Wednesday, August 8, 2012

NUZUL QURAN & AKHIR FASA KE-2 ~ PECUTAN TERAKHIR

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Apa kahabar sahabat pengunjung Blog Usang!? Harap semua semakin sihat dengan berpuasa. Hari ni dah habis hari ke-19 kita berpuasa, pasti banyak yang kita pelajari daripada Ramadhan kali ini kan!? Mudah-mudahan kita semua menjadi graduan yang lebih baik dari satu Ramadhan ke Ramadhan yang lain.


Blog Usang tak berkesempatan nak buat posting berkenaan Nuzul Quran pada 17 Ramadhan yang lepas. Izinkan Blog Usang gabungkan entry Nuzul Quran bersama posting kali ini ya. 
Nuzul Quran atau dalam bahasanya bermaksud 'Turunnya Al-Quran' merupakan tarikh pertama wahyu Quran diturunkan kepada Nabi kita Nabi Muhammad S.A.W. Terdapat percanggahan pendapat berkenaan tarikh Nuzul Quran samaada 17 Ramadhan ataupun pada antara 10 malam terakhir dari bulan Ramadhan. Namun bagi Blog Usang, apa yang lebih penting ialah sejauh mana ia memberi kesan kepada Ramadhan kita.

Hari ini hari ke-19 dari Ramadhan, kalau mengikut tentatifnya, kita seharusnya sudah dapat menghabiskan 19 juzu' daripada Al-Quran. Saya yakin pasti sahabat semua sudah mencapainya atau mungkin lebih daripada itu malah mungkin ada yang sudah masuk juzu' ke-8 untuk kali ke-2 dalam Ramadhan kali ini. Tahniah!!! 

*************************************************************************************
Fasa ke-2 Ramadhan dah pun sampai ke penghujung, kita akan masuk ke fasa terakhir yang di dalamnya ada satu malam yang nilainya sebanding dengan seribu bulan atau lebih kurang 83 tahun, melangkaui kadar usia bia umat Nabi Muhammad. Dah tahap mana usaha kita ya sahabat-sahabat blog usang semua? banyak atau sikit, yang penting biarlah ada usaha ya.
Banyak yang kita boleh lakukan, selain berjemaah tarawih, kita boleh perbanyakkan berzikir, baca quran, qiamullail, memantapkan lagi kualiti puasa, menghidupkan lagi malam-malam ramadhan, perbanyakkan bersedeqah dan banyak lagi. Janganlah pula sepuluh malam terakhir ni kita terlepas usaha mencari Lailatul Qadar kerana kita sibuk mengejar 'Lailatul Kamdar'. Apalah sangat potongan harga sehingga 80% jiga dibandingkan dengan ganjaran sebesar 83 tahun keberkatan.
JOM KITA CUBA! Walau tak dapat jumpa, sekurang-kurangnya kita telah berusaha.  

Thursday, August 2, 2012

SELOKA RAMADHAN



Lafaz bismillah pembuka kata,
Assalamu'alaikum pemula bicara,
Sedikit rencah budaya kita,
Cuma di maya tanpa suara.

Indah nian Ramadhan ini,
Masjid dan surau meriah terisi,
Seloka pantun hiburan kini,
semoga kita ketemu visi.

Bangun lambat sudah kesiangan,
Menyesal tak sahur bukan kepalang,
Cik adik cik abang apa di angan?
Tak kisah ke subuh yang dah ter'tuang'?

Pagi menjelang langkah terorak,
Mencari rezeki di bumi Allah,
Teruja dengan semangan yang marak
Jangan terlupa baca 'Bismillah'.

Rembang mentari terik terasa,
Relung tekak tersayat dahaga,
Setiap detik dibilang masa,
Kuranglah pahala tidak terjaga.

Baik puasa baik yang tidak,
Pulang kerja terkejar-kejar,
Dalam kepala ingin dan hendak,
Memborong sakan di serata bazar.

Mentari berlabuh senja bertamu,
Masa dinanti telahpun tiba,
Juadah berbuka sudah terjamu,
Setiap satu mahu dicuba.

Perut kembung kenyang tak ingat,
Sampai tak larat mengucap syukur,
kehendak nafsu diturut sangat,
mata pun pejam tidur berdengkur.

Jauhi rasa dengki dan iri,
Semoga jiwa menjadi kuat,
Boleh berpuasa sepanjang hari,
Solat sebentar tak mampu buat.

Mulut mengata lidah berdusta,
Apa nak kata sudah terbiasa,
Jaga hati jaga anggota,
Jangan sampai pahala binasa.

Dirudung rasa sangatlah sakit,
Mengharap cahaya menyuluh jalan,
Bacalah Quran walaupun sedikit,
Semoga nanti menjadi amalan.

Bulan Ramadhan pesta ibadah,
Bulan rahmah bulan sadaqah,
Siangnya puasa malamnya meriah,
Doa diangkat maghfirah terlimpah.

Satu malam jadi rebutan,
Itulah namanya Lailatul Qadar,
Tapi kenapa yang penuh 'I Setan'?
Tak kurang juga berjemaah ke 'Kamdar'

Ramadhan tiba setahun sekali,
Penuhi dengan amal dan bakti,
Bersama kita muhasabah diri,
Membersih diri menyuci hati.

"SELAMAT MENJALANI IBADAH RAMADHAN"