Tuesday, September 17, 2013

ZULQA'DAH


Zulkaedah merupakan bulan ke-11 dalam kalendar Islam. Zul ertinya "yang empunya". Qa'dah ertinya "duduk". Ini membawa erti bahawa bulan Zulkaedah ialah bulan untuk berehat-rehat. Sejak dari dahulu lagi, sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab telah mengiktiraf bahawa Zulkaedah adalah satu bulan daripada empat bulan yang mulia dan diharamkan berperang. Maka masyarakat Arab jahiliah tidak keluar berperang pada bulan ini. Selain Zulkaedah, bulan Zulhijjah, Muharram dan Rejab juga adalah bulan haram ( bulan yang dimuliakan dan diharamkan berperang ). Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah SAW mengekalkan kemuliaan empat bulan haram ini, mengekalkan namanya dan mengharamkan berperang padanya. Bersempena inilah dinamakan ia dengan "Zulkaedah".

Tiada ibadah khusus dalam bulan Zulkaedah. Bulan Zulkaedah adalah bulan permulaan musim haji. Namun begitu sebahagian besar ulamak mengatakan bahawa umrah adalah lebih afdhal di bulan Zulkaedah berdasarkan Rasulullah SAW mengerjakan umrah-umrah beliau di bulan Zulkaedah dan haji tamattu' juga dimulakan di bulan Zulkaedah.

Daripada Abu Bakrah(1), sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya: Sesungguhnya zaman itu berputar sejak awal waktu Allah menjadikan langit-langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan ini, darinya empat bulan haram, tiga dari empat bulan ini berturut-turutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan ialah Rejab di antara Jamadil Akhir dan Sya'aban.
 

Peristiwa-Peristiwa Penting di bulan Zulkaedah

Peperangan Bani Quraizah
Peperangan ini berlaku pada tahun ke 5 Hijrah. Setelah tentera Ahzab telah ditewaskan maka malaikat Jibril AS telah memberitahu Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah memerintahkan nabi agar pergi ke perkampungan Bani Quraizah. Bani Quraizah ialah satu puak Yahudi yang telah terlibat bergabung dengan tentera Ahzab, mengepung umat Islam semasa perang Ahzab. Rasulullah SAW yang masih belum sempat melucutkan pakaian perangnya telah mengerah tentera Islam mengepung perkampungan Bani Quraizah sehinggalah mereka menyerah kalah.

Perjanjian Hudaibiyah
Peristiwa ini terjadi pada bulan Zulkaedah, penghujung tahun ke 6 Hijrah. Antara sebab berlaku Perjanjian Hudaibiyah tersebut, Nabi SAW mengumumkan kepada kaum muslimin keinginan baginda Rasulullah SAW untuk berangkat pergi ke Mekkah bagi melaksanakan satu lagi ibadah iaitu dengan menunaikan ibadah umrah.

Hasil pengumuman tersebut yang diberitahu itu telah mendapat sambutan yang sangat baik oleh sekitar 1 400 orang sahabat dari kaum Muhajirin dan Ansar pada masa itu. Nabi Muhammad SAW berihram untuk ibadah umrah tersebut ditengah perjalanan dan membawa bersama-sama binatang yang boleh disembelih atau dikorbankan (al-hadyu) supaya ianya menjadi pentunjuk atau sebagai memberitahu kepada orang-orang lain bahawa Nabi Muhammad SAW keluar sedemikian bukan untuk bermaksud untuk berperang tetapi ianya semata-mata untuk menziarah ke Baitulullah iaitu Ka'abah, bagi menunaikan ibadah Umrah tersebut.

Dalam perjalanan ke Makkah, Rasulullah SAW telah disekat oleh kafir Quraisy dan dihalang dari memasuki Makkah. Berlaku beberapa perundingan dan ia membawa kepada perjanjian damai yang dinamakan "Perjanjian Hudaibiyah". Dalam perjanjian itu, Rasulullah SAW dibenarkan memasuki Makkah dan mengerjakan umrah hanya pada tahun hadapan serta tahun seterusnya dan gencatan senjata selama sepuluh tahun di antara Makkah dan Madinah.

