Wednesday, October 1, 2008

Coretan Hati (Versi Aidilfitri)

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Hari Raya Menjelang Lagi, Ibadah sebulan Ramadhan dibimbangi akan berkurangan bermula bulan ini, harap masih ada yang sudi membantu aku untuk koreksi diri. Di hari ini aku menyingkap kembali, kisah syahdu menyayat hati, di kala aku sedari, segala milik ILLAHI, tiada yang kekal abadi, sampai sudah hak mereka untuk pergi.

Emak, dulu kaulah tempat aku meluahkan segalanya, tatkala abah sibuk dengan tugas mencari nafkah untuk kami sekeluarga, tuhan sahaja yang tahu betapa aku rindu dibelaimu, baring di ribamu, bercanda riang bersamamu. Sihat ku membesar dalam jagaanmu, mengajarku patuh pada ALLAH yang satu, sentiasa bersopan dalam setiap laku, barwaspada dalam gerak dan kaku. Aku amat mencintaimu walau tak terzahir pada kata, tak terdengar pada suara, tak terungkap pada bicara. Setiap bait indah madah hikmahmu menjadi pasak kekuatanku, setiap tangisan yang mengalir di matamu meluluh puncak-puncak keegoanku, setiap gerak lembut kesantunanmu merawat parah jiwaku, dan setiap apa yang tuhan kurniakan padamu menjadi inspirasiku. Dikala ALLAH mengujimu dengan kesakitan, kau redha malah kau bersyukur betapa ALLAH memberikan tanda sayang-Nya kepadamu. Ajal tak mungkin dapat ku perlewatkan, kau pergi dalam kekecewaan kerana aku gagal mengkabulkan harapanmu untuk cemerlang dalam pelajaran, namun kata abah, kau tetap mandoakan kejayaanku di masa akan datang pada saat-saat hujung nyawamu. Terima Kasih Emak.

Abah, perih jerihmu membesarkan kami 6 beradik tidak pernah aku terbayang bagaimana suatu hari nanti untuk aku membalasnya, kala emak derita diambang ajal menanggung sengsara, kau setia di sisi menjadi sumber kekuatannya, aku hanya mampu terus menjalankan amanat yang kupikul, belajar menimba ilmu demi masa depan yang masih tak ku pasti. Saat emak pergi menghadap Rabbul Ghafur kau tampak tabah tanpa setitis pun airmata gugur, namun tuhan sahaja yang tahu betapa lebatnya hujan di hatimu yang luhur. Kau merelakan kepergianku jauh dari sisi mu hanya kerana ingin melihat aku berjaya menggenggam segulung ijazah, namun raut wajahmu menggambarkan betapa jauh disudut hatimu tidak sanggup lagi berpisah. Namun tidak sempat aku buktikannya kau pergi juga menghadap Yang Maha Agung, luluh hancur jiwaku apabila satu-satu pancang yang mengukuh pasak kekuatanku kembali pada fitrah mereka. Ingin sahaja aku berundur dari sini tak menoleh lagi, tapi janji ALLAH itu pasti, yang patah akan tumbuh kembali dan yang hilang akan diganti dan kerana itu aku masih setia di sini. Abah, dengan izin-Nya akan kukotakan harapanmu.

Aidilfitri kelima tanpa Emak dan Syawal kedua tanpa Abah, kini aku semakin sedar realiti tak seindah lakaran minda, sempurna hanya milik-Nya, aku hanya mampu berdoa agar roh Emak dan Abah sentiasa dalam peliharaan ALLAH, dilindungai lembayung rahmat dan mangfirah-Nya, diampuni segala dosa, dilepaskan dari azab kubur, diberatkan neraca amalan, dipermudahkan ke syurga, Ya ALLAH, perkenankan doaku ini, kerana aku amat mengasihi mereka.

No comments: