Monday, September 23, 2013

TERIMA KASIH ATAS SEGALANYA, MOHON MAAF ATAS SEGALANYA


Assalamu'alaikum Warahmatullah Wabarakatuh... Syukur tak terhingga kepada Allah yang Maha Berkuasa. Alhamdulillah terdetik di benak aku untuk kembali menulis setelah sekian lama sepi, minda terkunci, terbelenggu menanti mati. Hidup ini indah andai jika dugaan dan cabaran hidup kita klasifikasikan sebagai warna dunia. Namun warna-warna suram pastinya menjadikan lukisan hidup kusam dan kelam. Apakah harus kita biarkan warna-warna suram ini terus mendominasi karya agung yang nak kita hasilkan?

Berlalu setengah setahun penuh cerita menganjakkan paradigma setakuk dari yang lama. Permasalahan hidup kadangkala menjerumus aku ke jurang yang dalam dan ada kala mengangkat aku setinggi awan. Pasang surut keimanan meletakkan neraca pertimbangan hati dalam kewarasan akal terumbang ambing. Cuma Allah yang Maha Mengerti, tiada satu pun makhluknya yang tahu tenang dan gelora di dalam hati.

RAHSIA! frasa yang hampir setiap manusia mumaiyyiz mengetahuinya, maksudnya jelas hanya dengan satu perkataan iaitu RAHSIA. Namun sejauh mana kita mengerti kerahsiaan yang ditetapkan kepada kita dalam aturan Allah Azza Wa Jalla. Betapa keterbatasan akal fikiran takkan mampu merungkai walaupun ada yang mengaku pandai namun jelasnya mereka semua hanya mengandai.

Hidup, Mati, Jodoh dan Rezeki merupakan rahsia terbesar dalam hidup. Pemikiran biasa hanya mampu mengungkap hidup dan mati lumrahnya alam, jodoh dan rezeki boleh dicari. Namun jangan kita lupakan semua itu hanya dengan izinnya Allah dan ia sudahpun termaktub dalam ketetapan-Nya. Kita sebagai hamba hanya perlu terus berusaha sebaiknya untuk persediaan ke arah kerahsiaan itu.
Dari sudut pemikiran, alhamdulillah anjakan ini sedikit sebanyak merubah perlakuan dan teknik aku dalam memutuskan satu-satu perkara yang berlaku. Atur langkah lebih berhati-hati, kerana bimbang tersungkur lagi. Jujur kata aku bukanlah manusia berhati kental cuma terkadang kusembunyikan dari pandangan mata-mata yang memandang juga dari telinga-telinga yang mendengar.

Cerita hidup ku memang tak seindah yang aku harapkan... masih tiada pekerjaan tetap, hutang yang masih tak terbayar, hajat yang tidak tertunai... Dulu pernah terfikir mengapa Allah duga aku sehebat ini, bagaikan tak tertanggung rasanya. Syukur Alhamdulillah Allah tarik aku dari aku terus tenggelam dalam sesalnya rasa, dari terpengaruh pada syaitan yang menggoda... Sungguh hidayah-Nya amat mahal tak terbanding dek harta sedunia. 

Benarlah kata-Nya "Allah tidak akan membebani hambanya diluar batas keupayaannya" dan buktinya aku tidak mati kerana dugaan itu sebaliknya aku menjadi semakin hidup kerana janji-Nya yang diulang sebanyak dua kali berturut-turut dalam Surah Al-Insyirah "Bahawasanya pada setiap kesukaran itu berserta dengannya kemudahan" dan aku akan tetap meyakininya kerana Allah tidak pernah memungkiri janji.


Khamis - 1 Julai 2013, seminggu sebelum Umat Islam di Malaysia merayakan Aidilfitri aku telah diuji dengan kemalangan jalanraya seawal pagi jam 7 dalam perjalanan ke pejabat mengakibatkan kaki aku mengalami keretakan tulang. Terima kasih kepada individu yang tak sempat aku kenali membantu mengalihkan motor aku yang merentang jalan. Juga terima kasih buat 3 orang Pegawai di Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia yang membantu memapah dan menghantar aku ke Hospital Putrajaya tak lupa juga rakan sejawat yang banyak membantu dalam urusan hospital. Terima kasih juga buat kekanda tersayang yang menjemputku pulang ke rumah selepas selesai urusan di hospital. Tak lupa juga buat individu-individu  yang mengambil berat dan mendoakan kesembuhan aku. Allah sahaja dapat membalas jasa baik kalian.

