Tuesday, November 26, 2013

TERUS MELANGKAH

Assalamu'alaikum dan  salam penuh kemesraan. Doa puji-pujian kepada Allah yang Maha Agung serta selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Blog Usang kembali setelah dua bulan menyepi. Perjalanan seperti biasa harus terus ditempuhi dan langkah terus disusun rapi menuju ke destinasi abadi.

Dalam edisi kali ini mungkin tidak banyak yang bakal dikongsikan kerana hidup penulis blog usang tidaklah menarik tertarik da bomb... #merepek. Jadi kita mulakan dengan tarikh2 penting sepanjang 2 bulan yang tertinggal ni... terus melangkah...

Dari posting yang lepas... beberapa hari sebelum itu aku mengikuti kursus team building di Kalumpang Resort bersama-sama anggota kumpulan sokongan dan pegawai di Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia . Intipati berteraskan kerjasama sepasukan dan pengurusan stress. Alhamdulillah diberi kepercayaan untuk menjadi urusetia merangkap peserta. Walaupun penat tidak terhingga sampaikan darah naik keluar dari hidung tetapi rasa kebersamaan menjadikan memori di BPSH bakal dirindui sepanjang hayat. Diikuti 2 minggu terakhir berkhidmat di BPSH, menyelesaikan segala tugasan yang diberikan. Biarlah aku pergi meninggalkan budi daripada pergi dan dikeji. 10 oktober jamuan perpisahan unit pentadbiran BPSH buat kami bertiga yang bakal menamatkan perkhidmatan. 11 oktober tak nampak lagi kelibat teman seperjuangan. Terima kasih Azrin Alias. Orang muda yang penuh semangat sentiasa ceria dan menceriakan hari-hari kami. Hari yang sama Perhimpunan Bulanan BPSH saya diberi hadiah ulang tahun kelahiran dan beberapa hadiah perpisahan. Terima kasih semua

16 oktober. Hari terakhir di BPSH. Jamuan makan tengahari bersama unit kewangan BPSH. Pejabat pun masih kosong kerana sebahagian besar masih bercuti Aidiladha. Seharian bersembang bersama teman-teman. Menghabiskan kerja-kerja yang tersisa dan membantu sahabat lain menyelesaikan tugasan. Terima kasih BPSH atas peluang ini. Afiq, Fadhli, Zul, Azam dan yang lain-lain. 

Bermulalah proses penanaman anggur dan job hunting secara besar-besaran dan selama dua minggu segala macam perkara telah berlaku. Dari yang mudah kepada yang sukar. Dari yang ringan kepada yang berat. Dari yang kecil kepada yang besar. Apa yang aku lakukan? .... terus melangkah.... dan 1 November bermula episod baru aku berkerja, diterima serta merta dengan tawaran yang bagiku amat berbaloi melampaui sebelumnya... Alhamdulillah... alhamdulillah... alhamdulillahi rabbil 'alamin

Dan sehingga kini juga hampir sebulan... melepas kasih memendam rindu... tak mungkinlah mampu melupakan kalau tiap kali tersemat dalam untaian doa. Bagiku doa itu bukan sahaja senjata ia juga penghubung kasih sesama manusia. Aku harus... terus melangkah...



Monday, September 23, 2013

TERIMA KASIH ATAS SEGALANYA, MOHON MAAF ATAS SEGALANYA


Assalamu'alaikum Warahmatullah Wabarakatuh... Syukur tak terhingga kepada Allah yang Maha Berkuasa. Alhamdulillah terdetik di benak aku untuk kembali menulis setelah sekian lama sepi, minda terkunci, terbelenggu menanti mati. Hidup ini indah andai jika dugaan dan cabaran hidup kita klasifikasikan sebagai warna dunia. Namun warna-warna suram pastinya menjadikan lukisan hidup kusam dan kelam. Apakah harus kita biarkan warna-warna suram ini terus mendominasi karya agung yang nak kita hasilkan?

Berlalu setengah setahun penuh cerita menganjakkan paradigma setakuk dari yang lama. Permasalahan hidup kadangkala menjerumus aku ke jurang yang dalam dan ada kala mengangkat aku setinggi awan. Pasang surut keimanan meletakkan neraca pertimbangan hati dalam kewarasan akal terumbang ambing. Cuma Allah yang Maha Mengerti, tiada satu pun makhluknya yang tahu tenang dan gelora di dalam hati.

RAHSIA! frasa yang hampir setiap manusia mumaiyyiz mengetahuinya, maksudnya jelas hanya dengan satu perkataan iaitu RAHSIA. Namun sejauh mana kita mengerti kerahsiaan yang ditetapkan kepada kita dalam aturan Allah Azza Wa Jalla. Betapa keterbatasan akal fikiran takkan mampu merungkai walaupun ada yang mengaku pandai namun jelasnya mereka semua hanya mengandai.

Hidup, Mati, Jodoh dan Rezeki merupakan rahsia terbesar dalam hidup. Pemikiran biasa hanya mampu mengungkap hidup dan mati lumrahnya alam, jodoh dan rezeki boleh dicari. Namun jangan kita lupakan semua itu hanya dengan izinnya Allah dan ia sudahpun termaktub dalam ketetapan-Nya. Kita sebagai hamba hanya perlu terus berusaha sebaiknya untuk persediaan ke arah kerahsiaan itu.
Dari sudut pemikiran, alhamdulillah anjakan ini sedikit sebanyak merubah perlakuan dan teknik aku dalam memutuskan satu-satu perkara yang berlaku. Atur langkah lebih berhati-hati, kerana bimbang tersungkur lagi. Jujur kata aku bukanlah manusia berhati kental cuma terkadang kusembunyikan dari pandangan mata-mata yang memandang juga dari telinga-telinga yang mendengar.

