurang berkesannya peranan yang dimainkan oleh kaum lelaki sebagai ketua yang memimpin ahli-ahli keluarganya. 
  5. LELAKI OH LELAKI !!! Besarnya  tanggungjawab kita sebagai lelaki, malah besar juga janji ganjaran Allah kepada kita. Lelaki seperti manakah kita? Jangan di gudahkan, masih punya ruang perubahan, tak banyak sekurang-kurangnya sedikit, semoga dinilai dan diredhai Allah, bak pepatah inggeris yang telah di'translate' dan diolahkan: Setiap orang jahat punya masa depan, dan setiap orang baik punya masa silam.

JADILAH LELAKI SEPERTI INI

Jadilah seorang lelaki yang beriman,
Yang sentiasa haus dengan ilmu,
Yang sentiasa dahaga akan pahala,
Yang solatnya adalah maruah dirinya,
Yang tidak pernah takut untuk berkata benar,

Jadilah seorang lelaki,
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya,
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya,
Yang sentiasa berbuat kebajikan kerana sifatnya yang penyayang,
Yang mempunyai ramai kawan dan kurangnya lawan.

Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa berbakti kepada orang tua dan keluarga,
Yang bakal menjaga kerukunan rumahtangga,
Yang akan mendidik isteri dan anak-anak mendalami Islam,
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menuju akhirat.

Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa bersedia untuk menjadi imam,
Yang hidup di bawah naungan al-Quran,
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara,
Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya.

Jadilah seorang lelaki,
Yang tidak pernah membazirkan masa,
Tidurnya lena dengan cahaya keimanan,
Bangunnya Subuh penuh kecergasan,
Kerana sehari lagi usianya bertambah kematangan.

Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa mengingati mati,
Yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat,
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibaja dan dijaga,
Agar berputik tunas yang bakal menjaga baka yang baik


Sebagai penutup sayugianya kita kembali kepada dasar Islam untuk mengembalikan martabat lelaki sebagai ketua yang diamanahkan untuk memimpin ahli-ahli keluarga dan kaum wanita amnya.Walaupun kesilapan ini seolah-olah berpunca daripada wanita tetapi sebenarnya adalah berpunca daripada lelaki yang tidak berjaya mentarbiah wanita yang diamanahkan kepadanya...Wallahualam.

Thursday, October 20, 2011

PEREMPUAN....TAK GUNA....!!!