Musibah ini menyedarkan aku betapa kurangnya aku beristighfar, betapa jarangnya aku membasahi lidahku meratib kesyukuran, betapa lalainya aku pada ibadah kewajipanku dan doa-doaku. Sedar dengan kenyataan Allah sentiasa ada dalam setiap keadaanku menjadikan aku lebih tabah mengharungi setiap detik yang berlalu dalam episod yang menguji cekalnya hati. Berpantang maut sebelum ajal, berputus asa bukanlah suatu pilihan kerana lautan rahmat ternyata lebih luas dari pengharapan hamba yang tak bertepi.

Aku mohon keampunan Allah dan kemaafan manusia atas perlakuan aku yang telah menyakiti, atas janji-janji yang sering dimungkiri, dan pada kata-kata yang pedih melukai. Walau kemaafan tak kuperolehi aku yakin Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk diri ini. Takkan sekali-kali aku mengharapkan redha manusia kerana aku takut Allah menyerahkan aku kepada manusia. Biarlah dengan redha Allah menjadi tunjang setiap gerak laku hidupku kerana pada akhirnya aku akan kembali pada-Nya jua.

Semoga akan terus ada coretan seterusnya... 
Sekian sahaja buat kali ini...
Wassalam... 

Tuesday, September 17, 2013

ZULQA'DAH


Zulkaedah merupakan bulan ke-11 dalam kalendar Islam. Zul ertinya "yang empunya". Qa'dah ertinya "duduk". Ini membawa erti bahawa bulan Zulkaedah ialah bulan untuk berehat-rehat. Sejak dari dahulu lagi, sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab telah mengiktiraf bahawa Zulkaedah adalah satu bulan daripada empat bulan yang mulia dan diharamkan berperang. Maka masyarakat Arab jahiliah tidak keluar berperang pada bulan ini. Selain Zulkaedah, bulan Zulhijjah, Muharram dan Rejab juga adalah bulan haram ( bulan yang dimuliakan dan diharamkan berperang ). Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah SAW mengekalkan kemuliaan empat bulan haram ini, mengekalkan namanya dan mengharamkan berperang padanya. Bersempena inilah dinamakan ia dengan "Zulkaedah".

Tiada ibadah khusus dalam bulan Zulkaedah. Bulan Zulkaedah adalah bulan permulaan musim haji. Namun begitu sebahagian besar ulamak mengatakan bahawa umrah adalah lebih afdhal di bulan Zulkaedah berdasarkan Rasulullah SAW mengerjakan umrah-umrah beliau di bulan Zulkaedah dan haji tamattu' juga dimulakan di bulan Zulkaedah.

Daripada Abu Bakrah(1), sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya: Sesungguhnya zaman itu berputar sejak awal waktu Allah menjadikan langit-langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan ini, darinya empat bulan haram, tiga dari empat bulan ini berturut-turutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan ialah Rejab di antara Jamadil Akhir dan Sya'aban.
 

Peristiwa-Peristiwa Penting di bulan Zulkaedah

Peperangan Bani Quraizah
Peperangan ini berlaku pada tahun ke 5 Hijrah. Setelah tentera Ahzab telah ditewaskan maka malaikat Jibril AS telah memberitahu Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah memerintahkan nabi agar pergi ke perkampungan Bani Quraizah. Bani Quraizah ialah satu puak Yahudi yang telah terlibat bergabung dengan tentera Ahzab, mengepung umat Islam semasa perang Ahzab. Rasulullah SAW yang masih belum sempat melucutkan pakaian perangnya telah mengerah tentera Islam mengepung perkampungan Bani Quraizah sehinggalah mereka menyerah kalah.

Perjanjian Hudaibiyah
Peristiwa ini terjadi pada bulan Zulkaedah, penghujung tahun ke 6 Hijrah. Antara sebab berlaku Perjanjian Hudaibiyah tersebut, Nabi SAW mengumumkan kepada kaum muslimin keinginan baginda Rasulullah SAW untuk berangkat pergi ke Mekkah bagi melaksanakan satu lagi ibadah iaitu dengan menunaikan ibadah umrah.

Hasil pengumuman tersebut yang diberitahu itu telah mendapat sambutan yang sangat baik oleh sekitar 1 400 orang sahabat dari kaum Muhajirin dan Ansar pada masa itu. Nabi Muhammad SAW berihram untuk ibadah umrah tersebut ditengah perjalanan dan membawa bersama-sama binatang yang boleh disembelih atau dikorbankan (al-hadyu) supaya ianya menjadi pentunjuk atau sebagai memberitahu kepada orang-orang lain bahawa Nabi Muhammad SAW keluar sedemikian bukan untuk bermaksud untuk berperang tetapi ianya semata-mata untuk menziarah ke Baitulullah iaitu Ka'abah, bagi menunaikan ibadah Umrah tersebut.