Cerita hidup ku memang tak seindah yang aku harapkan... masih tiada pekerjaan tetap, hutang yang masih tak terbayar, hajat yang tidak tertunai... Dulu pernah terfikir mengapa Allah duga aku sehebat ini, bagaikan tak tertanggung rasanya. Syukur Alhamdulillah Allah tarik aku dari aku terus tenggelam dalam sesalnya rasa, dari terpengaruh pada syaitan yang menggoda... Sungguh hidayah-Nya amat mahal tak terbanding dek harta sedunia. 

Benarlah kata-Nya "Allah tidak akan membebani hambanya diluar batas keupayaannya" dan buktinya aku tidak mati kerana dugaan itu sebaliknya aku menjadi semakin hidup kerana janji-Nya yang diulang sebanyak dua kali berturut-turut dalam Surah Al-Insyirah "Bahawasanya pada setiap kesukaran itu berserta dengannya kemudahan" dan aku akan tetap meyakininya kerana Allah tidak pernah memungkiri janji.


Khamis - 1 Julai 2013, seminggu sebelum Umat Islam di Malaysia merayakan Aidilfitri aku telah diuji dengan kemalangan jalanraya seawal pagi jam 7 dalam perjalanan ke pejabat mengakibatkan kaki aku mengalami keretakan tulang. Terima kasih kepada individu yang tak sempat aku kenali membantu mengalihkan motor aku yang merentang jalan. Juga terima kasih buat 3 orang Pegawai di Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia yang membantu memapah dan menghantar aku ke Hospital Putrajaya tak lupa juga rakan sejawat yang banyak membantu dalam urusan hospital. Terima kasih juga buat kekanda tersayang yang menjemputku pulang ke rumah selepas selesai urusan di hospital. Tak lupa juga buat individu-individu  yang mengambil berat dan mendoakan kesembuhan aku. Allah sahaja dapat membalas jasa baik kalian.

Musibah ini menyedarkan aku betapa kurangnya aku beristighfar, betapa jarangnya aku membasahi lidahku meratib kesyukuran, betapa lalainya aku pada ibadah kewajipanku dan doa-doaku. Sedar dengan kenyataan Allah sentiasa ada dalam setiap keadaanku menjadikan aku lebih tabah mengharungi setiap detik yang berlalu dalam episod yang menguji cekalnya hati. Berpantang maut sebelum ajal, berputus asa bukanlah suatu pilihan kerana lautan rahmat ternyata lebih luas dari pengharapan hamba yang tak bertepi.

Aku mohon keampunan Allah dan kemaafan manusia atas perlakuan aku yang telah menyakiti, atas janji-janji yang sering dimungkiri, dan pada kata-kata yang pedih melukai. Walau kemaafan tak kuperolehi aku yakin Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk diri ini. Takkan sekali-kali aku mengharapkan redha manusia kerana aku takut Allah menyerahkan aku kepada manusia. Biarlah dengan redha Allah menjadi tunjang setiap gerak laku hidupku kerana pada akhirnya aku akan kembali pada-Nya jua.

Semoga akan terus ada coretan seterusnya... 
Sekian sahaja buat kali ini...
Wassalam... 

Tuesday, September 17, 2013

ZULQA'DAH


Zulkaedah merupakan bulan ke-11 dalam kalendar Islam. Zul ertinya "yang empunya". Qa'dah ertinya "duduk". Ini membawa erti bahawa bulan Zulkaedah ialah bulan untuk berehat-rehat. Sejak dari dahulu lagi, sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab telah mengiktiraf bahawa Zulkaedah adalah satu bulan daripada empat bulan yang mulia dan diharamkan berperang. Maka masyarakat Arab jahiliah tidak keluar berperang pada bulan ini. Selain Zulkaedah, bulan Zulhijjah, Muharram dan Rejab juga adalah bulan haram ( bulan yang dimuliakan dan diharamkan berperang ). Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah SAW mengekalkan kemuliaan empat bulan haram ini, mengekalkan namanya dan mengharamkan berperang padanya. Bersempena inilah dinamakan ia dengan "Zulkaedah".

Tiada ibadah khusus dalam bulan Zulkaedah. Bulan Zulkaedah adalah bulan permulaan musim haji. Namun begitu sebahagian besar ulamak mengatakan bahawa umrah adalah lebih afdhal di bulan Zulkaedah berdasarkan Rasulullah SAW mengerjakan umrah-umrah beliau di bulan Zulkaedah dan haji tamattu' juga dimulakan di bulan Zulkaedah.

Daripada Abu Bakrah(1), sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya: Sesungguhnya zaman itu berputar sejak awal waktu Allah menjadikan langit-langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan ini, darinya empat bulan haram, tiga dari empat bulan ini berturut-turutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan ialah Rejab di antara Jamadil Akhir dan Sya'aban.
 