Assalamu'alaikum W.B.T.... cakap banyak tak guna, baca saja!!!
  • PEREMPUAN itu TAK GUNA kain yang nipis untuk membuat bajunya, sehingga terbayang kulitnya. kerana dia tahu bahawa pakaian seperti itu adalah pakaian yang layak dipakai oleh perempuan jalang.
  • PEREMPUAN memang TAK GUNA rantai kaki yang berloceng untuk dililitkan pada kakinya. Rantai ini apabila dipakai walaupun tersembunyi tetap bergemerincing dan menarik perhatian orang lain, lebih-lebih lagi lelaki JAHAT. Dia tahu sekiranya dia memakainya juga, dia telah melanggar larangan Allah dalam ayat 31 surah an-Nur.
  • PEREMPUAN memang TAK GUNA minyak wangi yang semerbak baunya. Wangian begini mempunyai kuasa penyerakan bau yang amat tinggi kerana kadar kemeruwapan yang tinggi. Perempuan yang tidak memakai wangian yang kuat ini tahu bahawa inilah yang dipesan oleh Nabi. Sabda junjungan bahawa wanita yang keluar rumah dengan memakai wangian, adalah seperti pelacur. Bukan tak boleh berwangi-wangi tetapi bersederhanalah.
  • PEREMPUAN itu TAK GUNA kata-kata yang keji, kerana dia tahu sesiapa sahaja yang bercakap perkara keji adalah manusia yang rendah akhlaknya. Lelaki / Perempuan yang menggunakan perkataan yang keji adalah seperti pohon yang rosak tunjangnya / akarnya. dia tahu perumpamaan perkataan yang baik dan buruk dinyatakan dengan jelas dalam ayat 24-26 surah Ibrahim.
  • PEREMPUAN itu TAK GUNA masa berborak untuk mengatakan hal-hal orang disekitarnya (mengumpat), memperkatakan keaiban saudaranya. Kerana dia tahu perbuatan mengumpat adalah seumpama memakan daging saudaranya sendiri. Perihal ini dinyatakan kepada kita dalam firman-Nya ayat 12 surah al-Hujurat.
  • PEREMPUAN itu TAK GUNA tudung sigkat sehingga nyata perbukitan dadanya. Sememangnya ia menjadi tatapan mata lelaki yang terkena panahan syaitan. Dia tahu apabila bertudung dia mesti melabuhkan sehingga menutup alur leher dan tidak nyata bentuk dadanya. Penerangan ada pada ayat 59 dari surah al-Ahzab.
  • PEREMPUAN memang TAK GUNA lenggok bahasa yang menggoda lelaki. Jika bercakap dengan lelaki yang bukan mahramnya, bercakaplah dengan tegas. Jangan biarkan suara lentuk untuk menarik perhatian lelaki yang sakit dalam hatinya. Sememangnya suara perempuan bukanlah aurat, jika aurat maka Allah tidak akan menjadikan perempuan boleh berkata-kata. Bertegaslah dalam percakapan, jangan gunakan suaramu untuk menarik perhatian lelaki sehingga menjadi fitnah buatmu. Bahaya suara wanita yang bercakap dengan gaya membujuk yang boleh mencairkan keegoan lelaki (yang bukan mahramnya) dicatat dalam ayat 32 surah al-Ahzab. Makna ayatnya lebih kurang begini "Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik" 'Tunduk' di sini ditafsirkan sbg berbicara dgn sikap yang boleh menimbulkan keberanian orang untuk bertindak jahat kepada mereka. "Penyakit dalam hati" adalah keinginan seorang lelaki untuk melakukan perbuatan sumbang dengannya seperti berzina. Mengapa? Lelaki sangat mudah tertarik kepada seorang wanita melalui suaranya.
  • PEREMPUAN memang TAK GUNA alat make-up untuk menonjolkan kejelitaannya melainkan di hadapan suaminya sahaja. Adab bersolek (tabarruj) ini amat ditekankan kepada wanita muslim (muslimah) kerana semestinya kecantikannya adalah hak ekslusif yang mesti persembahkan kepada suaminya. Jika ingin keluar bekerja, dia memakai make-up secara bersederhana sahaja sehingga tidak jelas kelihatan pada wajahnya dia bersolek. Jangan bersolek sehingga cantiknya anda sehingga kadang2 wajah anda menjadi seperti hantu. Hendak bergincu? Jika bergincu, pakailah yg tidak menyerlah warnanya..
  • PEREMPUAN TAK GUNA kain tudung yang jarang-jarang seperti jarangnya jala yang digunakan untuk memukat haiwan akuatik. Kerana apabila memakai tudung seperti ini, akan nampak juga bahagian yang sepatutnya ditutup rapi dari pandangan orang lain. Rambut adalah mahkota, tetapi jangan biarkan mahkota itu tidak 'berharga' dengan menayangkannya tanpa sebarang perlindungan. Jika mahkota berharga disimpan dengan rapi di dalam sangkar, dan ditambah pula pengawal untuk menjaga keselamatannya, maka demikian juga dengan rambut wanita. Sangkar itu adalah kain litup yang sempurna dan pengawalnya pula adalah ilmu yang diamalkan oleh anda untk memakainya dengan cara yang terbaik.
* Terima kasih buat respon yang dihantar ke E-mel, inbox facebook dan SMS, bersama kita terus ingat mengingati... dan memberi peringatan... adios~

