Showing posts with label Tinta Editor. Show all posts
Showing posts with label Tinta Editor. Show all posts

Tuesday, November 26, 2013

TERUS MELANGKAH

Assalamu'alaikum dan  salam penuh kemesraan. Doa puji-pujian kepada Allah yang Maha Agung serta selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Blog Usang kembali setelah dua bulan menyepi. Perjalanan seperti biasa harus terus ditempuhi dan langkah terus disusun rapi menuju ke destinasi abadi.

Dalam edisi kali ini mungkin tidak banyak yang bakal dikongsikan kerana hidup penulis blog usang tidaklah menarik tertarik da bomb... #merepek. Jadi kita mulakan dengan tarikh2 penting sepanjang 2 bulan yang tertinggal ni... terus melangkah...

Dari posting yang lepas... beberapa hari sebelum itu aku mengikuti kursus team building di Kalumpang Resort bersama-sama anggota kumpulan sokongan dan pegawai di Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia . Intipati berteraskan kerjasama sepasukan dan pengurusan stress. Alhamdulillah diberi kepercayaan untuk menjadi urusetia merangkap peserta. Walaupun penat tidak terhingga sampaikan darah naik keluar dari hidung tetapi rasa kebersamaan menjadikan memori di BPSH bakal dirindui sepanjang hayat. Diikuti 2 minggu terakhir berkhidmat di BPSH, menyelesaikan segala tugasan yang diberikan. Biarlah aku pergi meninggalkan budi daripada pergi dan dikeji. 10 oktober jamuan perpisahan unit pentadbiran BPSH buat kami bertiga yang bakal menamatkan perkhidmatan. 11 oktober tak nampak lagi kelibat teman seperjuangan. Terima kasih Azrin Alias. Orang muda yang penuh semangat sentiasa ceria dan menceriakan hari-hari kami. Hari yang sama Perhimpunan Bulanan BPSH saya diberi hadiah ulang tahun kelahiran dan beberapa hadiah perpisahan. Terima kasih semua

16 oktober. Hari terakhir di BPSH. Jamuan makan tengahari bersama unit kewangan BPSH. Pejabat pun masih kosong kerana sebahagian besar masih bercuti Aidiladha. Seharian bersembang bersama teman-teman. Menghabiskan kerja-kerja yang tersisa dan membantu sahabat lain menyelesaikan tugasan. Terima kasih BPSH atas peluang ini. Afiq, Fadhli, Zul, Azam dan yang lain-lain. 

Bermulalah proses penanaman anggur dan job hunting secara besar-besaran dan selama dua minggu segala macam perkara telah berlaku. Dari yang mudah kepada yang sukar. Dari yang ringan kepada yang berat. Dari yang kecil kepada yang besar. Apa yang aku lakukan? .... terus melangkah.... dan 1 November bermula episod baru aku berkerja, diterima serta merta dengan tawaran yang bagiku amat berbaloi melampaui sebelumnya... Alhamdulillah... alhamdulillah... alhamdulillahi rabbil 'alamin

Dan sehingga kini juga hampir sebulan... melepas kasih memendam rindu... tak mungkinlah mampu melupakan kalau tiap kali tersemat dalam untaian doa. Bagiku doa itu bukan sahaja senjata ia juga penghubung kasih sesama manusia. Aku harus... terus melangkah...



Monday, September 23, 2013

TERIMA KASIH ATAS SEGALANYA, MOHON MAAF ATAS SEGALANYA


Assalamu'alaikum Warahmatullah Wabarakatuh... Syukur tak terhingga kepada Allah yang Maha Berkuasa. Alhamdulillah terdetik di benak aku untuk kembali menulis setelah sekian lama sepi, minda terkunci, terbelenggu menanti mati. Hidup ini indah andai jika dugaan dan cabaran hidup kita klasifikasikan sebagai warna dunia. Namun warna-warna suram pastinya menjadikan lukisan hidup kusam dan kelam. Apakah harus kita biarkan warna-warna suram ini terus mendominasi karya agung yang nak kita hasilkan?

Berlalu setengah setahun penuh cerita menganjakkan paradigma setakuk dari yang lama. Permasalahan hidup kadangkala menjerumus aku ke jurang yang dalam dan ada kala mengangkat aku setinggi awan. Pasang surut keimanan meletakkan neraca pertimbangan hati dalam kewarasan akal terumbang ambing. Cuma Allah yang Maha Mengerti, tiada satu pun makhluknya yang tahu tenang dan gelora di dalam hati.

RAHSIA! frasa yang hampir setiap manusia mumaiyyiz mengetahuinya, maksudnya jelas hanya dengan satu perkataan iaitu RAHSIA. Namun sejauh mana kita mengerti kerahsiaan yang ditetapkan kepada kita dalam aturan Allah Azza Wa Jalla. Betapa keterbatasan akal fikiran takkan mampu merungkai walaupun ada yang mengaku pandai namun jelasnya mereka semua hanya mengandai.

Hidup, Mati, Jodoh dan Rezeki merupakan rahsia terbesar dalam hidup. Pemikiran biasa hanya mampu mengungkap hidup dan mati lumrahnya alam, jodoh dan rezeki boleh dicari. Namun jangan kita lupakan semua itu hanya dengan izinnya Allah dan ia sudahpun termaktub dalam ketetapan-Nya. Kita sebagai hamba hanya perlu terus berusaha sebaiknya untuk persediaan ke arah kerahsiaan itu.
Dari sudut pemikiran, alhamdulillah anjakan ini sedikit sebanyak merubah perlakuan dan teknik aku dalam memutuskan satu-satu perkara yang berlaku. Atur langkah lebih berhati-hati, kerana bimbang tersungkur lagi. Jujur kata aku bukanlah manusia berhati kental cuma terkadang kusembunyikan dari pandangan mata-mata yang memandang juga dari telinga-telinga yang mendengar.

Cerita hidup ku memang tak seindah yang aku harapkan... masih tiada pekerjaan tetap, hutang yang masih tak terbayar, hajat yang tidak tertunai... Dulu pernah terfikir mengapa Allah duga aku sehebat ini, bagaikan tak tertanggung rasanya. Syukur Alhamdulillah Allah tarik aku dari aku terus tenggelam dalam sesalnya rasa, dari terpengaruh pada syaitan yang menggoda... Sungguh hidayah-Nya amat mahal tak terbanding dek harta sedunia. 