Peristiwa-Peristiwa Penting di bulan Zulkaedah

Peperangan Bani Quraizah
Peperangan ini berlaku pada tahun ke 5 Hijrah. Setelah tentera Ahzab telah ditewaskan maka malaikat Jibril AS telah memberitahu Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah memerintahkan nabi agar pergi ke perkampungan Bani Quraizah. Bani Quraizah ialah satu puak Yahudi yang telah terlibat bergabung dengan tentera Ahzab, mengepung umat Islam semasa perang Ahzab. Rasulullah SAW yang masih belum sempat melucutkan pakaian perangnya telah mengerah tentera Islam mengepung perkampungan Bani Quraizah sehinggalah mereka menyerah kalah.

Perjanjian Hudaibiyah
Peristiwa ini terjadi pada bulan Zulkaedah, penghujung tahun ke 6 Hijrah. Antara sebab berlaku Perjanjian Hudaibiyah tersebut, Nabi SAW mengumumkan kepada kaum muslimin keinginan baginda Rasulullah SAW untuk berangkat pergi ke Mekkah bagi melaksanakan satu lagi ibadah iaitu dengan menunaikan ibadah umrah.

Hasil pengumuman tersebut yang diberitahu itu telah mendapat sambutan yang sangat baik oleh sekitar 1 400 orang sahabat dari kaum Muhajirin dan Ansar pada masa itu. Nabi Muhammad SAW berihram untuk ibadah umrah tersebut ditengah perjalanan dan membawa bersama-sama binatang yang boleh disembelih atau dikorbankan (al-hadyu) supaya ianya menjadi pentunjuk atau sebagai memberitahu kepada orang-orang lain bahawa Nabi Muhammad SAW keluar sedemikian bukan untuk bermaksud untuk berperang tetapi ianya semata-mata untuk menziarah ke Baitulullah iaitu Ka'abah, bagi menunaikan ibadah Umrah tersebut.

Dalam perjalanan ke Makkah, Rasulullah SAW telah disekat oleh kafir Quraisy dan dihalang dari memasuki Makkah. Berlaku beberapa perundingan dan ia membawa kepada perjanjian damai yang dinamakan "Perjanjian Hudaibiyah". Dalam perjanjian itu, Rasulullah SAW dibenarkan memasuki Makkah dan mengerjakan umrah hanya pada tahun hadapan serta tahun seterusnya dan gencatan senjata selama sepuluh tahun di antara Makkah dan Madinah.

Bai'atur Ridwan
Peristiwa ini berlaku sebelum terjadinya Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah SAW telah mengutus Usman RA ke Makkah untuk membahas masaalah mengapa rombongan Rasulullah SAW dihalang dari memasuki Makkah untuk mengerjakan umrah. Sesampainya di sana Usman bin Affan RA ditahan selama beberapa waktu oleh orang-orang Quraisy.

Dalam pada itu sampailah berita kepada Nabi Muhammad SAW bahawa Usman bin Affan RA telah mati dibunuh oleh orang-orang Quraisy. Maka Nabi Muhammad SAW dengan lantangnya menyatakan tekadnya : "Kami tidak akan tinggal diam, hingga kami berhasil menumpas kaum Quraisy".

Kemudian Rasulullah SAW mengajak berbai'at. Maka terjadilah Bai'atur Ridhwan di bawah sebatang pohon di tempat tersebut. Bai'at yang dimaksudkan ialah satu perjanjian yang berlaku antara Nabi Muhammad SAW bersama para-para sahabat yang ada ketika itu untuk bersatu padu dan bekerjasama menentang orang-orang kafir Quraisy.

Para sahabat berbai'at kepada Nabi Muhammad SAW untuk tidak takut dan lari meninggalkan medan perang sebagai tanda membalas dendam di atas kematian yang menimpa sahabat baginda Rasulullah SAW. Sementara itu Rasulullah SAW menepukkan tangannya yang satu ke tangan yang lain seraya berkata : "Pembai'atan ini untuk Usman bin Affan".

Setelah pembai'atan tersebut, yang mana telah didengari oleh pihak orang-orang Quraisy, barulah datang berita yang menyampaikan kepada Rasulullah SAW bahawa khabar terbunuhnya Usman bin Affan itu tidak benar.

Berlakunya Haji Wida'
Pada tanggal 25 Zulkaedah tahun ke 10 Hijrah, Rasulullah SAW meninggalkan Kota Madinah untuk menuju ke Kota Makkah bagi menunaikan Haji Wida' (Haji Penghabisan), baginda disertai seramai 10,000 kaum muslimin.

Haji tersebut adalah haji pertama Rasulullah SAW dan yang terakhir bagi baginda. Rasulullah SAW hanya mengerjakan sekali sahaja ibadah haji dan empat kali ibadah umrah sepanjang umurnya mengikut catatan sejarah.

Kematian Syeikhul Islam, Ibnu Taimiyah
Nama lengkap Ibnu Taimiyah ialah Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad bin Abdul Salam bin Abdullah bin Muhammad bin Taimiyah Al-Harrani Al-Hambali. Beliau dilahirkan pada hari Isnin, 10 Rabiulawal 66l Hijrah bersamaan 22 Januari 1263 Masihi di Harran. Beliau adalah seorang yang amat berjasa dalam melaksanakan dasar "pembersihan" dalam Islam.