Bai'atur Ridwan
Peristiwa ini berlaku sebelum terjadinya Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah SAW telah mengutus Usman RA ke Makkah untuk membahas masaalah mengapa rombongan Rasulullah SAW dihalang dari memasuki Makkah untuk mengerjakan umrah. Sesampainya di sana Usman bin Affan RA ditahan selama beberapa waktu oleh orang-orang Quraisy.

Dalam pada itu sampailah berita kepada Nabi Muhammad SAW bahawa Usman bin Affan RA telah mati dibunuh oleh orang-orang Quraisy. Maka Nabi Muhammad SAW dengan lantangnya menyatakan tekadnya : "Kami tidak akan tinggal diam, hingga kami berhasil menumpas kaum Quraisy".

Kemudian Rasulullah SAW mengajak berbai'at. Maka terjadilah Bai'atur Ridhwan di bawah sebatang pohon di tempat tersebut. Bai'at yang dimaksudkan ialah satu perjanjian yang berlaku antara Nabi Muhammad SAW bersama para-para sahabat yang ada ketika itu untuk bersatu padu dan bekerjasama menentang orang-orang kafir Quraisy.

Para sahabat berbai'at kepada Nabi Muhammad SAW untuk tidak takut dan lari meninggalkan medan perang sebagai tanda membalas dendam di atas kematian yang menimpa sahabat baginda Rasulullah SAW. Sementara itu Rasulullah SAW menepukkan tangannya yang satu ke tangan yang lain seraya berkata : "Pembai'atan ini untuk Usman bin Affan".

Setelah pembai'atan tersebut, yang mana telah didengari oleh pihak orang-orang Quraisy, barulah datang berita yang menyampaikan kepada Rasulullah SAW bahawa khabar terbunuhnya Usman bin Affan itu tidak benar.

Berlakunya Haji Wida'
Pada tanggal 25 Zulkaedah tahun ke 10 Hijrah, Rasulullah SAW meninggalkan Kota Madinah untuk menuju ke Kota Makkah bagi menunaikan Haji Wida' (Haji Penghabisan), baginda disertai seramai 10,000 kaum muslimin.

Haji tersebut adalah haji pertama Rasulullah SAW dan yang terakhir bagi baginda. Rasulullah SAW hanya mengerjakan sekali sahaja ibadah haji dan empat kali ibadah umrah sepanjang umurnya mengikut catatan sejarah.

Kematian Syeikhul Islam, Ibnu Taimiyah
Nama lengkap Ibnu Taimiyah ialah Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad bin Abdul Salam bin Abdullah bin Muhammad bin Taimiyah Al-Harrani Al-Hambali. Beliau dilahirkan pada hari Isnin, 10 Rabiulawal 66l Hijrah bersamaan 22 Januari 1263 Masihi di Harran. Beliau adalah seorang yang amat berjasa dalam melaksanakan dasar "pembersihan" dalam Islam.

Apabila umat Islam sudah mula menyimpang dan mencampur adukkan unsur-unsur bid'ah dan khurafat dalam ajaran Islam pada zamannya maka beliau tampil berusaha mengembalikan mereka ke landasan Islam yang sebenarnya. Beliau juga meninggalkan ratusan buah kitab karangannya yang menjadi rujukan sehingga sekarang. Karangan terbesarnya ialah Fatawa Ibnu Taimiyyah yang menjadi rujukan ahli fiqh dan hukum sehingga ke hari ini. 

Beliau meninggal dunia hari Isnin, 20 Zulkaedah 728 Hijrah. (28 September 1328 Masihi), dalam usia 67 tahun, setelah sakit dalam penjara lebih dari 20 hari. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di atas tikar solatnya, sedang dalam keadaan membaca Al-Quran. Walaupun beliau juga seorang yang banyak dibenci orang kerana pendirian tegasnya, tetapi jenazah beliau diiringkan ke pusara oleh 200,000 orang lelaki dan 15,000 orang wanita.

Wednesday, February 13, 2013

GERD ATAU KANSER TEKAK ATAU ...... ?

Assalamu'alaikum Warahmatullah Wabarakatuh para pengunjung Blog Usang, moga kalian dalam keadaan sihat-sihat adanya. Kali ini Blog Usang ingin kongsikan sedikit fakta klinikal yang berkaitan dengan  "GERD ATAU KANSER TEKAK ATAU ...... ?" Hal ini adalah kerana sejak akhir-akhir ini Aku telah didatangi oleh gejala-gejala seperti yang akan Aku ceritakan nanti. 