Benarlah kata-Nya "Allah tidak akan membebani hambanya diluar batas keupayaannya" dan buktinya aku tidak mati kerana dugaan itu sebaliknya aku menjadi semakin hidup kerana janji-Nya yang diulang sebanyak dua kali berturut-turut dalam Surah Al-Insyirah "Bahawasanya pada setiap kesukaran itu berserta dengannya kemudahan" dan aku akan tetap meyakininya kerana Allah tidak pernah memungkiri janji.


Khamis - 1 Julai 2013, seminggu sebelum Umat Islam di Malaysia merayakan Aidilfitri aku telah diuji dengan kemalangan jalanraya seawal pagi jam 7 dalam perjalanan ke pejabat mengakibatkan kaki aku mengalami keretakan tulang. Terima kasih kepada individu yang tak sempat aku kenali membantu mengalihkan motor aku yang merentang jalan. Juga terima kasih buat 3 orang Pegawai di Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia yang membantu memapah dan menghantar aku ke Hospital Putrajaya tak lupa juga rakan sejawat yang banyak membantu dalam urusan hospital. Terima kasih juga buat kekanda tersayang yang menjemputku pulang ke rumah selepas selesai urusan di hospital. Tak lupa juga buat individu-individu  yang mengambil berat dan mendoakan kesembuhan aku. Allah sahaja dapat membalas jasa baik kalian.

Musibah ini menyedarkan aku betapa kurangnya aku beristighfar, betapa jarangnya aku membasahi lidahku meratib kesyukuran, betapa lalainya aku pada ibadah kewajipanku dan doa-doaku. Sedar dengan kenyataan Allah sentiasa ada dalam setiap keadaanku menjadikan aku lebih tabah mengharungi setiap detik yang berlalu dalam episod yang menguji cekalnya hati. Berpantang maut sebelum ajal, berputus asa bukanlah suatu pilihan kerana lautan rahmat ternyata lebih luas dari pengharapan hamba yang tak bertepi.

Aku mohon keampunan Allah dan kemaafan manusia atas perlakuan aku yang telah menyakiti, atas janji-janji yang sering dimungkiri, dan pada kata-kata yang pedih melukai. Walau kemaafan tak kuperolehi aku yakin Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk diri ini. Takkan sekali-kali aku mengharapkan redha manusia kerana aku takut Allah menyerahkan aku kepada manusia. Biarlah dengan redha Allah menjadi tunjang setiap gerak laku hidupku kerana pada akhirnya aku akan kembali pada-Nya jua.

Semoga akan terus ada coretan seterusnya... 
Sekian sahaja buat kali ini...
Wassalam... 

Tuesday, July 31, 2012

FASA PERTAMA SUDAH BERAKHIR! - FASA KE-2 BERMULA



Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Wamaghfiratuh Waridhwanuh...

...buat semua pelawat 'BLOG USANG'. Alhamdulillah ramadhan hadir dengan semangat baru buat semua. Macam mana Ramadhan kali ini? seronok tak? apa? penat? panas? letih? ....alah bisa tegal biasa la nanti tu kan... apa? tak rasa apa-apa? macam biasa? hmmm... that must be something wrong somewhere... kene buat kaji selidik ni...heheheh

Macam sekelip mata 'Fasa Pertama' Ramadhan dan pergi meninggalkan kita, dan kita dah pun masuk ke Fasa ke-2 Ramadhan... Fasa!? Fasa ape ni!? Fasa Bulan? Fasa Perumahan?  

Sebulan ada 30 hari dan Rasululullah membahagikan Ramadhan itu kepada 3 fasa. Seperti yang sedia maklum,ramai yang tahu 3 fasa yang disebut oleh baginda s.a.w.3 fasa tersebut ialah :
  • Fasa Pertama - Rahmat Allah. 
  • Fasa Kedua   - Keampunan Allah.
  • Fasa Ketiga   - Bebas daripada Api Neraka Allah.
Keutamaan 10 hari pertama Ramadhan.
Pada 10 hari ramadhan telah diriwayatkan sebagai hari diturunkan rahmat daripada Allah kepada manusia. Pada 10 hari pertama ini juga kita akan mendapat limpahan pahala dari pelbagai amalan-amalan yang kita lakukan selama berpuasa. 


Keutamaan 10 hari pertengahan Ramadhan. 
Fasa kedua ini Allah banyak memberikan maghrifah atau keampunan .Inilah saat yang tepat bagi kita untuk meminta ampun atas dosa-dosa kita dengan memperbanyakkan zikir dan meminta ampun agar semua dosa-dosa kita diampunkan dan taubat kita diterima Allah s.w.t.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Sepanjang ramadhan ni ada tak persoalan-persoalan yang timbul di fikiran kawan-kawan pengunjung BLOG USANG ni berkaitan dengan sikap kita di dalam bulan ramadhan? BLOG USANG ada beberapa persoalan yang terbuku di kotak minda ni. Jom kita kongsikan bersama...
  • Ramai orang boleh laksanakan puasa sepanjang hari dari waktu imsak hinggalah maghrib, TAPI kenapa ada antara yang puasa ni tak mampu nak dirikan solat yang 3-7 minit?
  • Ada yang bangun lewat kesiangan TAPI yang dia sesalkan ialah terlepas bersahur dan pasti tak larat nak berpuasa bukannya sesal kerana terlepas solat subuh
  • ada baca di blog ust. zaharuddin, soalan "saya masih dalam hadas besar selepas berjunub bersama isteri pada malamnya dan sehingga tengahari saya masih dalam hadas, sahkah puasa saya?" hadas bukanlah perkara yang membatalkan puasa TAPI ia kunci sahnya solat
Berdasarkan soalan di atas dapatlah BLOG USANG rungkaikan ada di kalangan kita yang berpuasa tetapi meremehkan solat, Solat itu tiang agama, Puasa itu dindingnya, macam mana nak teguh dinding kalau tak ada tiang? 

Jom kita usaha lebih sikit bersama-sama, bukan untuk siapa-siapa, cuma untuk diri kita, siapa lagi nak bantu... 

"Selamat berpesta ibadah di bulan Ramadhan"  

Friday, July 20, 2012

RAMADHAN MENJELMA KEMBALI



Assalamua’laikum Warahmatullahi Wabarakatuh Wamaghfiratuh Waridhwanuh.
Alhamdulillah, Ramadhan al-mubarak menjelma lagi tahun ni. Andai kata Allah takdirkan tiada lagi peluang untuk berjumpa Ramadhan tahun ni, apakah kita ralat? Atau tanya diri sendiri dan anda juga boleh tanya diri sendiri. Tak perlu kita tanya orang lain tentang kualiti puasa kita. Kita yang lebih tahu bagaimana tahap puasa kita dalam tahun sebelumnya. Betul tak?



Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. (sangat banyak) Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya. 

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi- 

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi- 

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi- 

Rasanya sahabat-sahabat semua dah sedia menempuh Ramadhan kali ini kan. Nampak meriah masjid-masjid dan surau-surau seluruh negara dengan kehadhiran jama'ah semeriah solat Jumaat. Memang terasa makmur rumah Allah, semoga berkekalan sehingga penghujung Ramadhan dan kemenangan itu nanti kita sambut dengan laungan Takbir yang panjang dan lantang... 

Mari semua kita pasang niat sambil berhibur dengan lagu Raihan - Puasa Dulu Baru Raya!!!



Bersempena Ramadhan yang mulia ini, saya memohon segala kemaafan daripada semua atas kekhilafan saya selama ini dan semoga kita memperoleh kemenangan sebenar di akhir ramadhan ini dan bulan-bulan serta tahun tahun yang mendatang, SELAMAT BERPUASA :)


Thursday, July 19, 2012

SAHABAT SEJATI SENTIASA DI HATI

Apa yang kita alami demi teman terkadang melelahkan dan menjengkelkan, tetapi itulah yang membuat persahabatan mempunyai nilai yang indah. Persahabatan sering diduga cubaan, tetapi persahabatan sejati mampu mengatasi cubaan itu bahkan bertumbuh matang bersama kerananya...

Persahabatan tidak terjalin secara automatik tetapi memerlukan proses yang panjang. Seperti besi menajamkan besi, demikianlah sahabat menajamkan sahabatnya.

Persahabatan diwarnai dengan berbagai pengalaman. Suka dan duka, dihibur-disakiti, diperhatikan-dikecewakan, didengar-diabaikan, dibantu-ditolak, namun semua ini tidak pernah sengaja dilakukan dengan tujuan kebencian.

Seorang sahabat tidak akan menyembunyikan kesalahan untuk menghindari perselisihan, justeru karena kasihnya ia memberanikan diri menegur apa adanya. Sahabat tidak pernah membalas pukulan dengan ciuman, tetapi menyatakan apa yang amat menyakitkan dengan tujuan mahu sahabatnya berubah.

Proses dari teman menjadi sahabat memerlukan usaha pemeliharaan dari kesetiaan, tetapi bukan pada saat kita memerlukan bantuan barulah kita memiliki motivasi mencari perhatian, pertolongan dan pernyataaan kasih dari orang lain, tetapi justeru ia beriinisiatif memberikan dan mewujudkan apa yang diperlukan oleh sahabatnya. Kerinduannya menjadi bahagian dari kehidupan sahabatnya, karena tidak ada persahabatan yang diawali dengan sikap egois

Semua orang pasti memerlukan sahabat sejati, namun tidak semua mampu mendapatkannya. Banyak pula orang yang telah menikmati indahnya persahabatan, namun ada juga yang begitu hancur karena dikhianati sahabatnya

Mempunyai satu sahabat sejati lebih berharga dari seribu teman yang mementingkan diri sendiri. DALAM MASA KEJAYAAN, TEMAN-TEMAN MENGENAL KITA. DALAM KESENGSARAAN, KITA MENGENAL TEMAN-TEMAN KITA

Ingatlah bila terakhir kali anda berada dalam  kesulitan.  Siapa Yang berada di samping anda? Siapa yang mengasihi anda saat anda merasa tidak dicintai? Siapa yang ingin bersama anda pada saat tiada satu pun yang dapat anda berikan? Merekalah sahabat-sahabat anda. Hargai dan peliharalah selalu persahabatan anda dengan mereka

~I Love U 'sahabat'~

Thursday, May 5, 2011

MAAF : BERSANGKA BAIK

Assalamu'alaikum W.B.T.buat semua, Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi kerna berkat limpah rahmat-Nya kita masih lagi bernafas menghirup udara dan masih memberi kita kesempatan meneruskan pembelajaran di sekolah kehidupan ini....

MAAF; menurut Kamus Dewan Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, ia memberi maksud pembebasan dari sebarang tuntutan kesalahan dan lain-lain, selain itu ia juga memberi makna melepaskan seseorang dari hukuman atau denda atas kesalahan/kekeliruan. Maaf juga sinonim dengan ampun, maghfirah dan belas kasihan. Antara kata terbitan yang lahir daripada perkataan maaf ialah, pemaaf, memaafkan, permaafan, kemaafan, dan bermaaf-maafan.

Dah kita kenal makna maaf, sebenarnya posting kali ini aku hendak memohon kemaafan daripada sesiapa sahaja yang mengenali aku baik secara langsung mahupun tidak. sebagai manusia yang bersifat insani tidak terelak bagi aku melakukan kesalahan dan khilaf dalam kehidupan ini. Aku cuma watak biasa dalam pentas dunia yang beralih dari satu babak ke satu episod ke satu cerita ke satu kronologi ke satu ape-ape je lah. Ringkas cerita "Aku adalah Aku"...

Melafazkan perkataan maaf amatlah mudah seperti mengorek hidung, namun sejauh mana ia terbit dari lubuk hati yang paling dalam? cuma Allah sahaja yang tahu... kadangkala ada yang mengalirkan air mata demi mengharapkan sekelumit kemaafan, dengannya harapan pada simpati moga lapang rasa di hati, siapa yang tak berasa lega menerima kemaafan? mustahil tiada...

Aku memang begini, mudah melaku salah, mudah pula meminta maaf, "drama king"? terpulang pada pandangan masing-masing, aku cuba sehabis baik untuk BERSANGKA BAIK terhadap semua walau hakikatnya terbuku ragu di sudut kalbu. Kata arwah Abah, ragu itu dari syaitan, so lebih baik aku jauhi keraguan dan bersangka baik sesama manusia... tapi bak posting aku baru-baru ni lah, "buat baik berpada-pada", kalau da sampai hilang percaya, manakan datang sangka baiknya....

Ujian-demi ujian mengajar aku erti syukur, ujian tandanya Allah prihatin terhadap aku, Allah tak meninggalkan aku sendiri, dan BERSANGKA BAIK kepada Allah adalah perkara yang amat penting dalam kehidupan kita. Tanpa sangka baik kepada Allah, wujudlah si kaya lari dari Allah, si miskin jauh dari Allah, yang sihat lupa pada Allah, yang sakit meninggalkan Allah (macam lirik lagu Ingatlah nyanyian Sakha)

Allah bersifat maha pengampun tertera pada nama-Nya "Ghaffur", sedangkan Allah Maha pengampun, siapa kita untuk tak mengampunkan? jadi sebelum lelap mata malam ini aku seru diri aku dan semua orang untuk memaafkan... supaya urusan akhirat kelak lebih mudah dan tak perlu menuntut segala, tapi kalau bab hutang tu, aku sarankan selesaikanlah sesegera mungkin...kerana hutanglah Rasulullah melantunkan perkataan "Celakalah" sebanyak tiga kali...

Apa-apapun, semoga kemaafan yang kita bentangkan menenangkan jiwa kita dan menjadikan tidur kita lebih lena, bila aku maafkan, kita maafkan, maka lebih ramai yang mendapat kemaafan... selamat malam...

Sekian dan sehingga bertemu kembali...

Sunday, May 1, 2011

KESEMPATAN 2

Assalamu'alaikumu sekali lagi buat teman-teman semoga sentiasa bahagia di samping keluarga yang dikasihi. Alhamdulillah masih lagi berKESEMPATAN membuat corat-coret di blog usang ini. masih lagi tercari-cari idea untuk kembangkan tajuk KESEMPATAN dalam posting sebelum ni... Ya Allah... curahkanlah ilham buat ku...

Dalam kehidupan ini memang banyak cabaran yang telah, sedang dan bakal kita harungi termasuklah cabaran dalam kerjaya, keluarga, percintaan, persahabatan, kewangan, dan macam-macam lagi. Dalam kita melalui halangan tersebut kita seringkali mengambil KESEMPATAN dan diambil KESEMPATAN, kenapa aku cakap macam tu? haaaa... nanti aku cerita... (padahal tak ada idea)
 
Sepanjang hayat aku, dah banyak KESEMPATAN yang aku ambil, kadangkala dengan cara yang betul kadangkala dengan cara yang salah, tapi semua itu kita pelajari dalam sekolah kehidupan yang luas, sentiasa memperbaiki diri adalah kunci kejayaan. KESEMPATAN tak selalu hadir, selalunya perlu kepada usaha kita sendiri, bak kata pepatah "Luck is when effort meet the opportunity" ermmm.... betul ke ape aku taip ni? kire lebih kurang macam tu lah...
 
Ada orang mengambil KESEMPATAN atas kelebihan mahupun kelemahan orang lain. Contoh pertama bila kita tengok orang lain ada kelebihan contohnya dari segi kewangan.... kita pun meminjam sampai tak hengat-hengat, sanggup mengadu dan merayu bagai, bila tak dapat ada juga yang mencebik dan mengutuk belakang...(aku pernah buat ni)... Contoh lain pula, kita lihat orang lain dalam kesempitan, so kita pun mula mengambil KESEMPATAN dengan menghulurkan bantuan yang tak berbelah bagi tak kiralah sama ada berbentuk material mahupun tenaga, kemudian disertakan dengan ungkapan "aku ikhlas" namun agenda di sebaliknya hanya dia dan DIA sahaja yang tahu... Bagi aku tidak perlulah mengungkapkan perkataan itu kerana Allah sahaja yang layak menilai ikhlas, bukankah "ikhlas itu ibarat semut hitam di atas batu hitam dalam malam yang gelap gelita" dan "ibarat tangan kanan menderma tangan kiri tak tahu apa-apa".... macam manalah kita tahu yang kita ikhlas? .... fikir dan renungkan semula... 
 
Dalam kehidupan juga banyak mengajar kita karenah diri kita sebagai manusia serta bagaimana perlunya KESEMPATAN yang ada perlu diimplementasikan dengan cara yang betul. Manusia punya cita, rasa, dan citarasa, namun adakah itu yang menjadi kuncinya? kata orang tua-tua, "ikut rasa binasa". Dalam perjalanan yang singkat ni kadangkala kita di atas terkadang di bawah kalau nak statik duduk la kat tengah diam-diam jangan kacau orang lain, mana boleh macam tu der! Buat baik berpada-pada, buat jahat sekali-sekala... hahaha, bak lagu mantera beradu "ramai saudaraku yang baik telah dipijak" siapa yang pijak!? mestilah oleh orang yang mengambil KESEMPATAN... 
 
Di dunia ni cuma manusia yang selalu mengambil KESEMPATAN, pulak tu selalu lupa pada yang memberi KESEMPATAN, tahu tak siapa!?.... tak tahu!? iskh.. iskh.. iskh... kronik... kronik... ALLAH Yang Maha Kuasa lah!!! Cuba kita fikir, manusia hidup macam mana? Setiap nafas yang terhirup adalah KESEMPATAN, setiap nafas yang terhela bersamanya pengharapan... pengharapan untuk apa? .....  untuk nafas yang seterusnya supaya ada lagi KESEMPATAN... Allah izinkan kita bernafas so, maknanya Allah bagi kita KESEMPATAN... tak percaya?.... tak percaya sudah!!! bak kata Bapak, "ADA AKU KESAH!!!" 

Di KESEMPATAN ini aku mohon maaf pada semua yang mengenali aku atas KESEMPATAN yang telah aku ambil daripada korang semua sama ada sengaja mahupun tidak, harap-harap aku boleh hidup lebih tenang dengan kemaafan korang. Di KESEMPATAN ini juga ingan aku nyatakan bahawa kotak idea aku sudah kering.... Argh.... malas la nak citer panjang-panjang, pandai-pandai korang la nak amik KESEMPATAN.... kepala otak aku da KESEMPITAN ni.... hahahaha...

SEKIAN... jumpa lagi dalam posting akan datang...

Saturday, April 30, 2011

KESEMPATAN

Assalamu'alaikum, W.B.T. buat semua, nampaknya dah lama sangat blog ni tak meng'update'kan diri, Alhamdulillah Allah masih beri nikmat Iman dan Islam serta segala nikmat kurniaan-Nya yang amat melimpah ruah buat aku, dia, dan kita semua hamba-Nya. Juga Alhamdulillah Allah masih beri KESEMPATAN buat aku menambah corat-coret di blog usang ni.

Kehidupan selepas dunia Universiti amat mencabar, sama ada mental mahupun emosi, jasmani mahupun rohani... Kerja? ramai yang bertanya... biarlah... mereka hanya mahu tahu... selepas itu, tiada yang mahu mengambil tahu. da lama tak menaip ni, jadi kekok bila nak menaip panjang-panjang, selalunya cuma palitan di 'muka buku' sekadar berbasa-basi dengan bahasa-bahasa yang dah basi sementara ada KESEMPATAN.

