Friday, September 26, 2008

SIAPAKAH AKU, ENGKAU DAN MEREKA?

Sudah tak tertahan lagi beban assignment, so ambil keputusan lari sekejap untuk posting kali ini, BELAJAR MELIHAT diri sendiri dan MENTAFSIR aku digolongkan dikalangan orang apa.


Siapakah orang yang sombong?

Orang yang sombong adalah orang yang di beri penghidupan tapi tidak mahu sujud pada yang menjadikan kehidupan itu iaitu Allah Rabbul Alaamin, Tuhan sekelian alam. Maka bertasbihlah segala apa yang ada di bumi dan langit pada TuhanNya kecuali jin dan manusia yang sombong diri
.
Siapakah orang yang telah mati hatinya?

Orang yang telah mati hatinya adalah orang yang diberi petunjuk melalui ayat-ayat Qur'an, Hadith dan cerita2 kebaikan namun merasa tidak ada apa2 kesan di dalam jiwa untuk bertaubat.

Siapakah orang dunggu kepala otaknya?

Orang yang dunggu kepala otaknya adalah orang yang tidak mahu lakukan ibadat tapi menyangka bahawa Tuhan tidak akan menyiksanya dengan kelalaiannya itu dan sering merasa tenang dengan kemaksiatannya.

Siapakah orang yang kuat?

Orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan kemarahannya ketika ia di dalam kemarahan.

Siapakah orang yang lemah?

Orang yang lemah adalah orang yang melihat akan kemaksiatan di depan matanya tidak sedikit pun ada kebencian di dalam hatinya akan kemungkaran itu.

Siapakah orang yang bakhil?

Orang yang bakhil lagi kedekut adalah orang yang berat lidahnya untuk membaca selawat keatas junjungan Rasulullah s.a.w.

Siapakah orang yang buta?

Orang yang buta adalah orang yang tidak mahu membaca dan meneliti akan kebesaran Al Qur'an dan tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya.

Siapakah orang yang tuli?

Orang yang tuli adalah orang yang di beri nasihat dan pengajaran yang baik namun tidak diendahkannya.

Siapakah orang yang sibuk?

Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s.

Siapakah orang yang manis senyumanya?

Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang di timpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang menangis airmata mutiara?

Orang yang menangis airmata mutiara adalah orang-orang yang sedang bersendiri lalu mengingat akan kebesaran Tuhan dan menyesal akan dosa-dosanya lalu mengalir airmatanya.

Siapakah orang yang kaya?

Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?

Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Siapakah orang yang pandai?

Orang yang pandai adalah orang yang bersiap siap untuk hari kematiannya kerana dunia ini berusia pendek sedang akhirat kekal abadi

Siapakah orang yang bodoh?

Orang yang bodoh adalah orang yang beriya-iya berusaha sekuat tenaga untuk dunianya sedangkan akhiratnya diabaikan. Siapakah orang yang maju dalam hidupnya?

Siapakah orang yang maju?

Orang yang maju dalam hidupnya adalah orang-orang yang senantiasa mempertingkat ilmu agamanya.

Siapakah orang-orang yang mundur hidupnya?

Orang yang mundur dalam hidupnya adalah orang yang tidak memperdulikan akan halal dan haramnya akan sesuatu perkara itu.

Siapakah orang yang gila itu?

Orang yang gila itu adalah orang yang tidak sembahyang kerana hanya dua syarat saja yang memperbolehkan akan seorang itu meninggalkan sembahyang, pertama sekiranya ia haid dan kedua ketika ia tidak siuman akalnya.

Siapakah orang yang rugi?

Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masihberat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikkan.

Siapakah orang yang selalu ditipu?

Orang yang selalu di tipu adalah orang muda yang menyangka bahawa kematian itu berlaku hanya pada orang tua.

Siapakah orang yang paling cantik?

Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?

Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?

Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

Siapakah orang yang mempunyai akal?

Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka.


Jadi, aku ni tergolong di mana? anda dan mereka bagaimana? teruslah BERJALAN dalam sekolah dunia, MELIHAT seisinya yang tersurat dan tersirat dan MENTAFSIR dan menghadam dalam diri....

KASIH SAYANG ALLAH

Memang hidup ini tidak akan pernah sunyi dari setiap dugaan dan ujian.


