Showing posts with label Melankolik Enigma. Show all posts
Showing posts with label Melankolik Enigma. Show all posts

Wednesday, July 18, 2012

MELANKOLIK ENIGMA-BAB DUA (2)

Haekal termenung di muka jendela, tak pasti pandangannya jatuh kemana namun akal fikirannya menerawang pada memori suka duka bersama Aisyah Humairah, almarhumah isterinya. Segalanya melintas pantas di ruang minda sehingga akhirnya kosong.


"Assalamu'alaikum Abi..."

Lamunan Haekal berkecai pada ucapan salam manja Daniel.

"Wa'alaikumussalam Daniel, anak Abi da bangun, alhamdulillah. Daniel lapar tak, jom kita sarapan, Abi da lapar sangat ni"

"Daniel nak sarapan Koko Crunch dan air Milo...Minum milo anda jadi sihat dan kuat" kata Daniel sambil mengajuk lagu dari iklan Milo di televisyen.

Haekal tertawa dan senyuman pun terukir. Daniel kini sudah berusia 3 tahun, maknanya sudah 3 tahun juga dia membesarkan Daniel sendirian, namun dia senang kerana pada usia sekecil ini Daniel sudah petah berkata-kata, mungkin saja kerana Daniel jugalah teman setia untuk Haekal berbicara. Daniel adalah seisi dunia bagi Haekal.

***********************

Usia menghantar Daniel ke nursery, Haekal terus bergegas ke pejabat. Mengharungi kesesakan jalan raya di bandar metropolitan Kuala Lumpur bukanlah suatu yang membebankan bagi dirinya, malah baginya itu hanyalah salah satu rutin harian ditambah dengan celoteh penyampai radio PanasFM yang menceriakan perjalanan.

Prowhalmer Sdn. Bhd. yang diasaskan oleh seorang hartawan mendiang Tan Sri Joseph Tan ayah kepada almarhumah Aisyah Humairah kini semakin maju di bawah pimpinan Haekal, pelbagai pembaharuan telah diimplimentasi bukan sahaja meningkatkan prestasi pekerja, malah menghasilkan suasana kerja yang ceria dan kondusif. Memang pilihan yang tepat buat mendiang Tan Sri mewariskan sebahagian besar saham syarikat kepada Haekal dan menjadikan Haekal CEO baru Prowhalemer.

"Selamat pagi Tuan, mesyuarat dengan ahli lembaga pengarah jam 10 pagi ini telah disahkan oleh semua ahli, bilik mesyuarat Avicenna telah saya siapkan"

"Terima kasih jenny, Insyaallah saya sudah bersedia"

Setiausaha Haekal menyapa dan memperingatkan jadual mesyuarat pagi ini. Jenny memang seorang setiausaha yang amat berdedikasi dalam setiap gerak kerja, tidak hairanlah Haekal mengekalkan Jenny sebagai setiausaha utama Prowhalemer selepas mendiang Tan Sri meninggal.

************************ 


Mesyuarat berjalan sebaiknya, pelbagai idea baru dan permasalahan berjaya di bincangkan, pengendalian mesyuarat yang baik amat perlu dalam sesebuah organisasi. "Membincangkan isu secara hikmah dan penelitian idea secara kolektif mampu menghasilkan keputusan yang lebih persis dan jitu." Itulah nasihat mendiang Tan Sri pada Haekal suatu masa dahulu.

Sudah jam 5 petang, Haekal berhenti meratib tasbih selepas solat Asar sebentar tadi, kini masa untuk pulang menjemput anak kesayangannya di Nursery Little Khaliff. Nursery Little Khaliff sudah terkenal di Malaysia sebagai francais nursery dan tadika yang mampu melahirkan kanak-kanak pintar serta bijak berfikir dan bertindak.



************************
 

"Assalamu'alaikum Abi..."


"Wa'alaikumussalam Daniel, anak Abi belajar apa hari ni? Seronok tak?"

 "Daniel belajar doa kepada ibu bapa Abi, seronok sangat, lepas ni danel boleh doakan Umi supaya Umi bahagia dan diselamatkan dari seksa."


"Insyaallah Daniel, Umi orang baik, pasti Allah sayang Umi."