Lepas konvo bln 10 tahun lepas, banyak juga aku apply kerja di bank-bank, apa boleh buat, belum sampai rezeki kerja buat aku, menganggur dan memasak untuk adik tersayang adalah aktiviti paling menarik buat aku pada masa itu, bila lagi nak dapat KESEMPATAN macam tu betul tak? jadi bakti pada adik tersayang amat menyenangkan hati aku dan hati dia.

KESEMPATAN ber'reunion' bersama kawan-kawan sekolah STK amat aku nanti-nantikan, al-maklumlah cuma aku satu-satunya yang menempel di form 6 menghabiskan sisa persekolahan (padahal tak dapat masuk U) namun aku gembira dapat mencurahkan bakti buat sekolahku yang amat aku cintai. Reunion kali ni paling best sebab semua hadir erm... kecuali Hafiz, thanks to Adib, Khalid, Efdal, Fairus, Syafiq, Yee Guan (shahrul), best sangat-sangat, thanks too to bini Syafiq dan bini Fairus.

25/11 mula kursus MCMF kat PJ, dengan penuh kesungguhan aku ikut kursus tu, sampai habis juga la, walaupun macam-macam hal berlaku, KESEMPATAN yang ada aku pun mencurahkan sepenuh jiwa untuk kursus tu...hahaha, penuh la sangat... ulang-alik naik motor amat memenatkan, keluar sebelum adik aku pergi kerja, balik selepas adik aku balik kerja...kira OK la tu...

10/1 mula kerja di SCICOM dibawah projek AIRASIA...wow, nama yang gah!!! KESEMPATAN emas yang amat dinanti-nantikan... tapi... kusangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di selangi ribut petir di tengahari... hohoho... salah siapa, salahkah kita, salahkah aku atau kamu, siapa mengandung, siapa mengendong, siapa mengandung yang di kendong... WEI!!! jangan nk melalut... tetibe masuk lagu Fabolous Cats ni ape hal...?

28/1 Aku merasa bahagia, KESEMPATAN yang hanya datang sekali takkan ku persiakan lagi, bersama harapan yang hadir biarlah hingga ke akhir hayat, sehingga hembusan nafas yang terakhir, sehingga nadi tak berdenyut lagi, sehingga otak gagal berfungsi, sampai jantung tak berdetak... selama itu pun aku mampu untuk menyanjung mu... da mula la nak nyanyi lagu kenangan terindah... abaikan...

10/3 Secara rasminya aku kembali menjadi penganggur atas nasihat doktor... hahaha... blood pressure 175/141 pulse 101, glucose 16, cholesterol 7.5... terbaek!!!! sampai nak terpengsan gak la kat tempat kerja... thanks to Bapak kerana banyak membantu dalam proses urusan klinik dan hospital dari dahulu sehinmgga kini. Alhamdulillah juga masih Allah beri KESEMPATAN untuk hidup...

15/4 Percutian singkat anak-anakglam bersama Bapak ke Port Dickson, persediaan dan persiapan rapi dan teliti Bapak menjadikan percutian kali ini amat menarik dan menyeronokkan. Berendam dalam air laut dari jam 10 sampailah Zohor... kecut segala otot... makan pulak punyalah sedap Bapak masak semuanya, tak perlu makan kat kedai, budget klu nasi goreng ayam + air bandung mau RM6, tapi bila Bapak masak cuma RM1 per orang.

22/4 Pagi Jumaat yang hening menjadi saksi keluarga Hairuddin menerima ahli baru dengan kehadiran Muhammad Faris bin Khairul Adhar yang sangat comel kemunculan yang dinanti-nantikan Deha dan Kak Sara selama lebih kurang 38 minggu akhirnya selamat menjengah dunia di Hospital PUSRAWI Jalan Ipoh Kuala Lumpur... Happy Birthday Muhammad!!! Nanti dah besar sikit, Uncle bawak Muhammad jalan-jalan naik motor keliling kampung kalau ada KESEMPATAN...

Haiyya... Manyak mutut saya sulah kasi celita... Manyak pinat saya punya jali-jemali... lain KESEMPATAN balu saya kasi celita sama lu olang semua lor... (padahal masih banyak nak bercerita perihal KESEMPATAN, tak apalah, tunggu saja KESEMPATAN (2) akan datang....

SEKIAN.....Assalamu'alaikum

Thursday, October 14, 2010

MENGONVOKAN DIRI

Assalamu'alaikum W.B.T.

Alhamdulillah atas kurnia-Nya, masih ada sisa umur untuk aku memperbaiki dan menambah serba sedikit kekurangan dalam diri. Alhamdulillah juga kerana aku masih lagi diberikan nikmat Iman dan Islam meskipun terkadang godaan nafsu dan syaitan amat menggoyahkan keduanya namun aku cuba juga menggagahkan diri untuk berjihad. Semoga Allah senantiasa memberikan kekuatan kepada ku untuk terus bermujahadah memperbaiki diri...Insyaallah...Amin...

03.10.2010

Ijtima' Sekretariat Masjid Al-Hikmah telah berlangsung, saf kepimpinan bertukar ganti, perjuangan lama diteruskan, idea baru diraikan, nasihat mantan dijadikan panduan dan pedoman. itulah yang berlangsung pada tarikh di atas. tak lupa juga ia merupakan tarikh lahir anak saudara aku yang bernama Nur Farhana 'Aqilah binti Mohd Jaafar.

07.10.2010

Tarikh kat atas ni merupakan ulangtahun aku yang ke-24 mengikut kalendar miladiah, tahun ni lebih mudah, hanya menerima dan membalas ucapan "selamat hari tua" dari facebook dan sms sahaja, tiada sebarang sambutan. eloklah kerana aku semakit ingat usia yang tersisa ni entah bila akan berakhir...


11.10.2010

Tarikh yang kat atas ni pula merupakan tarikh aku mengonvokan diri, walaupun aku dah lama hilang semangat belajar sejak sebelum memasuki tahun ke-2 lagi namun Syukur Alhamdulillah, berkat limpah kurnia ALLAH S.W.T yang mendampingkan sisiku sahabat-sahabat yang sentiasa menumpangkan bahu-bahu mereka sepaya aku kekal berdiri. Terima kasih sahabat... jasamu ku kenang selalu, semoga ALLAH S.W.T. melimpahkan rahmat kurnia, nikmat usia, rezeki murah sentiasa kepada antum semua...