Sebulan kebelakangan ini Aku sering kali muntah-muntah selepas makan, kadangkala sehingga menyebabkan pening kepala yang amat luar biasa. Adakalanya dengan hanya meminum air kosong pun boleh menyebabkan muntah. Lebih teruk lagi bila muntah itu adakalanya bercampur sedikit darah. Menurut Dr. Wan Zuraini yang merawat Aku, itu merumakan komplikasi akibat meneran muntah secara paksa sehingga melukakan dinding tekak yang amat lembut. Kemungkinan gejala muntah itu adalah akibat dari GERD... apa pula GERD tu?

GERD atau gastroesophageal reflux disease (GERD) adalah Refluks yang berlaku secara kerap iaitu lebih daripada dua kali seminggu, adalah GERD dan boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang lebih serius. Sesiapa sahaja boleh mengalami GERD tanpa mengira faktor umur. Simptom utama GERD di kalangan orang dewasa adalah rasa pedih ulu hati yang kerap berlaku, juga dikenali sebagai senak iaitu satu kesakitan seakan terbakar di bahagian bawah tengah dada, bahagian belakang tulang dada dan di bahagian tengah abdomen. Kebanyakan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan juga sesetengah orang dewasa yang menghidap GERD mengalami rasa pedih ulu hati. Golongan dewasa juga akan mengalami simptom-simptom seperti batuk yang kering, asma (lelah) atau kesukaran menelan. 

Berdasarkan fakta di atas, tidak banyak yang sama seperti yang Aku alami, kerana punca utama adalah rasa pedih ulu hati, namun ia sama sekali tidak berlaku kepada Aku,. Jadi aku beralih kepada kenyataan yang lebih menakutkan iaitu Kanser Tekak / Larynx Cancer. Penyakit ini telah menjadi asbab yang meragut nyawa abang kandung Aku lebih kurang 15 tahun yang lepas.

Kanser tekak lebih tepat dikenali sebagai kanser laring (larynx) dari segi istilah perubatan. Anatomi laring melibatkan kawasan peti suara yang juga berdekatan saluran pemakanan iaitu esofagus (esophagus). Di dalam kajian National Cancer Registry tahun 2006 terdapat 1.1 kes per 100,000 populasi di Malaysia di mana kaum lelaki mencatatkan kekerapan lebih 5 kali ganda berbanding kaum wanita. Ia juga menunjukkan peningkatan kes bagi pesakit yang berumur 40 tahun ke atas dengan yang tertinggi di kalangan pesakit yang berumur 60-69 tahun. Gejala kanser tekak seringkali timbul sebagai perubahan suara, suara garau atau masalah menelan makanan dan minuman. Pesakit juga kadangkala berasa seperti ada 'sesuatu yang sangkut' di bahagian tekak. Perubahan suara kerapkali merupakan gejala sakit tekak biasa yang disebabkan oleh jangkitan kuman. Akan tetapi sekiranya perubahan suara itu berlarutan lebih dari 2 minggu, pesakit seharusnya mendapatkan pemeriksaan tekak yang lebih terperinci. Gejala-gejala lain yang berkaitan kanser tekak adalah bengkak pada leher yang disebabkan oleh kelenjar limpa, batuk berdarah, sesak pernafasan atau pernafasan berbunyi terutamanya di kalangan mereka yang merokok.

Fakta di atas juga jauh dari tanda-tanda yang aku alami, lagi pula aku bukan perokok. Namun bebas dari merokok bukanlah jaminan Aku selamat dari Kanser Tekak, kerana Almarhum abang sulung Aku juga tak merokok. Bila aku cuba mendapatkan fakta-fakta lain daripada internet, ada yang melegakan dan tak kurang juga yang menggusarkan, antaranya:-
  • Muntah ada pelbagai sebabnya, seperti gastritis atau keracunan, mahupun tumor otak ataupun tekanan intrakranium yang tinggi.
  • Berlakunya penyahhidratan, pesakit harus diberi bendalir intravena untuk menggantikan isi padu bendalir.  
  • Penyakit kelumpuhan syaraf akibat racun botulinum (botulisme) yang disebabkan oleh spora  Clostridium botulinum juga harus diwaspadai.
  • Pemuntahan yang berulang-ulang atau berlebihan boleh menyebabkan terhakisnya esofagus atau koyak-koyak kecil dalam mukosa esofagus (koyak Mallory-Weiss). Ini mungkin terjadi jika darah merah segar bercampur dengan bahan muntah selepas beberapa kali muntah.
Jadi untuk menyedapkan hati, Aku anggap muntah itu akibat ketidakseimbangan elektrolit dalam badan dan darah itu akibat berlakunya koyak kecil dalam mukosa esofagus kerana kerapnya muntah. Apapun halnya tetaplah Aku akan memohon segala perlindungan daripada Allah Yang Maha Menyembuh semoga aku dapat terus hidup, dipanjangkan usia dan dimurahkan rezeki untuk terus mendiami bumi ini sebagai Hamba dan Khalifah-Nya sekaligus.

ps: Alfatihah buat Almarhum Khairul Kamal Bin Hairuddin abang sulungku. juga buat Almarhum Hairuddin Bin Hj. Abd. Jalal dan Almarhumah Maskanah Binti Kusin kedua Ibu dan Bapaku.

Tuesday, February 5, 2013

JOBLESS - USELESS - HOPELESS


Assalamu'alaikum Warahmatullah Wabarakatuh...

Pekabo kome sume? teman harap sume sihat-sihat adenye... "JOBLESS - USELESS - HOPELESS" reality yang separa benar ni pasti pernah melanda 2 daripada 10 manusia dalam dunia ni, sama ada ia menerawang dalam ruang fikiran atau ia sama sekali menghantui kehidupan terutama golongan graduan lepasan institut pengajian tinggi. Rata-rata mereka yang terlibat bukanlah tidak berusaha mencari kerja, namun nasib tidak menyebelahi mereka, atau mungkin sahaja sistem meritokrasi, kronisme, atau sentimen/faktor lain yang ekstrem menjadikan mereka mangsa. 

Ramai juga yang merasa tidak patut mencari pekerjaan yang di bawah tahap kualifikasi/kelayakan yang mereka ada atau jauh lebih rendah daripada ekspektasi masyarakat umumnya dan ahli keluarga khasnya. Aku dah 2 bulan menganggur, tiap hari menambah tebalnya muka menghadap pandangan sinis, mendengar ayat-ayat yang 'membina' hingga merasakan akulah manusia yang paling useless dan hopeless dalam dunia ni.

Pernahkah anda mendengar ada manusia yang ditakdirkan untuk tidak bahagia dan tidak mencapai segala apa yang dicita!? maybe or maybe not! kadangkala sehingga membawa kepada putus asa pada kehidupan seseorang manusia. setiap hari memohon pekerjaan namun penantian terus menjadi penantian, pengharapan tinggal harapan sampai hampir berhenti berharap. Menangis, mengelamun, merenung masa depan yang kian kelam, - Mungkin semua ini kifarah dosa

Apa pun, aku percaya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat diriku

-Biar putus asa dengan hidup, jangan putus asa dengan Allah-

Wednesday, August 8, 2012

NUZUL QURAN & AKHIR FASA KE-2 ~ PECUTAN TERAKHIR

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Apa kahabar sahabat pengunjung Blog Usang!? Harap semua semakin sihat dengan berpuasa. Hari ni dah habis hari ke-19 kita berpuasa, pasti banyak yang kita pelajari daripada Ramadhan kali ini kan!? Mudah-mudahan kita semua menjadi graduan yang lebih baik dari satu Ramadhan ke Ramadhan yang lain.


Blog Usang tak berkesempatan nak buat posting berkenaan Nuzul Quran pada 17 Ramadhan yang lepas. Izinkan Blog Usang gabungkan entry Nuzul Quran bersama posting kali ini ya. 
Nuzul Quran atau dalam bahasanya bermaksud 'Turunnya Al-Quran' merupakan tarikh pertama wahyu Quran diturunkan kepada Nabi kita Nabi Muhammad S.A.W. Terdapat percanggahan pendapat berkenaan tarikh Nuzul Quran samaada 17 Ramadhan ataupun pada antara 10 malam terakhir dari bulan Ramadhan. Namun bagi Blog Usang, apa yang lebih penting ialah sejauh mana ia memberi kesan kepada Ramadhan kita.