Tuesday, October 18, 2011

SAMPAH BERBICARA~ JANGAN ADA BENCI

Assalamu'alaikum W.B.T buat semua pengunjung, blog walker mahupun stalker yg tumpang lalu, mengintai, menjengah dan lebih-lebih lagi yang memberi respon pada setiap coretan aku sebelum ini... *lepas ni sape nak komen in private boleh email ke nuekz_86@yahoo.com atau nuekz08@gmail.com . amatlah dialu-alukan... Alhamdulillah sampah ini masih bernyawa dengan jari berkeletak-keletuk di atas papan kekunci mencuri-curi masa senggang di pejabat untuk mencurahkan perasaan sekadar berkongsi dan menanti komen balas sama ada membina mahupun meruntuh motivasi.

Walaupun tajuk kali ini jangan ada benci, aku ada juga berharap ada beberapa individu dalam dunia ni membenci aku. bunyi macam pelik kan? kenapa nak orang benci kat kita, bukankah dibenci itu perkara negatif? biarlah aku menyimpan rahsia ini kemas-kemas sehingga jasad dikandung tanah tanah, budi yang baik dikenang jua... eh! ape aku merepek ni....? hehehe, bukan apa, kadang-kadang dengan membiarkan seseorang membenci kita, kita dapat menilai siapa diri kita sebenarnya dan aku pun tahu aku hanyalah sampah yang eksklusif kerana mempunyai hati dan perasaan.

Sebelum cerita sampah melayang lebih jauh, jom kita layan lagu ni...

Evergreen kan lagu ni? memang layan habis. Hidup ini memang macam ni, ada kala kita tak dapat lari dari sifat benci-membenci, tapi biarlah rasional. Kita digalakkan membenci tindakan yang salah namun bukan membenci individu yang melakukan kesalahan itu kadangkala sekaligus menampakkan kita bersikap prejudis. Prejudis ni menatang ape pulak!? Moh kita periksa daftar kata di Kamus Dewan Edisi ke-4 jap... ia membawa maksud "Rasa suka atau tidak suka yang tidak berasas terhadap sesuatu." Amacam, ada faham?

Kadangkala sikap prejudis ni lahir dari prasangka baik mahupun buruk dan prasangka itu sifatnya was-was dan setiap yang was-was itu datangnya daripada syaitan, syaitan pula musuh manusia jadi masing-masing fahamlah hubung kait perkara ini. *kenyataan ini adalah ilham yang terlintas di minda, tanpa merujuk pada mana-mana pakar ataupun kajian terdahulu... (nama pun sampah, kalau bicara berupa sampah, apa ku kesah!) Apa pula kata anda? jangan lupa respon ke email...hehehe.

Perasaan benci ini sebenarnya boleh merebak umpama wabak, kalau kita memendam benci terhadap seseorang, sehingga suatu masa aura kebencian itu akan menulas ke sekeliling dan bembiaklah rasa benci orang lain terhadap kita. Sebagai contoh, seorang anak membenci kedua ibu bapanya mungkin akan dibenci oleh kawan-kawannya, seorang jiran membenci jirannya mungkin akan dibenci oleh rakan sekerjanya. *contoh dari salah satu artikel Dato' Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah. 

Jadi cara terbaik untuk kita membunuh perasaan benci ialah dengan memaafkan semua orang sebelum kita tidur. Teorinya mudah, jika sebelum tidur kita mencuci muka, memberus gigi, membasuk kaki, *kalau pakej bersugi dan berwudhuk lagi baik. Takkanlah kita tak mahu sertakan aktiviti membersihkan hati dengan memaafkan semua orang? betul tak? kesannya bukan sahaja terhakis rasa benci, malah hati akan rasa lebih tenang.