Tak semena-mena mengalir air mata membasahi pipi Haekal, cepat-cepat diseka supaya tak terlihat di mata anaknya, namun Daniel awal lagi sudah terlihat, namun didiamkan sahaja. Mungkin sahaja sudah sebati sejak kecil, pantang tersebut perihal Umi, pasti Abinya akan berubah riak wajah.



"Ya Allah, ampunkanlah dosa kedua Ibu Bapaku, kasihilah mereka seperti mana mereka mengasihi ku ketika aku masih kecil dan tempatkanlah mereka di kalangan orang-orang yang beriman"

Thursday, December 11, 2008

MELANKOLIK ENIGMA-BAB SATU(1)

Haekal gelisah, hatinya direntap berita yang mengejutkan, sukar untuk dia membuat keputusan ketika itu. Pangilan telefon sebentar tadi membuatkan hatinya dirudung kegusaran. Mesyuarat itu amat penting baginya dan masa depan kerjayanya. Namun dibulatkan tekad dihatinya untuk meninggalkan mesyuarat yang amat penting itu. Projek pembangunan mega yang dirancangkan selama 10 tahun itu sudah mencapai tahap pembentangan kertas kerja dan hanya menunggu pengesahan dan persetujuan daripada kesemua ahli lembaga pengarah Syarikat Prowhalemer Sdn. Bhd. Sebuah syarikat pembangunan kawasan pesisir pantai yang temahsyur di Malaysia.



Tanpa berlengah lagi, setelah meminta izin mengundur diri, Haekal berlari menuju ke arah kereta pacuan empat rodanya yang diparkir di hadapan bangunan pejabatnya. Enjin kereta dihidupkan serta merta, setelah membaca doa menaiki kenderaan, Haekal terus memecut ke arah selatan menuju ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah. Telefon bimbit berjenama Nokia model N95 milik Haekal kembali berdering...

“Hello, assalamu’alaikum”.

“Wa’alaikumussalam wa rahmatullah”.

“Encik Haekal, anda diminta segera berada di wad bersalin sekarang, keadaan isteri encik semakin tenat, kami memerlukan encik disisinya untuk memberi sokongan”.

“Tapi sekarang saya masih dalam perjalanan, dalam lima minit lagi insya-ALLAH saya sampai, tolonglah buat apa saja yang terbaik buatnya sebelum kedatangan saya, tolong ya doktor”.

“Insya-ALLAH pihak kami akan buat yang terbaik, harap encik Haekal cepat ya, assalamu’alaikum”.

“Baiklah, wa’alaikumussalam wa rahmatullah”.


Ganggang di sebelah sana diletakkan dahulu, talian pun putus, peluh dingin mula merembes membentuk manik-manik jernih di dahi Haekal. Hatinya semakin gelisah, risau sebarang kecelakaan menimpa insan yang paling di kasihinya itu. Keriasuan itu bagai menyiat-nyiat dan merobek-robek hati nuraninya itu. berbisik Haekal berdoa...


“Ya ALLAH, kau permudahkanlah segalanya untukku, selamatkanlah isteriku, juga anak yang bakal dilahirkannya itu, jika ini waktunya, janganlah kau ambil dia dariku sebelum aku berada di sisinya, perkenankanlah permintaanku ini ya ALLAH”.



Pelahan-lahan air mata mengalir ke pipinya. Hari yang ditunggu-tunggu selama perkahwinannya dengan Aisyah Humairah, apa lagi kalau bukan hari untuk dia bergelar bapa. Aisyah Humairah merupakan gadis pilihan hati dan imannya, solehah orangnya, lembut tutur katanya, tulus budinya, cukup untuk memenangi hati Haekal. Beruntung sungguh dia kerana dikurniakan ALLAH seorang isteri yang sebaik itu.


Masih dihujani tanda tanya, bagaimanakah anaknya nanti, lelakikah? atau perempuankah? dalam pada itu bimbangnya pada keselamatan isteri dan bakal anaknya masih mengusut di benak fikirannya, mana taknya, isterinya telah di sahkan mengalami lemah rahim. selama sembilan bulan sepuluh hari dia lebih meluangkan masa bersama isterinya demi memastikan keselamatan kedua-dua isteri dan kandungannya.