Hari ini hari ke-19 dari Ramadhan, kalau mengikut tentatifnya, kita seharusnya sudah dapat menghabiskan 19 juzu' daripada Al-Quran. Saya yakin pasti sahabat semua sudah mencapainya atau mungkin lebih daripada itu malah mungkin ada yang sudah masuk juzu' ke-8 untuk kali ke-2 dalam Ramadhan kali ini. Tahniah!!! 

*************************************************************************************
Fasa ke-2 Ramadhan dah pun sampai ke penghujung, kita akan masuk ke fasa terakhir yang di dalamnya ada satu malam yang nilainya sebanding dengan seribu bulan atau lebih kurang 83 tahun, melangkaui kadar usia bia umat Nabi Muhammad. Dah tahap mana usaha kita ya sahabat-sahabat blog usang semua? banyak atau sikit, yang penting biarlah ada usaha ya.
Banyak yang kita boleh lakukan, selain berjemaah tarawih, kita boleh perbanyakkan berzikir, baca quran, qiamullail, memantapkan lagi kualiti puasa, menghidupkan lagi malam-malam ramadhan, perbanyakkan bersedeqah dan banyak lagi. Janganlah pula sepuluh malam terakhir ni kita terlepas usaha mencari Lailatul Qadar kerana kita sibuk mengejar 'Lailatul Kamdar'. Apalah sangat potongan harga sehingga 80% jiga dibandingkan dengan ganjaran sebesar 83 tahun keberkatan.
JOM KITA CUBA! Walau tak dapat jumpa, sekurang-kurangnya kita telah berusaha.  

Thursday, August 2, 2012

SELOKA RAMADHAN



Lafaz bismillah pembuka kata,
Assalamu'alaikum pemula bicara,
Sedikit rencah budaya kita,
Cuma di maya tanpa suara.

Indah nian Ramadhan ini,
Masjid dan surau meriah terisi,
Seloka pantun hiburan kini,
semoga kita ketemu visi.

Bangun lambat sudah kesiangan,
Menyesal tak sahur bukan kepalang,
Cik adik cik abang apa di angan?
Tak kisah ke subuh yang dah ter'tuang'?

Pagi menjelang langkah terorak,
Mencari rezeki di bumi Allah,
Teruja dengan semangan yang marak
Jangan terlupa baca 'Bismillah'.

Rembang mentari terik terasa,
Relung tekak tersayat dahaga,
Setiap detik dibilang masa,
Kuranglah pahala tidak terjaga.

Baik puasa baik yang tidak,
Pulang kerja terkejar-kejar,
Dalam kepala ingin dan hendak,
Memborong sakan di serata bazar.

Mentari berlabuh senja bertamu,
Masa dinanti telahpun tiba,
Juadah berbuka sudah terjamu,
Setiap satu mahu dicuba.

Perut kembung kenyang tak ingat,
Sampai tak larat mengucap syukur,
kehendak nafsu diturut sangat,
mata pun pejam tidur berdengkur.

Jauhi rasa dengki dan iri,
Semoga jiwa menjadi kuat,
Boleh berpuasa sepanjang hari,
Solat sebentar tak mampu buat.

Mulut mengata lidah berdusta,
Apa nak kata sudah terbiasa,
Jaga hati jaga anggota,
Jangan sampai pahala binasa.

Dirudung rasa sangatlah sakit,
Mengharap cahaya menyuluh jalan,
Bacalah Quran walaupun sedikit,
Semoga nanti menjadi amalan.

Bulan Ramadhan pesta ibadah,
Bulan rahmah bulan sadaqah,
Siangnya puasa malamnya meriah,
Doa diangkat maghfirah terlimpah.

Satu malam jadi rebutan,
Itulah namanya Lailatul Qadar,
Tapi kenapa yang penuh 'I Setan'?
Tak kurang juga berjemaah ke 'Kamdar'

Ramadhan tiba setahun sekali,
Penuhi dengan amal dan bakti,
Bersama kita muhasabah diri,
Membersih diri menyuci hati.

"SELAMAT MENJALANI IBADAH RAMADHAN"