Apabila umat Islam sudah mula menyimpang dan mencampur adukkan unsur-unsur bid'ah dan khurafat dalam ajaran Islam pada zamannya maka beliau tampil berusaha mengembalikan mereka ke landasan Islam yang sebenarnya. Beliau juga meninggalkan ratusan buah kitab karangannya yang menjadi rujukan sehingga sekarang. Karangan terbesarnya ialah Fatawa Ibnu Taimiyyah yang menjadi rujukan ahli fiqh dan hukum sehingga ke hari ini. 

Beliau meninggal dunia hari Isnin, 20 Zulkaedah 728 Hijrah. (28 September 1328 Masihi), dalam usia 67 tahun, setelah sakit dalam penjara lebih dari 20 hari. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di atas tikar solatnya, sedang dalam keadaan membaca Al-Quran. Walaupun beliau juga seorang yang banyak dibenci orang kerana pendirian tegasnya, tetapi jenazah beliau diiringkan ke pusara oleh 200,000 orang lelaki dan 15,000 orang wanita.

Wednesday, February 13, 2013

GERD ATAU KANSER TEKAK ATAU ...... ?

Assalamu'alaikum Warahmatullah Wabarakatuh para pengunjung Blog Usang, moga kalian dalam keadaan sihat-sihat adanya. Kali ini Blog Usang ingin kongsikan sedikit fakta klinikal yang berkaitan dengan  "GERD ATAU KANSER TEKAK ATAU ...... ?" Hal ini adalah kerana sejak akhir-akhir ini Aku telah didatangi oleh gejala-gejala seperti yang akan Aku ceritakan nanti. 

Sebulan kebelakangan ini Aku sering kali muntah-muntah selepas makan, kadangkala sehingga menyebabkan pening kepala yang amat luar biasa. Adakalanya dengan hanya meminum air kosong pun boleh menyebabkan muntah. Lebih teruk lagi bila muntah itu adakalanya bercampur sedikit darah. Menurut Dr. Wan Zuraini yang merawat Aku, itu merumakan komplikasi akibat meneran muntah secara paksa sehingga melukakan dinding tekak yang amat lembut. Kemungkinan gejala muntah itu adalah akibat dari GERD... apa pula GERD tu?

GERD atau gastroesophageal reflux disease (GERD) adalah Refluks yang berlaku secara kerap iaitu lebih daripada dua kali seminggu, adalah GERD dan boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang lebih serius. Sesiapa sahaja boleh mengalami GERD tanpa mengira faktor umur. Simptom utama GERD di kalangan orang dewasa adalah rasa pedih ulu hati yang kerap berlaku, juga dikenali sebagai senak iaitu satu kesakitan seakan terbakar di bahagian bawah tengah dada, bahagian belakang tulang dada dan di bahagian tengah abdomen. Kebanyakan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan juga sesetengah orang dewasa yang menghidap GERD mengalami rasa pedih ulu hati. Golongan dewasa juga akan mengalami simptom-simptom seperti batuk yang kering, asma (lelah) atau kesukaran menelan. 

Berdasarkan fakta di atas, tidak banyak yang sama seperti yang Aku alami, kerana punca utama adalah rasa pedih ulu hati, namun ia sama sekali tidak berlaku kepada Aku,. Jadi aku beralih kepada kenyataan yang lebih menakutkan iaitu Kanser Tekak / Larynx Cancer. Penyakit ini telah menjadi asbab yang meragut nyawa abang kandung Aku lebih kurang 15 tahun yang lepas.

Kanser tekak lebih tepat dikenali sebagai kanser laring (larynx) dari segi istilah perubatan. Anatomi laring melibatkan kawasan peti suara yang juga berdekatan saluran pemakanan iaitu esofagus (esophagus). Di dalam kajian National Cancer Registry tahun 2006 terdapat 1.1 kes per 100,000 populasi di Malaysia di mana kaum lelaki mencatatkan kekerapan lebih 5 kali ganda berbanding kaum wanita. Ia juga menunjukkan peningkatan kes bagi pesakit yang berumur 40 tahun ke atas dengan yang tertinggi di kalangan pesakit yang berumur 60-69 tahun. Gejala kanser tekak seringkali timbul sebagai perubahan suara, suara garau atau masalah menelan makanan dan minuman. Pesakit juga kadangkala berasa seperti ada 'sesuatu yang sangkut' di bahagian tekak. Perubahan suara kerapkali merupakan gejala sakit tekak biasa yang disebabkan oleh jangkitan kuman. Akan tetapi sekiranya perubahan suara itu berlarutan lebih dari 2 minggu, pesakit seharusnya mendapatkan pemeriksaan tekak yang lebih terperinci. Gejala-gejala lain yang berkaitan kanser tekak adalah bengkak pada leher yang disebabkan oleh kelenjar limpa, batuk berdarah, sesak pernafasan atau pernafasan berbunyi terutamanya di kalangan mereka yang merokok.