Sejurus sampai ke perkarangan hospital, dengan pantas Haekal memakir 'Hilux'nya di tempat meletak kereta. tanpa berlengah dia berlari-lari anak menuju ke lobi hospital. tak terfikir untuk menggunakan lif, dia terus mendaki anak tangga kerana wad bersalin hanya di tingkat dua. Termengah-mengah Haekal mengumpul nafas sesampainya di ruang legar tingkat dua. Seorang jururawat mendekatinya.

"Err..Encik Haekal?".

"Ya saya".

"Mari ikut saya".


"Baiklah".



Belum sempat Haekal melangkah masuk ke dalam bilik bersalin, dia terdengar suara tangisan bayi, dan dia terus masuk menyusuri langkah jururawat bertugas. Haekal terpaku, melihat wajah isterinya yang pucat, dan tangan yang terkulai layu, harapannya isterinya hanya keletihan sahaja tak lebih dari itu. Dia menghampiri isterinya, dikucupi dahinya,


sejuk...

"Minta maaf encik Haekal, hanya bayi ini sahaja yang selamat, kami dah usahakan sedaya kami, selebihnya kami serahkan pada ALLAH".
Kata Doktor Ibrahim.

"Ya ALLAH.....".
Raung Haekal bagai tak dapat menerima kenyataan itu.

"Bersabarlah, ALLAH lebih menyayangi dia, terima sahaja takdir ALLAH, moga ALLAH menempat kita dan dia di kalangan orang-orang yang soleh dan solehah".
Pujuk Doktor Ibrahim.

"Eloklah disempurnakan dulu hak bayi encik itu dulu".


Haekal melangkah lambat-lambat menuju ke bilik air untuk mengambil wudhuk, dan kembali sejurus kemudian. dia merangkul anaknya dengan tertib dan terus menghadap qiblat dan melaungkan azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri anaknya. Dalam juraian air matanya, dalam esakan tangisnya dia berkata,


"Duhai anakku, mulai hari ini kau adalah amanat Tuhanmu untukku, waris cinta Aisyah Humairah, aku berjanji akan membesarkan kau dalam ajaran ALLAH, supaya kelak kau mampu berbakti pada agamamu, bangsamu, negaramu, padaku dan ibumu yang telah pergi. semoga ALLAH melindungi kita dan mengekalkan kita dalam iman dan islam, mulai hari ini kau akan ku namakan dengan nama DANIEL..."

Thursday, October 9, 2008

Melankolik Enigma - Prolog


3:00 am, 10 Oktober 20XX

Daniel tejaga dari tidur lenanya. Nafasnya berdesau kencang. Raut wajahnya tampak berkerut dan keringat jantan sudahpun membasahi tubuhnya, bagaikan baru sahaja menyertai perlumbaan lari pecut. Hujan yang jatuh menimpa bumi sejak malam tadi dan baru sahaja reda itu sepatutnya mampu membuatkan badannya sejuk menggigil, namun cuaca dingin itu tidak langsung mempengaruhi suhu badannya.
Daniel berminpi tadi, mimpi ngeri itu seakan-akan benar-benar berlaku, fikirannya terganggu seketika. teringat pesanan Ustaz Suhaimi,

"Daniel, ingat pesan junjungan kita, dengan mengigati ALLAH s.w.t hati akan menjadi tenang".

Kalimah tasbih diratib berulang kali bagi menenangkan jiwanya yang berkecamuk. Dia menoleh ke arah jam yang tersemat kemas di dinding. Dalam kesamaran, jam dinding itu direnung, lama-lama.

“Astagfirullahal'azim..”

Daniel mengeluh berat, segumpal nafas dilepaskan bagaikan melepaskan satu bebanan yang berat, dia sekali lagi terlewat bangun untuk mengerjakan solat subuh secara berjemaah di masjid, sudah hampir seminggu dia gagal menyertai jemaah subuh di masjid tempatnya. Kerana teringatkan kewajipan ibadah yang dua rakaat cuma itu, serta merta segala perasaan gusar dari hambatan mimpi ngeri yang baru dialaminya itu lenyap.

Daniel bangkit dari katil dan menuju ke bilik air mengambil wudhu’. Wajahnya kembali segar bagaikan pepohon layu kembali tegak dek siraman hujan malam tadi. Dengan tertib dan rapi setiap rukun wudhu' disempurnakan kerana Daniel tahu kesempurnaan solat bermula dengan kesempurnaan wudhu'. Selesai berwudhu', barulah terasa kesejukan yang sedari tadi sepatut dirasanya.