Saturday, September 11, 2010

RINDU DI AIDILFITRI


RINDU YANG MENCENGKAM DI HATI
MENAMBAH PILU DI SANUBARI INI
KENANGAN LAMA MENJELMA KEMBALI

BAHAGIA TERASA
KETIKA KAU BERADA DI SISI OH IBU AYAH
KINI KU HANYA TINGGAL SENDIRIAN

BARU KINI KU SEDARI
SEGALA MILIK ILLAHI
TIADA YANG KEKAL ABADI
HANYA DOA DARIKU
MOGA ROHMU DIRAHMATI

HARI RAYA PASTIKAN TIBA
WALAU KAU TIADA
KU HARUNGI JUA HIDUP INI
BERBEKALKAN KETABAHAN

HARI RAYA TANPA AYAHANDA
TANPA IBUNDA TANPA KELUARGA
TAPI KU MASIH BERSYUKUR PADA YANG ESA

KU SERAH PADA ILLAHI
MOGA KEHILANGAN INI
DAPAT KU PASRAHKAN HATI
PADA MU OH TUHANKU
AGAR KU MENJADI REDHA

Assalamu'alaikum W.B.T semua, Salam Lebaran Aidilfitri 1431 Hijrah, semoga kita tergolong dalam golongan yang mendapat kemenangan. Kemenangan apa pulak? Dah tentulah kemenangan sepanjang proses kita menuntut di Madrasah Ramadhan.

Macam mana dengan sambutan Aidilfitri korang semua tahun ni? meriah? hambar? biasa-biasa sahaja? luarbiasa? Apa-apa pun Alhamdulillah kita masih lagi diberikan nikmat usia yang pastinya kita akan gunakan untuk menambah amal soleh serta menampung kembali kelompangan kita sepanjang umur yang telah kita lalui. Buat yang telah kembali ke Rahmatullah, doakanlah mereka supaya kekal sejahtera di alam barzakh sana.

Sejak beberapa tahun ini, lagu Rindu Di Aidilfitri di atas menjadi lagu tema Aidilfitri buat aku, terutamanya apabila beraya di perantauan (perantauan la sangat...) namun apabila beraya di kampung seperti yang kali ini, hanya sebahagian liriknya sahaja yang bertepatan, kerana di kampung walaupun tiada Emak dan Abah, tetap ada Kak Hairiyana(yan)+Abg. Jaafar+anak-anaknya, Abg. Nizam(awu)+Kak Sarah Dila+anak-anaknya, Abg. Adhar(deha)+Kak Sarah Hanim, adik, sanak saudara dan jiran tetangga.

Raya pertama kali ini penuh kesyahduan dan kesunyian...sebab abang dan kakak semua balik kampung mertua. Penat mengemas punya pasal, seharian hanya terperuk di rumah. Menjelang malam barulah pergi berkunjung ke rumah jiran tetangga.

Raya ke-2 & 3 merupakan hari berhimpun anak cucu keluarga Allahyarham Hj. Kusin (Bapa Allahyarhamah Emak). Hari ini seperti biasa kami berhimpun di rumah Hj. Shafie (Wak Pi'e) Anak lelaki sulung dari keluarga Allahyarham Hj. Kusin sebelum konvoi ke rumah ahli keluarga yang lain. Tahlil dan doa dipanjatkan buat ahli keluarga besar kami yang telah mendahului kami bertemu Allah. Semoga roh mereka dicucuri Rahmat dan kesejahteraan di Barzakh seterusnya Akhirat dan akhirnya mesuk ke dalam Jannah Allah dengan Rahmat-Nya.

Begitulah meriahnya, walaupun di sudut hati ada yang kelam dan sedih, namun rindu pasti terubat bila bersama-sama berkumpul, lebih-lebih lagi bersama makcik-pakcik yang amat memahami hati kami anak yatim piatu kerana mereka juga anak yatim piatu.

Sekali lagi berkat kesempatan ini, Hari baik bulan baik, aku; Khairulanwar Bin Hairuddin a.k.a Nuek menyusun jemari memberi dan memohon kemaafan sepenuhnya, dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, batin dan zahir, daripada sesiapa sahaja yang mengenali diri yang serba kekurangan ini. Kiranya aku ada hutang dengan sesiapa, katakanlah dan akan aku segera melunaskannya.

sekian...
Selamat Hari Raya, Maaf Batin dan Zahir
Minal Aidil wal Faizin
Kullu Amin wa Antum bi Khair




Tuesday, September 7, 2010

KHABAR SALAM...

Assalamu'alaikum W.B.T.

Alhamdulillah atas kurnia-Nya, masih ada sisa umur untuk aku memperbaiki dan menambah serba sedikit kekurangan dalam diri. Alhamdulillah juga kerana aku masih lagi diberikan nikmat Iman dan Islam meskipun terkadang godaan nafsu dan syaitan amat menggoyahkan keduanya namun aku cuba juga menggagahkan diri untuk berjihad. Semoga Allah senantiasa memberikan kekuatan kepada ku untuk terus bermujahadah memperbaiki diri...Insyaallah...Amin...

Sambungan posting LAMA SUDAH...

Terima kasih atas respon nasihat dan kritikan, dan juga pertanyaan khabar daripada sahabat, kawan, rakan, taulan dan tak lupa junior Aspura SMKTK yang amat aku sayangi dan cintai kerana Allah. Jadi dalam posting kali ni nak sambung la cerita supaya tiada yang tertanya-tanya jauh sekali dari sangkaan yang menyatakan aku ni sombong.

Kembali ke UMS-KAL...

Selepas selesai kenduri kahwin Bro. Deha, aku kembali ke UMS-KAL untuk menyelesaikan masalah akademik yang aku hadapi, yang mana ia mampu menghalangi aku daripada bergraduat pada konvokesyen yang akan datang. Terima kasih buat insan-insan yang banyak membantu; Bob, Farid, dan Abdillah terutamanya. Tidak lupa buat Prof. Dr. Sharif Omang yang menggunakan kuasa 'veto'nya untuk aku dapat menduduki Peperiksaan Ulangan Khas bagi subjek IZ00207-Keselamatan dan Pembayaran Sistem E-Dagang. Alhamdulillah LULUS...

Kondisi kesihatan...

Alhamdulillah secara zahirnya aku sihat, kadang kala sahaja datang darah tinggi dan migrain. Alhamdulillah sejak betis aku dibekam oleh Rahman sehinggan kini aku tak lagi di serang Gout.
Secara batinnya pula, susah nak kata, maklumlah aku ni berhati lembut, mudah terasa, mudah terluka, tapi aku cuba juga untuk sentiasa merawat hati, semoga Allah mencurahkan rahmatnya kepada aku agar bersih hatiku.