Fakta di atas juga jauh dari tanda-tanda yang aku alami, lagi pula aku bukan perokok. Namun bebas dari merokok bukanlah jaminan Aku selamat dari Kanser Tekak, kerana Almarhum abang sulung Aku juga tak merokok. Bila aku cuba mendapatkan fakta-fakta lain daripada internet, ada yang melegakan dan tak kurang juga yang menggusarkan, antaranya:-
  • Muntah ada pelbagai sebabnya, seperti gastritis atau keracunan, mahupun tumor otak ataupun tekanan intrakranium yang tinggi.
  • Berlakunya penyahhidratan, pesakit harus diberi bendalir intravena untuk menggantikan isi padu bendalir.  
  • Penyakit kelumpuhan syaraf akibat racun botulinum (botulisme) yang disebabkan oleh spora  Clostridium botulinum juga harus diwaspadai.
  • Pemuntahan yang berulang-ulang atau berlebihan boleh menyebabkan terhakisnya esofagus atau koyak-koyak kecil dalam mukosa esofagus (koyak Mallory-Weiss). Ini mungkin terjadi jika darah merah segar bercampur dengan bahan muntah selepas beberapa kali muntah.
Jadi untuk menyedapkan hati, Aku anggap muntah itu akibat ketidakseimbangan elektrolit dalam badan dan darah itu akibat berlakunya koyak kecil dalam mukosa esofagus kerana kerapnya muntah. Apapun halnya tetaplah Aku akan memohon segala perlindungan daripada Allah Yang Maha Menyembuh semoga aku dapat terus hidup, dipanjangkan usia dan dimurahkan rezeki untuk terus mendiami bumi ini sebagai Hamba dan Khalifah-Nya sekaligus.

ps: Alfatihah buat Almarhum Khairul Kamal Bin Hairuddin abang sulungku. juga buat Almarhum Hairuddin Bin Hj. Abd. Jalal dan Almarhumah Maskanah Binti Kusin kedua Ibu dan Bapaku.

Tuesday, February 5, 2013

JOBLESS - USELESS - HOPELESS


Assalamu'alaikum Warahmatullah Wabarakatuh...

Pekabo kome sume? teman harap sume sihat-sihat adenye... "JOBLESS - USELESS - HOPELESS" reality yang separa benar ni pasti pernah melanda 2 daripada 10 manusia dalam dunia ni, sama ada ia menerawang dalam ruang fikiran atau ia sama sekali menghantui kehidupan terutama golongan graduan lepasan institut pengajian tinggi. Rata-rata mereka yang terlibat bukanlah tidak berusaha mencari kerja, namun nasib tidak menyebelahi mereka, atau mungkin sahaja sistem meritokrasi, kronisme, atau sentimen/faktor lain yang ekstrem menjadikan mereka mangsa. 

Ramai juga yang merasa tidak patut mencari pekerjaan yang di bawah tahap kualifikasi/kelayakan yang mereka ada atau jauh lebih rendah daripada ekspektasi masyarakat umumnya dan ahli keluarga khasnya. Aku dah 2 bulan menganggur, tiap hari menambah tebalnya muka menghadap pandangan sinis, mendengar ayat-ayat yang 'membina' hingga merasakan akulah manusia yang paling useless dan hopeless dalam dunia ni.

Pernahkah anda mendengar ada manusia yang ditakdirkan untuk tidak bahagia dan tidak mencapai segala apa yang dicita!? maybe or maybe not! kadangkala sehingga membawa kepada putus asa pada kehidupan seseorang manusia. setiap hari memohon pekerjaan namun penantian terus menjadi penantian, pengharapan tinggal harapan sampai hampir berhenti berharap. Menangis, mengelamun, merenung masa depan yang kian kelam, - Mungkin semua ini kifarah dosa

Apa pun, aku percaya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat diriku

-Biar putus asa dengan hidup, jangan putus asa dengan Allah-

Wednesday, August 8, 2012

NUZUL QURAN & AKHIR FASA KE-2 ~ PECUTAN TERAKHIR

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Apa kahabar sahabat pengunjung Blog Usang!? Harap semua semakin sihat dengan berpuasa. Hari ni dah habis hari ke-19 kita berpuasa, pasti banyak yang kita pelajari daripada Ramadhan kali ini kan!? Mudah-mudahan kita semua menjadi graduan yang lebih baik dari satu Ramadhan ke Ramadhan yang lain.


Blog Usang tak berkesempatan nak buat posting berkenaan Nuzul Quran pada 17 Ramadhan yang lepas. Izinkan Blog Usang gabungkan entry Nuzul Quran bersama posting kali ini ya. 
Nuzul Quran atau dalam bahasanya bermaksud 'Turunnya Al-Quran' merupakan tarikh pertama wahyu Quran diturunkan kepada Nabi kita Nabi Muhammad S.A.W. Terdapat percanggahan pendapat berkenaan tarikh Nuzul Quran samaada 17 Ramadhan ataupun pada antara 10 malam terakhir dari bulan Ramadhan. Namun bagi Blog Usang, apa yang lebih penting ialah sejauh mana ia memberi kesan kepada Ramadhan kita.

Hari ini hari ke-19 dari Ramadhan, kalau mengikut tentatifnya, kita seharusnya sudah dapat menghabiskan 19 juzu' daripada Al-Quran. Saya yakin pasti sahabat semua sudah mencapainya atau mungkin lebih daripada itu malah mungkin ada yang sudah masuk juzu' ke-8 untuk kali ke-2 dalam Ramadhan kali ini. Tahniah!!! 