Tanpa berlengah lagi, terus sahaja Daniel membentang sejadah yang di sampirkan di kepala katil di bilik tidurnya ke lantai, tubuhnya dihadapkan ke arah kiblat dan niat solat subuh dibaca dalam hati seiring takbiratul ihram. Ibadah wajib yang dimulai dengan niat dan di akhiri dengan salam ini telah disyariatkan ALLAH s.w.t kepada umat Islam melalui Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w insan kamil tidak pernah ditinggalkannya kerana berat siksaan daripada ALLAH s.w.t yang akan ditimpa kepadanya jika dia meninggalkan solat.

Seperti biasa, sejurus selepas solat Daniel tidak pernah lupa untuk bermunajat memohon ampun dan redha dari Tuhannya yang Maha Kuasa Lagi Maha Pengampun, diselitkan juga doa untuk kedua ibu bapanya yang telah lama meninggalkan dunia dan kini sedang menanti di alam barzakh sana, agak lama juga dia mengadu di hadapan Sang Pencipta namun tak terasa masa berlalu. Selesai berdoa dia menyapu kedua tangannya ke muka dan menyirna saki baki manik-manik air wudhu’ yang masih tinggal di anak rambut dan dagunya yang baru ditumbuhi janggut halus.
Cahaya pagi mula menyerlah diufuk timur, kelihatan mega jingga indah membangkitkan rindunya pada kampung halaman yang telah lama ditinggalkannya, rasa berat baginya mengingati peristiwa lampau itu, jiwanya serasa lemas. Daniel mengatur langkah lambat-lambat menuju ke dapur. Secangkir air teh panas dibancuh.
Sebelum masuk semula ke kamar tidurnya, Daniel menghirup air teh tadi. Sambil fikirannya melayang-layang untuk cuba menafsir makna mimpi ngeri yang dialaminya. Dia bermimpi tentang dirinya, dan tiga orang sahabat baiknya Razman, Akmal dan Hamdi. Mereka bertiga muncul dengan seluruh tubuh yang dibasahi darah merah. Ketika itu dia berdiri begitu hampir dengan mereka. Daniel menghulurkan tangan, menyambut tangan mereka dengan tujuan untuk membantu. Namun hasratnya tidak kesampaian kerana semakin dipanjangkan tangannya untuk meraih jemari sahabat-sahabatnya yang penuh luka itu, semakin jauh dirasakan jarak antara mereka dan secara tiba-tiba dia terjaga daripada mimpinya. Dalam mimpinya itu jelas sekali kelihatan muka sahabat-sahabat baiknya berkerut menanggung kesakitan dan keperitan yang teramat.
Daniel kembali termenung, selama ini kisah perjalanan hidupnya jarang dihiasi indah seperti mana yang selalu terkarang dalam novel kanak-kanak, pelbagai keperitan dan dugaan yang dilaluinya, hingga kadangkala hapir sahaja dia berputus asa daripada meneruskan hidup ini. Berkat sabar dan solat, ALLAH s.w.t meneguhkan hatinya untuk terus manyusuri kehidupan yang bagaikan kejam terhadapnya, namun keyakinan pada Tuhannya sahajalah menjadi pasak teguhnya semangat.
Segumpal nafas panjang dihembuskan. Sambil dia melangkah kembali ke dalam bilik tidurnya. Air teh diteguk lagi dan kemudian diletakkan di atas meja kecil bersebelahan dengan meja komputernya, suis di pasang dan komputernya dengan secara automatik mula beroperasi. Perhatiannya dilontarkan ke arah luar jendela yang bersaiz sederhana bukan pada gajet elektronik yang di bukanya tadi. Cahaya mentari pagi mula menerobos masuk melaluinya. Perlahan-lahan hatinya berdoa,

"Ya ALLAH Tuhan yang Maha Kuasa, kau terangilah hatiku dan hidupku ini seperti mana kau menerangi bumimu dengan cahaya mentarimu buat selamanya".
Sejenak kemudian Daniel kembali termenung mengingatkan kembali kisah hidupnya selama ini…