Apa yang boleh saya katakan, sebagai umat Islam seharusnya kita yakin
sesungguhnya setiap cabaran dan ujian hidup itu adalah bukti kasih
sayang Allah terhadap kita.


Berdasarkan dalil daripada ayat 15-17, surah al-Fijr, kita harus fahami bahawa setiap kenikmatan dan kelapangan yang diberikan itu BUKAN bermakna Allah telah memberikan kemuliaan. Dan setiap orang yang diberikan ujian dan cubaan itu BUKAN bererti Allah telah menghinakannya.

Ibnu Qayyim dalam mensyarahkan dalil daripada ayat-ayat tersebut menyatakan golongan pertama itu sebenarnya telah diuji dengan beberapa kenikmatan dan golongan yang kedua itu pula telah dimuliakan dengan diberinya cubaan dan ujian.

Apa yang penting bersabar dan bermuhasabahlah selalu kepada Allah swt.
Setiap orang yang beriman pasti akan menerima cubaan. Yang pasti, setiap ujian itu akan sentiasa kita alami sepanjang hayat, cuma tahap dan bentuknya mungkin berbeza-beza.

Sebagaimana yang diriwayatkan dari sebuah hadis, Saad bin Abi Waqqas pernah bertanya kepada Rasulullah saw., ”Siapakah orang yang paling berat cubaannya ?”

Jawab baginda, "Di antara orang-orang yang paling berat cubaannya ialah para nabi, kemudian mereka yang seumpama dan seterusnya. Seseorang itu diuji sesuai dengan kadar agamanya. Jika dia mempunyai kekuatan dalam agamanya, maka beratlah ujian yang diterimanya.

Sekira agamanya lemah, tentu dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Ujian akan selalu datang menimpa seorang hamba selagi dia masih berpijak di atas bumi, dan sehingga tiada lagi kesalahan padanya.”
(Riwayat Tirmizi)

Setiap kali diuji, walau seberat manapun cabarannya, ketahuilah... ianya akan menjadi kayu pengukur yang menentukan keteguhan iman seseorang.

Pelbagai ujian dan dugaan yang diterima itu, adalah bukti kasih sayang pencipta terhadap hambaNya. Dan juga untuk memastikan kita semua memiliki iman yang lebih kuat selepas berjaya menempuhnya dengan penuh kesabaran.

Imam Ghazali ada menulis di dalam kitabnya Mukasyafah Al Qulub,”Sesungguhnya bala merupakan pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lupa. Tidak
seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan
bersabar.”

Selain bersabar. Apa yang paling penting ingatlah Allah dan berdoalah selalu. Doa itu adalah ubat yang paling mujarab. Menurut Ibn Qayyim di dalam kitabnya Ad Da’ Wad Dawaa’, “Doa adalah musuh segala bencana. Ianya dapat menolak malah dapat menghilangkannya. Ataupun
sekurang-kurangnya doa itu akan dapat meringankan segala bentuk musibah yang datang.”

Sesungguhnya berdoa itu adalah senjata orang mukmin. Sebagaimana sabda
Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Al-Hakim di dalam kitab sahihnya yang berasal dari Ali bin Abi Talib ra., sabda Rasulullah saw,

“Doa adalah senjata orang mukmin, tiang agama dan cahaya langit serta bumi.”

Akhir sekali, cuba baca perlahan-lahan dan hayatilah sabda Rasulullah saw dibawah yang maksudnya cukup indah dan mendalam sekali. Semoga ianya serba sedikit boleh menjadi penawar ataupun sekurang-kurangnya memberi sedikit suntikan kekuatan untuk kita di dalam menempuh apa saja ujian yang datang.

Janji Allah dalam sabda Rasulullah saw,
“Tiada seorang Muslim pun yang ditimpa sesuatu yang menyakitkan berupa penyakit atau lainnya, melainkan kerananya Allah akan menghapuskan
keburukan-keburukannya sebagaimana pohon yang menggugurkan daun-daunnya.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Semoga kita semua sentiasa bersabar, mengingati Allah dan berdoa selalu
di dalam menghadapi apa saja bentuk ujian yang mendatang.
PERCAYALAH sesungguhnya Allah menyayangimu…

Wednesday, September 24, 2008

Aku yang masih di perjalanan



Aku yang masih di perjalanan hidup ini
Begitu lama berlegar di persimpangan dunia
Menempuh jarak dan titian
Rimba dan lautan
Mencari sesuatu yang abadi

Aku yang masih di perhentian hidup ini
Begitu jauh mengembara ke serata dunia
Mengejar siang dan malam
Surut dan pasang
Mencari sesuatu kebebasan
Mencari sesuatu kedamaian

Di mana berakhirnya perjalanan ku ini
Esok dan lusa bukan milikku
Oh Tuhanku
Lindungilah hambamu yang hina ini
Aku setia hanya padamu
Oh Tuhanku

Lirik lagu yang menyentuh hati dan sanubari, perjalanan hamba mengharap redha tuhannya.