*************************************************************************************
Fasa ke-2 Ramadhan dah pun sampai ke penghujung, kita akan masuk ke fasa terakhir yang di dalamnya ada satu malam yang nilainya sebanding dengan seribu bulan atau lebih kurang 83 tahun, melangkaui kadar usia bia umat Nabi Muhammad. Dah tahap mana usaha kita ya sahabat-sahabat blog usang semua? banyak atau sikit, yang penting biarlah ada usaha ya.
Banyak yang kita boleh lakukan, selain berjemaah tarawih, kita boleh perbanyakkan berzikir, baca quran, qiamullail, memantapkan lagi kualiti puasa, menghidupkan lagi malam-malam ramadhan, perbanyakkan bersedeqah dan banyak lagi. Janganlah pula sepuluh malam terakhir ni kita terlepas usaha mencari Lailatul Qadar kerana kita sibuk mengejar 'Lailatul Kamdar'. Apalah sangat potongan harga sehingga 80% jiga dibandingkan dengan ganjaran sebesar 83 tahun keberkatan.
JOM KITA CUBA! Walau tak dapat jumpa, sekurang-kurangnya kita telah berusaha.  

Thursday, August 2, 2012

SELOKA RAMADHAN



Lafaz bismillah pembuka kata,
Assalamu'alaikum pemula bicara,
Sedikit rencah budaya kita,
Cuma di maya tanpa suara.

Indah nian Ramadhan ini,
Masjid dan surau meriah terisi,
Seloka pantun hiburan kini,
semoga kita ketemu visi.

Bangun lambat sudah kesiangan,
Menyesal tak sahur bukan kepalang,
Cik adik cik abang apa di angan?
Tak kisah ke subuh yang dah ter'tuang'?

Pagi menjelang langkah terorak,
Mencari rezeki di bumi Allah,
Teruja dengan semangan yang marak
Jangan terlupa baca 'Bismillah'.

Rembang mentari terik terasa,
Relung tekak tersayat dahaga,
Setiap detik dibilang masa,
Kuranglah pahala tidak terjaga.

Baik puasa baik yang tidak,
Pulang kerja terkejar-kejar,
Dalam kepala ingin dan hendak,
Memborong sakan di serata bazar.

Mentari berlabuh senja bertamu,
Masa dinanti telahpun tiba,
Juadah berbuka sudah terjamu,
Setiap satu mahu dicuba.

Perut kembung kenyang tak ingat,
Sampai tak larat mengucap syukur,
kehendak nafsu diturut sangat,
mata pun pejam tidur berdengkur.

Jauhi rasa dengki dan iri,
Semoga jiwa menjadi kuat,
Boleh berpuasa sepanjang hari,
Solat sebentar tak mampu buat.

Mulut mengata lidah berdusta,
Apa nak kata sudah terbiasa,
Jaga hati jaga anggota,
Jangan sampai pahala binasa.

Dirudung rasa sangatlah sakit,
Mengharap cahaya menyuluh jalan,
Bacalah Quran walaupun sedikit,
Semoga nanti menjadi amalan.

Bulan Ramadhan pesta ibadah,
Bulan rahmah bulan sadaqah,
Siangnya puasa malamnya meriah,
Doa diangkat maghfirah terlimpah.

Satu malam jadi rebutan,
Itulah namanya Lailatul Qadar,
Tapi kenapa yang penuh 'I Setan'?
Tak kurang juga berjemaah ke 'Kamdar'

Ramadhan tiba setahun sekali,
Penuhi dengan amal dan bakti,
Bersama kita muhasabah diri,
Membersih diri menyuci hati.

"SELAMAT MENJALANI IBADAH RAMADHAN"

Tuesday, July 31, 2012

FASA PERTAMA SUDAH BERAKHIR! - FASA KE-2 BERMULA



Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Wamaghfiratuh Waridhwanuh...

...buat semua pelawat 'BLOG USANG'. Alhamdulillah ramadhan hadir dengan semangat baru buat semua. Macam mana Ramadhan kali ini? seronok tak? apa? penat? panas? letih? ....alah bisa tegal biasa la nanti tu kan... apa? tak rasa apa-apa? macam biasa? hmmm... that must be something wrong somewhere... kene buat kaji selidik ni...heheheh

Macam sekelip mata 'Fasa Pertama' Ramadhan dan pergi meninggalkan kita, dan kita dah pun masuk ke Fasa ke-2 Ramadhan... Fasa!? Fasa ape ni!? Fasa Bulan? Fasa Perumahan?  

Sebulan ada 30 hari dan Rasululullah membahagikan Ramadhan itu kepada 3 fasa. Seperti yang sedia maklum,ramai yang tahu 3 fasa yang disebut oleh baginda s.a.w.3 fasa tersebut ialah :
  • Fasa Pertama - Rahmat Allah. 
  • Fasa Kedua   - Keampunan Allah.
  • Fasa Ketiga   - Bebas daripada Api Neraka Allah.
Keutamaan 10 hari pertama Ramadhan.
Pada 10 hari ramadhan telah diriwayatkan sebagai hari diturunkan rahmat daripada Allah kepada manusia. Pada 10 hari pertama ini juga kita akan mendapat limpahan pahala dari pelbagai amalan-amalan yang kita lakukan selama berpuasa. 