Sekarang...

Alhamdulillah aku dah kembali ke rumah, diberi kesempatan menghabiskan sisa-sisa Ramadhan bersama keluarga. Aku amat merindui Ramadhan bersama Emak dan Abah namun hakikat kehidupan, setiap yang bernyawa pasti akan mati, kita tak berhak menghalang kerana semua itu milik mutlak Allah S.W.T. Lebaran kali ini merupakan lebaran ke-7 tanpa Emak dan ke-4 tanpa Abah. Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas roh mereka berdua dan mengasihani mereka sebagaimana mereka mengasihaniku sejak kecil lagi...Amin...

Di Kesempatan Ini...

Aku memohon kemaafan yang sebanyak-banyaknya daripada keluarga, sahabat handai SKSB, SMKTK dan UMS-KAL, adik-adik junior SMKTK dan UMS-KAL atas keterlanjuran sikap dan perilaku yang tidak menyenangkan, kata-kata yang menyakitkan hati, teguran yang tidak berhikmah, juga minta dihalalkan makan dan minum, terambil barang tanpa izin dan tanpa redha, moga kalian sentiasa mendapat naungan rahmat dan maghfirah dari Allah S.W.T

Selamat menjalani ibadah Ramadhan...
Selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri...
Selamat semuanya...

Salam santun layangan kalbu,
membawa kata hati nan syahdu;
pohonan ampun maaf beribu,
moga cinta bersulam rindu...




p/s: jemputlah bertandang ke rumah sempena hari raya nanti, kerana aku ada sebulan cuti...

Monday, June 28, 2010

LAMA SUDAH....

Bismillahirrahmanirrahim...Alhamdulillah, panjatan syukur pada Illahi, atas anugerahnya yang tidak terhingga masih mengekalkan aku dalam Iman dan Islam...insyaallah...

LAMA SUDAH.... tak update blog ni, so... dalam posting kali ni nak buat summarize peristiwa-peristiwa penting yang berlaku semenjak posting yang lalu...Selepas balik dari UMS-KAL dengan kecewanya akibat permohonan peperiksaan ulangan khas ditolak dan tak sempat bersama warga UMS-KAL berdemo memperjuangkan isu air yang kian meruncing, fikiran jadi buntu, tak tau nak buat kerja apa...so, dok rumah tengok TV, tido dan membuang masa yang ada semaksima yang mungkin...oh tidak...rohaniku makin rapuh...

Bulan mac tidak berlalu begitu sahaja, tetiba pulak dapat tempahan untuk membuat 400 cawan jeli kelapa...fuhh...menjadi jugak walaupun baru cubaan pertama, berserta komen2 yang membina. Selain projek jeli kelapa, ada juga projek menyediakan soft copy koleksi soalan untuk beberapa subjek PSRA diminta oleh Ustaz yang mengajar kelas agama kelab JimHaHo... kelab JimHaHo...ape 2? haaaa....ni la kelab remaja yang paling aktif di kampung kami Kampung Budiman...

Bulan April...mula berasa tertekan dengan kebosanan di rumah...kepala otak aku mula merancang yang bukan-bukan...tak perlulah di sampirkan kat sini...huhuhu...18 April kenduri kahwin Mohd Nashad bin Mainor...dia ni satu-satunya roommate aku kat UMS-KAL sepanjang pengajian tu pun tahun pertama saja, sebab start tahun kedua sampai la ni, aku memang tak ade roommate.
Ni la gambar yang sempat di snap...sebelum balik...

Keesokan harinya aku terus merantau warrior selama sebulan mencari arah sehinggalah aku menyertai program jelajah dakwah Sabah anjuran Markas Siswa Siswi Sabah (MARSIS) dengan kerjasama PSS, aku join la atas tiket PSS, ni lah first time mengikuti jelajah yang sedemikian, walaupun tak dapat mengikuti sampai ke akhir program, namun tetap mengisi jiwa yang lama kontang ni.
Antara wajah ceria Fasi dan Madh'u

Bulan Jun tanggal 10 aku balik semula ke rumah yang lama aku tinggalkan...lama ke?...Abangku Khairul Adhar bin Hairuddin selamat diijab kabulkan bersama pasangan pilihan hatinya sejak di menara gading lagi iaitu Noorsarah Hanim bte. Rasiman dengan sambutan yang meriah sekali. Selamat pengantin baru abangku...

Gambar seusai majlis pernikahan...

Tanggal 22 bulan Jun kembali ke Bumi di Bawah Bayu dan bernikah dengan buah hati pengarang jantung, intan payung naungan alam, penyejuk mata penyeri jiwa...huahuahua...

Tuesday, February 9, 2010

PENCURI JAHANAM: YA ALLAH, KAU BUKAKANLAH HATINYA UNTUK BERTAUBAT

Assalamu'alaikum semua,

Pada awal pagi hari ini aku telah diuji dengan dugaan yang agak berat la jugak bagi aku.... Tak panjang ceritanya, lebih kurang jam 2:30 pagi, aku keluar daripada 'bilik bersemayam' menuju ke 'bilik termenung' yang hanya beberapa langkah jaraknya. Sedang aku menunaikan 'Qadha' Hajat' penyamun handalan berjaya menyusup masuk kedalam unit kediaman aku dan penuh profesionalnya dia berjaya menyonglap kedua-dua handphone aku. Yang peliknya dompet kat atas meja yang sama tak pulak dikebas...ternyata ini pencurian terancang...ape-ape pon, aku serahkan pada ALLAH S.W.T.

SESUNGGUHNYA CELAKALAH DUNIA DAN AKHIRAT BAGI MANUSIA YANG MENCURI KEDUA-DUA HANDPHONE AKU, SAMA SEKALI TIADA HALAL BUATNYA WALAU SEBUTIR ZARAH, ALLAH S.W.T SAKSIKU, HAKIMKU, PASTI NERAKA TEMPATMU!!!

Wednesday, July 15, 2009

TINGGAL KENANGAN

Bismillahirrahmanirrahim...
kalimah mulia pembuka bicara, mengubat hati luka, merawat jiwa lara.

Alhamdulillah...
lafaz kesyukuran setinggi-tingginya buat Tuhan Semesta Alam, walau tak terzahir pada lisan, tetap bergema di ruang hati yang dalam. Selawat dan salam buat qudwah hasanah sepanjang zaman, Nabi Muhammad S.A.W, para Sahabat R.A, tabi'in, tabi' tabi'in. Doa kesejahteraan dipanjatkan buat para pejuang Islam yang sudah kembali kerahmatullah dan yang masih melata di bumi ALLAH ini.