Saturday, September 20, 2008

Tiga Golongan Manusia Berpuasa..

Pertama, mereka berpuasa kerana sedar dan insaf perintah Allah yang diwajibkan keatasnya. Dia malu untuk meninggalkan puasa itu kerana sedar Allah telah memberi terlalu banyak rahmat kepadanya, dan dia juga malu kepada manusia beriman yang lain yang berlapar serta dahaga sehari suntuk kerana Allah Subhanahu wataala. Dengan kata lain ...mereka berpuasa kerana malu terhadap Allah dan manusia.Mereka berpuasa kerana semata-mata patuh dan taat kepada perintah Allah. Golongan ini akan sentiasa berhati-hati menjaga puasanya dari perkara yang membatalkan ibadatnya. Mereka bukan sahaja menjaga puasanya itu dari makan dan minum bahkan setiap tindak tanduk, perbuatan anggota, budi bicara, gerak hati serta lintasan fikiran sentiasa dikawal supaya tidak melakukan perkara yang membawa keburukan.

Mereka berasa malu kepada Allah sekiranya puasa mereka itu tidak sempurna. Hati mereka sentiasa bimbang jika puasa mereka tidak diterima Allah apabila selesai saja waktu berbuka. Malu mereka kepada Allah menebal kerana pelbagai nikmat yang telah dikurniakan kepada mereka selama ini dirasakan tidak setimpal dengan ketaqwaannya kepada Allah. Oleh kerana itu..dimana-mana sekali pun..sama ada di depan manusia atau bila bersendirian.mereka akan tetap memelihara puasa..kerana mereka yakin akan sabda Rasulullah S.A.W " Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatnya. Walaupun engkau tidak dapat melihatnya, sesungguhnya ketahuilah bahawa Dia dapat melihat engkau"

Golongan kedua..mereka berpuasa semata-mata kerana malu kepada manusia tetapi tidak kepada Allah. Golongan ini biasanya berpuasa kerana malu kepada manusia lain yang berpuasa dan kerana ingin menunjuk-nunjuk atau riak. Mereka berasa bangga apabila dia dikatakan seorang yang rajin dan suka berpuasa. Tetapi jika tidak ada orang yang memujinya...semangat untuk berpuasa akan luntur dan hilang. Biasanya orang seperti ini hanya berpuasa di hadapan khalayak ramai. Tetapi bila berseorangan di rumah atau di kawasan terpencil, dia akan berbuka. Iman golongan ini belum mencapai darjat "Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatnya, walaupun engkau tidak dapat melihatnya, sesungguhnya dia dapat melihat engkau".

Sikap golongan ini sebenarnya mereka tidak amanah dengan Allah..dan lebih-lebih lagi..terhadap diri sendiri. Golongan ini termasuk dalam firman Allah yang bermaksud "Mereka menipu Allah dan orang yang beriman. Padahal tidaklah mereka itu menipu melainkan diri mereka sendiri, sedangkan mereka tidak sedar."

Golongan ketiga, mereka langsung tidak berpuasa kerana tidak malu kepada manusia. Apatah lagi Allah yang Maha Melihat. Golongan inilah yang paling hina di sisi Allah. Sebenarnya mereka tidak berpuasa kerana tidak mempunyai iman dan tidak malukan Allah dan juga manusia yang berpuasa. Mereka ini tidak segan silu untuk makan di khalayak ramai seolah-olah bulan puasa sama saja dengan bulan-bulan yang lain. Lebih jahil lagi apabila golongan ini menuduh orang yang berpuasa sebagai bodoh dan menyiksa diri sendiri. Mereka berasa seolah-olah pada masa itu mereka bukan termasuk dalam golongan orang Islam. Tetapi yang peliknya apabila saat hari raya. Golongan inilah yang lebih dulu membuat persiapan untuk menyambut hari raya. Padahal sebelum itu mereka sanggup mencemuh agama dan orang yang berpuasa dengan bermacam-macam cemuhan.

Semua ini terjadi kerana perasaan malu sudah tidak ada dalam diri mereka. Apabila perasaan malu ini sudah tidak wujud dalam diri mereka, mereka sanggup melakukan apa saja yang dikehendaki sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W "Jika engkau tidak mempunyai malu perbuatlah apa yang engkau suka"

Saturday, September 13, 2008

Operasi ISA ketika pembangkang berusaha ambil alih kuasa

Sep 13, 08 2:52am Operasi ISA ketika pembangkang berusaha ambil alih kuasa

Polis telah menahan seorang ahli politik pembangkang, seorang blogger terkemuka dan seorang wartawan dalam satu operasi mengejut ketika pihak pembangkang merancang untuk mengambil alih kuasa.

Ketiga-tiga mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan mereka ditahan tanpa bicara, yang turut digunakan sebelum ini, ke atas mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan.




raja petra to police station on burma doctor sd 040908 04Para pemerhati politik berkata, mereka bimbang Barisan Nasional - yang dimalukan dengan kekalahan teruk dalam pilihanraya umum Mac lalu dan kini diancam pula dengan rancangan pembangkang untuk mengambil alih kuasa - merancang untuk melancarkan gerakan penahanan sepertimana pada tahun 1987.

"Apakah Malaysia kini dicengkam satu lagi kegilaan ISA, sepertimana Operasi Lalang 21 tahun lalu apabila ramai yang ditahan di bawah ISA dan tiga akhbar ditutup?" kata ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang yang turut ditahan dalam operasi tahun 1987 itu.

Blogger terkemuka Malaysia dan editor Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, merupakan yang pertama ditahan di bawah ISA tengahari semalam.



Kemudian, Tan Hoon Cheng, wartawan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, ditahan malam tadi selepas melaporkan kenyataan seorang pemimpin Umno yang didakwa berkata kaum Cina "menumpang" di negara ini.

Baca selebihnya di [Sini] atau versi pro kerajaan di [sini]

PAGI INI

Pagi yang hening, Shairazi menguak langsir bilikku,

“Abang, bangun sahur”.

“Hmm… baru jam 03:30, awal lagi”.

Aku terus melayan lena ku, hinggalah…

“Abang, abang dah sahur belum? Minum lah air dulu”.

“Hmm…ok, ok”.

Pagi ni aku bulatkan tekad untuk turun subuh berjemaah di masjid, dah hamper seminggu aku tak berjemaah subuh di sana. Apa-apa hal pun, mandi lah dulu. Terfikir nak melawat Huzairy sebelum berangkat ke masjid, kesian dia, baru nak tidur rupanya, sepanjang malam belajar sebagai persiapan menghadapi midterm bagi subjek Takaful Muamalat dan Operation Management, atau mungin sekali bertungkus lumus menyiapkan assignment yang bertimbun-timbun.

Usai sahaja solat subuh di masjid, ustaz menyampaikan kuliahnya. ‘Cinta Dunia dan Takutkan Mati’ tajuk yang agak common, namun perlu selalu diperingatkan supaya kita tidak terus leka dengan dunia.

Rasulullah SAW bersabda: “Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan mengerumuni mereka bagai orang yang makan dengan rakus.”

Sahabat bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam lebih sedikit daripada kami?”

Sabda Rasulullah, “Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka ibarat buih di laut.”

Sahabat bertanya lagi,“Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?”

Rasulullah menjawab: kerana ALLAh telah mencabut ketakutan dari hati musuh-musuh Islam dan mereka ditimpa dua penyakit iaitu mereka ditimpa penyakit Al Wahan.”

Sahabat bertanya lagi, “Apakah itu Al Wahan?”

Rasulullah bersabda, “Cinta dunia dan takut mati"

Selain itu ustaz juga menerangkan perihal syaitan yang akan merosakkan kita manusia daripada segenap arah, bisikan suara di telinga, perasaan sangsi dihati, kedangkalan fikiran pada akal dan nafsu dari perut.

“sesungguhnya syaitan itu bagi manusia merupakan musuh yang nyata”

Antara maksud sepotong ayat Quran yang disampaikan, mambuatkan aku berfikir sejenak hidup silamku, mengingatkan aku selama ini aku sering menuruti nafsu, mengiyakan bisikan syaitan… astaghfirullahal ‘azim….

Hmm… teruslah Berjalan, Melihat dan Mentafsir di sekolah kehidupan ini demi mencapai mardhatillah. Ibadah fardhiyyah diperkasakan, yang sunat diperbanyakkan, dakwah diteruskan, doa munajat dipanjatkan, redha Allah diharapkan…

Friday, September 12, 2008

CEMERLANG



Walau apa jua yang kita lakukan dan apa jua yang kita usahakan, buat yang terbaik.

Kerana, hanya orang berjaya saja sanggup buat yang terbaik tak kira betapa susah ia dilaksanakan .


Jika Anda mahu berjaya, usahakan untuk buat yang terbaik, bahkan yang lebih baik dari sebelumnya.


Bukan yang ala kadar, bukan yang main lepas tangan.


Jika Anda seorang pelajar, jadilah seorang pelajar yang terbaik.


Bak kata orang puteh, be the best that you can be, as best as you can!.


Jika Anda seorang guru, jadilah guru yang terbaik, yang paling cemerlang di kalangan guru-guru seangkatan Anda. Mengapa perlu jadi yang terbaik?


Sebab, di situ akan ada kejayaan.


Hanya orang yang kuat berusaha saja merasai kemanisannya mengecap kejayaan.


Sebenarnya kita tak ada had, we have no limits.


Minda kita mampu melakukan apa saja dan mampu menaakul apa saja, asal kita memasukkan sebanyak mungkin input ke dalamnya satu persatu.


Semuanya hanya terbatas oleh imaginasi.


Kita ni yang selalu meletakkan had. Kita sendiri yang kata, tak boleh buat tu, tak boleh buat ni.


Kekadang, timbul kesangsian. Contohnya, bolehkan aku buat ni?


Ada hasil ka? Berkesan ka? Boleh jalan ka? Ish, boleh ka?


Untuk memotivasikan diri, berusaha buat yang terbaik dalam apa jua yang Anda lakukan.


Jika Anda seorang blogger, jadilah seorang blogger yang terbaik.


Jika Anda seorang ayah, jadilah ayah yang terbaik.


Jika Anda seorang pekerja, jadilah pekerja yang terbaik.


Kita rugi menjadi orang biasa, sebab hidup ini terlalu singkat untuk di nikmati seandainya kita biasa-biasa.


Pilih untuk menjadi orang yang luarbiasa, sanggup buat yang terbaik dan berani memotivasikan diri supaya menjadi yang terbaik!


Be the best that you can be!

PENGORBANAN

Telah lama aku perhatikan segala - Ombak nafsu menghancurkan fitrah dunia - Pedih luka meresah jiwa memusnahi impian indah - Biarkan ku tempuhi segalangan halangan pasti mendatang dengan sepenuh jiwa - Biarkan aku pergi meninggalkan dunia yang dicalar kerakusan manusia - Sesungguhnya yang mulia di sisi-Nya hanya ketaqwaan diri kita - Iringilah sayangku semua pengorbanan dengan doa harapan yang bermakna - Tempatkan Ya Tuhanku di singgahsana terindah di syurga dengan para syuhada...


Lagu Pengorbanan dendangan Nowseeheart beralun di laptop ku, tidak semena-mena air mata menitis, apakah yang telah aku korbankan demi Islam selama ini? demi Sabilillah ini? demi negaraku? demi keluargaku? dan demi diriku? Masalah datang menyapa diri, kenapa perlu kau hadir, cukuplah, aku letih... letih? kenapa boleh letih? kerana selalu digomoli nafsu, di ratah dan di lapah semahunya....

semalam... Midterm Risiko Kewangan, tak payah cakaplah, memang hancur...short term study konon, padahal akal tak lah setinggi mana, ada hati nak cemerlang konon...

rasa macam nak tangguh pengajian dan balik kampung... Deha tak bersetuju, Kakak melenting..

"Kenapa nak tangguh pengajian, banyak masalah ke? sabarlah, tinggal setahun je lagi, lepas tu ko nak kerja or sambung belajar, terpulang pada ko, tapi sekarang ni proceed dengan apa yang dah jalan".

"jangan mengada-ngada, ko tu tinggal setahu lagi, nanti tambah semester sama dengan tambah duit tau, ko tu banyak duit sangat ke? Jangan nak tambah masalah pulak"

Hmmm... lupa pulak hal-hal yang macam tu, asyik fikir masalah sendiri sampai semua jadi carca-merba, dulu kakak banyak berkorban sejak Mak pergi menghadap Illahi, demi aku dan adik terus belajar ke IPT. Sekarang Deha pula berkorban sebagai pengganti Abah yang juga pergi telah pergi bertemu Yang Esa, Mungkin selepas ini giliran aku pula...

Benarlah kata orang, Hidup ini ibarat roda, terkadang kita di atas, terkadang kita di bawah. Ada masa senang ada masa susah, cuma keyakinan kita terhadap Qada' dan Qadar-Nya mampu mengubati lara, menenang jiwa, membelai raga.

Hmmmm... Terus Berjalan, Melihat dan Mentafsir

Tuesday, September 9, 2008

Semalamku 2

Assalamu’alaikum WBT, Isnin 8 September 2008 semalam tiada apa yang terlalu istimewa, semuanya berjalan seperti biasa, lebihnya cuma ada midterm bagi subjek Model Perniagaan E-Dagang, itu pun sekadar menggoreng sampai hangus. Mana taknya, sepanjang hari asyik fikir benda lain, sampai apa yang dibaca tak masuk juga dalam kepala.

Berasa kekurangan dan semakin tak kena, masa berubah dan aku juga berubah, bacaan al-Quran semakin kurang lancar dan kadang kala tajwid pun habis dilanggarnya. Teringat zaman kanak-kanak seawal usia enam tahun, belajar tajwid dan baca al-Quran di rumah Allahyarhamah Nenek Melah dan Atuk Leman, dua pasangan inilah antara orang pertama yang mengajar aku alif, ba, ta selain daripada mak dan abahku dan juga ustazah di Sekolah Agama Rakyat Imam al-Ghazali di kampungku Kampung Budiman. Hanya ketika aku berada dipertengahan darjah dua barulah aku mula membaca alQuran setelah khatam kitab Muqaddam. Namun di sana kurang ditekankan bab tajwid sehinggalah ketika darjah empat aku mula belajar tajwid dan al-Quran secara serius di Masjid al-Falah Kampung Budiman dibawah bimbingan seorang anak muda bernama Mohd Noh dan menantu Atuk Leman; Wak Jais.

Serasa begitu sukar membaca al-Quran dengan menggunakan tajwid dan makhraj yang betul, kalimah ‘Bismillahirrahmanirrahim’ sahaja hampir tiga minggu untuk disempurnakan bacaannya. Namun aku sangat-sangat bersukur kerana berkat hidayah Allah dan ketekunan aku belajar, kini aku mampu membaca dan mengesan sendiri setiap kesalahan dalam bacaanku. Namun aku masih memerlukan ada insan lain yang dapat membantu untuk tasmi’ bacaanku.

Jom tadarrus

Hampir setiap malam seorang sahabat mengajakku ntuk sama-sama menyertai jemaah tadarrus selepas solat sunat Tarawih, walaupun mengantuk, aku cuba gagahi jua untuk turut serta bersama mereka. Malam pertama dan kedua Ramadhan ada empat kumpulan, lima malam seterusnya ada tiga kumpulan, sekarang hanya tinggal satu kumpulan sahaja, mana yang lain? Oooo…meeting assignment, tugasan, makan, tidur….ZZZZzzzZZZzzz....

Moreh apa malam ni ek?

Nasi goreng kot, tak pun cucur

biskut pun sodap

Apa pun hidangan untuk moreh, tetap dijamah penuh selera, indahnya hidup berjemaah, hampir semuanya dikongsi bersama. Jika setiap hari begini mahu saja aku kekal di sini, namun itu pastinya hanya anganan kerana esok bukan aku yang menentukannya. Apa yang mampu aku lakukan hanyalah terus Berjalan di lorong hayatku, Melihat setiap coretan di sekolah kehidupaan, dan cuba Mentafsir maksudnya, demi redha dan maghfirah Illahi.