Keutamaan 10 hari pertengahan Ramadhan. 
Fasa kedua ini Allah banyak memberikan maghrifah atau keampunan .Inilah saat yang tepat bagi kita untuk meminta ampun atas dosa-dosa kita dengan memperbanyakkan zikir dan meminta ampun agar semua dosa-dosa kita diampunkan dan taubat kita diterima Allah s.w.t.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Sepanjang ramadhan ni ada tak persoalan-persoalan yang timbul di fikiran kawan-kawan pengunjung BLOG USANG ni berkaitan dengan sikap kita di dalam bulan ramadhan? BLOG USANG ada beberapa persoalan yang terbuku di kotak minda ni. Jom kita kongsikan bersama...
  • Ramai orang boleh laksanakan puasa sepanjang hari dari waktu imsak hinggalah maghrib, TAPI kenapa ada antara yang puasa ni tak mampu nak dirikan solat yang 3-7 minit?
  • Ada yang bangun lewat kesiangan TAPI yang dia sesalkan ialah terlepas bersahur dan pasti tak larat nak berpuasa bukannya sesal kerana terlepas solat subuh
  • ada baca di blog ust. zaharuddin, soalan "saya masih dalam hadas besar selepas berjunub bersama isteri pada malamnya dan sehingga tengahari saya masih dalam hadas, sahkah puasa saya?" hadas bukanlah perkara yang membatalkan puasa TAPI ia kunci sahnya solat
Berdasarkan soalan di atas dapatlah BLOG USANG rungkaikan ada di kalangan kita yang berpuasa tetapi meremehkan solat, Solat itu tiang agama, Puasa itu dindingnya, macam mana nak teguh dinding kalau tak ada tiang? 

Jom kita usaha lebih sikit bersama-sama, bukan untuk siapa-siapa, cuma untuk diri kita, siapa lagi nak bantu... 

"Selamat berpesta ibadah di bulan Ramadhan"  

Friday, July 20, 2012

RAMADHAN MENJELMA KEMBALI



Assalamua’laikum Warahmatullahi Wabarakatuh Wamaghfiratuh Waridhwanuh.
Alhamdulillah, Ramadhan al-mubarak menjelma lagi tahun ni. Andai kata Allah takdirkan tiada lagi peluang untuk berjumpa Ramadhan tahun ni, apakah kita ralat? Atau tanya diri sendiri dan anda juga boleh tanya diri sendiri. Tak perlu kita tanya orang lain tentang kualiti puasa kita. Kita yang lebih tahu bagaimana tahap puasa kita dalam tahun sebelumnya. Betul tak?



Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. (sangat banyak) Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya. 

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi- 

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi- 

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi- 

Rasanya sahabat-sahabat semua dah sedia menempuh Ramadhan kali ini kan. Nampak meriah masjid-masjid dan surau-surau seluruh negara dengan kehadhiran jama'ah semeriah solat Jumaat. Memang terasa makmur rumah Allah, semoga berkekalan sehingga penghujung Ramadhan dan kemenangan itu nanti kita sambut dengan laungan Takbir yang panjang dan lantang... 

Mari semua kita pasang niat sambil berhibur dengan lagu Raihan - Puasa Dulu Baru Raya!!!



Bersempena Ramadhan yang mulia ini, saya memohon segala kemaafan daripada semua atas kekhilafan saya selama ini dan semoga kita memperoleh kemenangan sebenar di akhir ramadhan ini dan bulan-bulan serta tahun tahun yang mendatang, SELAMAT BERPUASA :)


Thursday, July 19, 2012

SAHABAT SEJATI SENTIASA DI HATI

Apa yang kita alami demi teman terkadang melelahkan dan menjengkelkan, tetapi itulah yang membuat persahabatan mempunyai nilai yang indah. Persahabatan sering diduga cubaan, tetapi persahabatan sejati mampu mengatasi cubaan itu bahkan bertumbuh matang bersama kerananya...

Persahabatan tidak terjalin secara automatik tetapi memerlukan proses yang panjang. Seperti besi menajamkan besi, demikianlah sahabat menajamkan sahabatnya.

Persahabatan diwarnai dengan berbagai pengalaman. Suka dan duka, dihibur-disakiti, diperhatikan-dikecewakan, didengar-diabaikan, dibantu-ditolak, namun semua ini tidak pernah sengaja dilakukan dengan tujuan kebencian.

Seorang sahabat tidak akan menyembunyikan kesalahan untuk menghindari perselisihan, justeru karena kasihnya ia memberanikan diri menegur apa adanya. Sahabat tidak pernah membalas pukulan dengan ciuman, tetapi menyatakan apa yang amat menyakitkan dengan tujuan mahu sahabatnya berubah.

Proses dari teman menjadi sahabat memerlukan usaha pemeliharaan dari kesetiaan, tetapi bukan pada saat kita memerlukan bantuan barulah kita memiliki motivasi mencari perhatian, pertolongan dan pernyataaan kasih dari orang lain, tetapi justeru ia beriinisiatif memberikan dan mewujudkan apa yang diperlukan oleh sahabatnya. Kerinduannya menjadi bahagian dari kehidupan sahabatnya, karena tidak ada persahabatan yang diawali dengan sikap egois

Semua orang pasti memerlukan sahabat sejati, namun tidak semua mampu mendapatkannya. Banyak pula orang yang telah menikmati indahnya persahabatan, namun ada juga yang begitu hancur karena dikhianati sahabatnya

Mempunyai satu sahabat sejati lebih berharga dari seribu teman yang mementingkan diri sendiri. DALAM MASA KEJAYAAN, TEMAN-TEMAN MENGENAL KITA. DALAM KESENGSARAAN, KITA MENGENAL TEMAN-TEMAN KITA

Ingatlah bila terakhir kali anda berada dalam  kesulitan.  Siapa Yang berada di samping anda? Siapa yang mengasihi anda saat anda merasa tidak dicintai? Siapa yang ingin bersama anda pada saat tiada satu pun yang dapat anda berikan? Merekalah sahabat-sahabat anda. Hargai dan peliharalah selalu persahabatan anda dengan mereka

~I Love U 'sahabat'~

Wednesday, July 18, 2012

MELANKOLIK ENIGMA-BAB DUA (2)

Haekal termenung di muka jendela, tak pasti pandangannya jatuh kemana namun akal fikirannya menerawang pada memori suka duka bersama Aisyah Humairah, almarhumah isterinya. Segalanya melintas pantas di ruang minda sehingga akhirnya kosong.


"Assalamu'alaikum Abi..."

Lamunan Haekal berkecai pada ucapan salam manja Daniel.

"Wa'alaikumussalam Daniel, anak Abi da bangun, alhamdulillah. Daniel lapar tak, jom kita sarapan, Abi da lapar sangat ni"

"Daniel nak sarapan Koko Crunch dan air Milo...Minum milo anda jadi sihat dan kuat" kata Daniel sambil mengajuk lagu dari iklan Milo di televisyen.

Haekal tertawa dan senyuman pun terukir. Daniel kini sudah berusia 3 tahun, maknanya sudah 3 tahun juga dia membesarkan Daniel sendirian, namun dia senang kerana pada usia sekecil ini Daniel sudah petah berkata-kata, mungkin saja kerana Daniel jugalah teman setia untuk Haekal berbicara. Daniel adalah seisi dunia bagi Haekal.

***********************

Usia menghantar Daniel ke nursery, Haekal terus bergegas ke pejabat. Mengharungi kesesakan jalan raya di bandar metropolitan Kuala Lumpur bukanlah suatu yang membebankan bagi dirinya, malah baginya itu hanyalah salah satu rutin harian ditambah dengan celoteh penyampai radio PanasFM yang menceriakan perjalanan.

Prowhalmer Sdn. Bhd. yang diasaskan oleh seorang hartawan mendiang Tan Sri Joseph Tan ayah kepada almarhumah Aisyah Humairah kini semakin maju di bawah pimpinan Haekal, pelbagai pembaharuan telah diimplimentasi bukan sahaja meningkatkan prestasi pekerja, malah menghasilkan suasana kerja yang ceria dan kondusif. Memang pilihan yang tepat buat mendiang Tan Sri mewariskan sebahagian besar saham syarikat kepada Haekal dan menjadikan Haekal CEO baru Prowhalemer.

"Selamat pagi Tuan, mesyuarat dengan ahli lembaga pengarah jam 10 pagi ini telah disahkan oleh semua ahli, bilik mesyuarat Avicenna telah saya siapkan"

"Terima kasih jenny, Insyaallah saya sudah bersedia"

Setiausaha Haekal menyapa dan memperingatkan jadual mesyuarat pagi ini. Jenny memang seorang setiausaha yang amat berdedikasi dalam setiap gerak kerja, tidak hairanlah Haekal mengekalkan Jenny sebagai setiausaha utama Prowhalemer selepas mendiang Tan Sri meninggal.

************************ 


Mesyuarat berjalan sebaiknya, pelbagai idea baru dan permasalahan berjaya di bincangkan, pengendalian mesyuarat yang baik amat perlu dalam sesebuah organisasi. "Membincangkan isu secara hikmah dan penelitian idea secara kolektif mampu menghasilkan keputusan yang lebih persis dan jitu." Itulah nasihat mendiang Tan Sri pada Haekal suatu masa dahulu.

Sudah jam 5 petang, Haekal berhenti meratib tasbih selepas solat Asar sebentar tadi, kini masa untuk pulang menjemput anak kesayangannya di Nursery Little Khaliff. Nursery Little Khaliff sudah terkenal di Malaysia sebagai francais nursery dan tadika yang mampu melahirkan kanak-kanak pintar serta bijak berfikir dan bertindak.



************************
 

"Assalamu'alaikum Abi..."


"Wa'alaikumussalam Daniel, anak Abi belajar apa hari ni? Seronok tak?"

 "Daniel belajar doa kepada ibu bapa Abi, seronok sangat, lepas ni danel boleh doakan Umi supaya Umi bahagia dan diselamatkan dari seksa."


"Insyaallah Daniel, Umi orang baik, pasti Allah sayang Umi."

Tak semena-mena mengalir air mata membasahi pipi Haekal, cepat-cepat diseka supaya tak terlihat di mata anaknya, namun Daniel awal lagi sudah terlihat, namun didiamkan sahaja. Mungkin sahaja sudah sebati sejak kecil, pantang tersebut perihal Umi, pasti Abinya akan berubah riak wajah.



"Ya Allah, ampunkanlah dosa kedua Ibu Bapaku, kasihilah mereka seperti mana mereka mengasihi ku ketika aku masih kecil dan tempatkanlah mereka di kalangan orang-orang yang beriman"