Antara amalan yang dapat mendinding kita daripada perasaan benci adalah:-
  1. Menjaga solat (serta ibadah-ibadah khusus yang lain)
  2. Sentiasa bersangka baik dengan semua orang (dalam keadaan berwaspada)
  3. Memberikan senyuman ikhlas kepada orang sekeliling
  4. Banyakkan bersedekah
  5. Banyakkan bersabar
  6. Sentiasa bersyukur
  7. Tidak lokek untuk memberi maaf
  8. Ingat mati dan macam-macam lagi...
Bersama-samalah kita menghakis rasa benci supaya dunia yang kita huni ini lebih indah walaupun daripada mata seorang sampah seperti aku. Walaupun aku sampah, aku juga berusaha membunuh perasaan benci kerana aku tetaplah hamba yang hanya punya dua telapak tangan namun berharap dapat menceduk selaut redha sedangkan di pundak kepala letaknya segunung dosa...  

Thursday, October 13, 2011

BICARA KATA BERBAIT LIMA

bicara kata berbait lima,
hati yang rapuh ibarat kaca,
digilap cantik hiasan berharga,
jatuh berderai menghempas rasa,
tinggallah sisa kian tersia...

bicara kata berbait lima,
raja mentadbir itulah hati,
kolamnya rasa bak laut mati,
asam garam penawar ubati,
galaunya kalbu terus menanti...

bicara kata berbait lima,
bayu berpuput membawa khabar,
bersama berita berlagu hambar,
sayang dan kasih tidak tertebar,
pilunya hati berpaut sabar...

bicara kata berbait lima,
terik mentari memancar cahaya,
dari ufuk tak nampak bahaya,
hanya biasan ilusi maya,
tetap menanti bersama percaya,

bicara kata berbait lima,
tampaknya indah dalamnya gundah,
pujangga menutur melagu madah,
sembunyi hati kian menanah,
biarlah redha menunjang tabah...

LUAHAN HATI SEORANG SAMPAH~

Assalamu'alaikum W.B.T buat semua pengunjung blog usang ni, semoga berkeadaan baik-baik hendaknya, blog ni dah naik sama dengan namanya, usang dan suram tanpa ada perkongsian. Posting kali ini sekadar luahan rasa seorang sampah seperti aku yang tak punya tempat meluahkan perasaan selain Allah dan papan kekunci... jadi aku akan biarkan ia terus menari melagukan isi hati dalam blog usang ni...

Sekian lama aku merasakan aku cumalah sampah, kalau mahu dikitar semula, kalau tidak dibuang sahaja. Siapa sahaja, keluarga, sahabat, teman, kenalan, akhirnya memberikan perasaan yang sama. Tidak ada apa yang boleh dibanggakan dari seorang sampah seperti aku, ibarat hidup segan mati tak mahu. Tapi bagi aku, aku ni hidup segan nak mati, tak mati-mati... Aku pasti tiap musibah merupakan kifarah tarbiyyah untuk diri aku sendiri.

Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk menjadi sampah yang tabah. Seringkali aku tersenyum sekadar menutup luka di hati dan kadangkala aku ketawa hanya untuk mengubati kesedihan dalam diri . adakalanya aku melangkah penuh yakin sedangkan perasaan goyah menunggu rebah, bila menangis tak siapa tahu, semuanya kerana aku seorang sampah, kadangkala aku kesal dengan nasib diri... 

Kadangkala aku ini hidup hanya untuk memuaskan kehendak orang lain sedangkan kehendak dan keinginan aku sendiri ku abaikan, untuk apa aku lakukan semua ini sedangkan telah aku pelajari bahawa akhirnya nanti aku hanya seorang sampah dan tak pernah lebih daripada itu. Dan lazimnya seorang sampah seperti aku jangan pula diletakkan sebarang harapan dan sandaran kerana kamu semua lebih mulia daripada aku.

Biarlah selepas ini aku sembunyikan apa jua rasa agar tak terzahir pada siapa pun, niarlah selepas ini, hanya di ruangan ini akan ku tumpahkan segala rasaku, rasa yang tak pernah putus mengharapkan dikurniakan sekeping hati yang tabah menjalani kehidupan sebagai seorang sampah...