Monday, September 8, 2008

Panduan Asas Fardhu Ain 1

TAHARAH (BERSUCI) Bahagian 1

Iman Al-Ghazali menegaskan dalam kitab Ihya Ulumuddin bersuci itu terbahagi kepada empat tingkat iaitu:

1.Taharah zahir dan batin.

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengani steri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.
(SurahAl-Baqarah ayat 222)

Pengertian bersuci:

Pada Bahasa: Membersihkan diri atau sesuatu daripada sebarang kekotoran. Sama ada benda itu najis ataupun tidak. Benda-benda najis seperti darah, bangkai, tahi dan sebagainya. Benda-benda yang kotor tetapi tidak najis seperti air ludah, hingus dan lain-lain.

Erti pada Syarak: Menghilangkan halangan beribadat kerana ada hadas atau najis atau menghilangkan halangan memakan sesuatubenda disebabkan terkena najis.

1. Mensucikan anggota-anggota lahir daripada hadas-hadas, anasir-anasir jahat dan yang tidak perlu.
2. Mensucikan anggota-anggota badan dari perbuatan-perbuatan salah dan dosa.
3. Mensuci kan hati dari akhlak yang terkeji dan kelakuan-kelakuan yang dibenci dan terkutuk.
4. Mensucikan kebatinan dari semua perkara selain daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala, dan ini adalah cara bersuci para Nabi salawatullahi-alaihim dan juga pada Siddiqin.

Taharah yang bersifat batin ialah mensucikan jiwa daripada kekotoran dosa dan maksiat. Caranya ialah dengan bertaubat dengan sebenar-benarnya taubat. Dengan membersihkan hati daripada kotoran syirik, ragu-ragu, hasad, dengki, menipu dan dosa besar, juga daripada ujub, riya. Perkara ini dilakukan dengan ikhlas, yakin, mencintai kebaikan, bersabar, jujur dan rendah diri. Serta sentiasa mengharapkan memperoleh keredaan Allah dengan niat dan amalan soleh.

Taharah yang bersifat lahiriah pula ialah dengan membersihkan kotoran dan hadas . membersihkan kotoran dengan cara menghilangkan najis dengan air yang suci lagi menyucikan dari badan, tempat, dan pakaian untuk mengerjakan solat.

Semalamku 1

Ramadhan, sudah seminggu berlalu, namun aku masih begini, terlalu banyak masa yang masih dipersiakan, tidur, tidur, dan tidur. amal ibadah entah ke mana. Ahmad menegurku kerana tidak menghadiri kelas tahsin al-Quran, rugi rasanya melayan tidur kerana En. Rushdan sudah menjemput seorang huffaz dari semenanjung semata-mata mahu menyampaikan ilmu al-Quran yang sememangnya menjadi keperluan setiap Muslimin malah mungkin boleh dikatakan kewajipan.

Petang semalam merupakan hari keluarga masyarakat kampus, anjuran Badan Dakwah dan Kerohanian universiti aku. Pertama kali memasak bubur berobok dan sanggar papek, nama pelik tapi rasanya sedap.

Hmmm...kata-kata Ahmad kembali menjengah ruang minda.

"Sekarang ni agak kurang orang yang mahu belajar ilmu Tajwid dan al-Quran, tengok sajalah, kelas al-Quran pagi tadi, berapa kerat saja muslimin yang hadir, muslimat ramai juga. Sepatutnya muslimin yang akan menjadi pemimpin keluarga, imam solat mestilah lebih berasa utamanya belajar semua ni. tapi petang tadi ramai betul yang turun bantu memasak."

Terpukul sungguh aku mendengar kata-kata Ahmad, kadang-kadang kita sibuk di sini membangunkan blog kita dengan ayat-ayat tarbiyyah, menguntai kata-kata perjuangan, namun ibadah fardhiyyah kita masih lagi kurang diusahakan untuk diperkukuh tapaknya. Terkadang sanggup kita utamakan perkara kedua dan ketiga berbanding 'Yang Maha Pertama'

Dan subuh ini masih seperti sebelumnya, bangun sahur segar bugar sahaja tubuhku, namun ke masjid subuh berjamaah tak terlaksana, tewas di ranjang nafsu tidur membelenggu. Subuh sendirian lagi....

Nampaknya aku masih perlu Berjalan, Melihat, dan Mentafsir kehidupan harianku agar hari ini lebih baik dari semalam.