Dalam perjalanan ke Makkah, Rasulullah SAW telah disekat oleh kafir Quraisy dan dihalang dari memasuki Makkah. Berlaku beberapa perundingan dan ia membawa kepada perjanjian damai yang dinamakan "Perjanjian Hudaibiyah". Dalam perjanjian itu, Rasulullah SAW dibenarkan memasuki Makkah dan mengerjakan umrah hanya pada tahun hadapan serta tahun seterusnya dan gencatan senjata selama sepuluh tahun di antara Makkah dan Madinah.

Bai'atur Ridwan
Peristiwa ini berlaku sebelum terjadinya Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah SAW telah mengutus Usman RA ke Makkah untuk membahas masaalah mengapa rombongan Rasulullah SAW dihalang dari memasuki Makkah untuk mengerjakan umrah. Sesampainya di sana Usman bin Affan RA ditahan selama beberapa waktu oleh orang-orang Quraisy.

Dalam pada itu sampailah berita kepada Nabi Muhammad SAW bahawa Usman bin Affan RA telah mati dibunuh oleh orang-orang Quraisy. Maka Nabi Muhammad SAW dengan lantangnya menyatakan tekadnya : "Kami tidak akan tinggal diam, hingga kami berhasil menumpas kaum Quraisy".

Kemudian Rasulullah SAW mengajak berbai'at. Maka terjadilah Bai'atur Ridhwan di bawah sebatang pohon di tempat tersebut. Bai'at yang dimaksudkan ialah satu perjanjian yang berlaku antara Nabi Muhammad SAW bersama para-para sahabat yang ada ketika itu untuk bersatu padu dan bekerjasama menentang orang-orang kafir Quraisy.

Para sahabat berbai'at kepada Nabi Muhammad SAW untuk tidak takut dan lari meninggalkan medan perang sebagai tanda membalas dendam di atas kematian yang menimpa sahabat baginda Rasulullah SAW. Sementara itu Rasulullah SAW menepukkan tangannya yang satu ke tangan yang lain seraya berkata : "Pembai'atan ini untuk Usman bin Affan".

Setelah pembai'atan tersebut, yang mana telah didengari oleh pihak orang-orang Quraisy, barulah datang berita yang menyampaikan kepada Rasulullah SAW bahawa khabar terbunuhnya Usman bin Affan itu tidak benar.

Berlakunya Haji Wida'
Pada tanggal 25 Zulkaedah tahun ke 10 Hijrah, Rasulullah SAW meninggalkan Kota Madinah untuk menuju ke Kota Makkah bagi menunaikan Haji Wida' (Haji Penghabisan), baginda disertai seramai 10,000 kaum muslimin.

Haji tersebut adalah haji pertama Rasulullah SAW dan yang terakhir bagi baginda. Rasulullah SAW hanya mengerjakan sekali sahaja ibadah haji dan empat kali ibadah umrah sepanjang umurnya mengikut catatan sejarah.

Kematian Syeikhul Islam, Ibnu Taimiyah
Nama lengkap Ibnu Taimiyah ialah Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad bin Abdul Salam bin Abdullah bin Muhammad bin Taimiyah Al-Harrani Al-Hambali. Beliau dilahirkan pada hari Isnin, 10 Rabiulawal 66l Hijrah bersamaan 22 Januari 1263 Masihi di Harran. Beliau adalah seorang yang amat berjasa dalam melaksanakan dasar "pembersihan" dalam Islam.

Apabila umat Islam sudah mula menyimpang dan mencampur adukkan unsur-unsur bid'ah dan khurafat dalam ajaran Islam pada zamannya maka beliau tampil berusaha mengembalikan mereka ke landasan Islam yang sebenarnya. Beliau juga meninggalkan ratusan buah kitab karangannya yang menjadi rujukan sehingga sekarang. Karangan terbesarnya ialah Fatawa Ibnu Taimiyyah yang menjadi rujukan ahli fiqh dan hukum sehingga ke hari ini. 

Beliau meninggal dunia hari Isnin, 20 Zulkaedah 728 Hijrah. (28 September 1328 Masihi), dalam usia 67 tahun, setelah sakit dalam penjara lebih dari 20 hari. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di atas tikar solatnya, sedang dalam keadaan membaca Al-Quran. Walaupun beliau juga seorang yang banyak dibenci orang kerana pendirian tegasnya, tetapi jenazah beliau diiringkan ke pusara oleh 200,000 orang lelaki dan 15,000 orang wanita.