Assalamu'alaikum W.B.T kawan-kawan, adik-adik Klang High School (KHS) moga anda semua dalam sihat-sihat sahaja dan terus bersemangat untuk mengejar cita dan cinta kerana ALLAH S.W.T.

Hari ini tanggal 15 Julai 2009, aku rasa ada perkara yang aku lupa. bila aku cuba refresh betul-betul kepala otak aku, barulah aku teringat hari ini merupakan hari ulang tahun kelahiran seorang insan yang amat aku sayangi di dunia ini, dan pastinya anda pembaca juga ada atau pernah ada insan sepertinya. Insan yang aku maksudkan adalah ibuku sendiri. Maskanah Binti Kusin yang aku panggil 'emak'.

Insan yang dikurniakan kebolehan istimewa yang tak terdapat pada super heroes, super human atau super villain. Apa lagi kalau bukan hati nurani seorang ibu, mampu menyejukkan hati yang semarak api membakar, mampu meredakan ribut badai jiwa menggoncang, mampu menenangkan ombak rasa menggulung, mampu menyubur bebenih cinta sayang dan mampu menghampar lautan kasih.

Marilah kita bersama menyanyikan lagu kasih kita pada Emak, Ummi, Ibu, Mama, Mami, Mom, Amma dan Mamak kita.



Who should I give my love to?
My respect and my honour to?
Who should I pay good mind to
After Allah and Rasul-Allah?

Comes your mother
Who next? Your mother
Who next? Your mother
And then your father

Cause who used to hold you
And clean you and clothe you?
Who used to feed you
And always be with you?

When you were sick
Stay up all night
Holding you tight?
That right no other
My mother

Who should I take good care of
Giving all my love?
Who should I think the most of
After Allah and Rasul-Allah?

Comes your mother
Who next? Your mother
Who next? Your mother
And then your father

Cause who used to hear you
Before you could talk?
Who used to hold you
Before you could walk?

And when you fell
Who’d pick you up?
Clear your cut?
No one but
Your mother
My mother

Who should I stay right close to?
Listen most to?
Never say no to
After Allah and Rasul-Allah?

Comes your mother
Who next? Your mother
Who next? Your mother
And then your father

Cause who used to hug you
And buy you new clothes?
Comb your hair and blow your nose?
And when you cries who wiped your tears?
Knows your fears?
Who really cares?
My mother

Say Alhamdulillah
Thank you Allah
Thank you Allah
For my mother

Emak, aku tak akan lupa untuk mendoakan mu setiap kali selepas solatku, moga Allah mencucuri rahmat-Nya kepadamu. untuk pengetahuan para pembaca, hari lahir Emak sama dengan hari lahir kakak saya 'Hairiyana Hairuddin' semoga kakak panjang umur dan dimurahkan rezeki, terima kasih kerana kakak banyak berkorban menggantikan tugas Emak menjaga kami adik beradik. Tak lupa juga hari lahir arwah Abah yang ke 67 pada tanggal 12 Julai lepas. Mohon para pembaca menyedekahkan alfatihah kepada kedua insan ini, semoga tenang mereka di barzakh sana.





Aku mengerti hidup tak selalunya indah, langit pula tak selalu cerah, Ya Allah, kau berikanlah aku kesabaran jiwa, kurniakanlah aku ketabahan hati, hadiahkanlah aku keteguhan iman, supaya aku tak rapuh dipukul ribut amarah, tak luruh dihentam badai nafsu, tak runtuh di terjah musuh abadi. Jadikan ia penguat segala sendi untuk aku BERJALAN, penyuluh jalan supaya aku dapat MELIHAT, dan sebagai lantera yang menerang jiwa dan minda untuk aku MENTAFSIR....

Sunday, September 7, 2008

Pengalaman 1

Assalamu’alaikum WBT. Pengalaman lalu mengajar erti ketabahan, sejauh mana kita mengimplikasikan dalam kehidupan seharian kita supaya menjadi lebih baik dari semalam, dipetik daripada Ali bin Abi Talib R.A, manusia yang hari ini lebih baik dari semalam merupakan manusia yang berjaya, manusia yang hari ini sama seperti semalam adalah manusia yang tertipu, manakala manusia yang hari ini lebih teruk dari semalam adalah manusia yang rugi.

Suka untuk aku berkongsi pengalaman ku bersama kamu semua, kehidupan selama tujuh tahun di asrama banyak membantu dalam proses pembentukan diri aku. Masih terngiang-ngiang lagi di telinga, kata-kata yang mengguris jiwa, merobek sukma, sukar diterima namun ku telan jua.

“Babi ko ni, ko selalu buat taik ngan aku, ke memang suke tengok aku kene rotan ngan cikgu kan!?. Sial, pukimak, celaka!!!”.

“daripada korang undi lahanat ni jadi ketua, baik lagi ko lantik fire estinguisher ni, lagi banyak faedahnye”.

Antara kata-kata yang dilemparkan secara terus dan secara serang belakang. Kadangkala aku cuba mentafsir, mengapa mereka sanggup memperlakukan aku sedemikian rupa, namun aku percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya, Allah itu Maha Adil. Aku bukan sengaja menjaga tepi kain mereka, tapi aku mahukan generasi selepas aku terlahir sebagai individu-individu yang membawa perubahan positif kepada asrama dan sekolah yang aku cintai, juga demi masa depan mereka. Salahkah aku cuba melakar hari esok yang lebih baik dan cerah?

Teringat pesan allahyarham mak dan abah selalu berpesan padaku setiapkali sebelum aku pulang ke asrama,

“nuar, belajar rajin-rajin, jangan main-main je. Ingat, ilmu tu harta paling berharga, perlu banyak bersabar untuk menimbanya, selalu bersabar dan bersyukur, insyaAllah, Allah akan bantu tunjukkan jalan”.

Pesanan itu tak pernah aku lupakan, biarpun mereka sudah pergi selamanya. Serasa tunggak yang dulu menyokongku teguh sirna satu persatu, tinggal aku yang goyah dan rapuh.

Kini aku masih berjalan dalam laluan pembelajaran, melihat segala palitan warna keindahan agung ciptaan-Nya, dan mentafsir enigma yang sedikit sebanyak menjadikan hari esokku lebih baik dari semalam yang ku tinggalkan.

Sekapur Sireh Sulas Pinang

Asslamu’alaikum WBT. Pertama sekali aku panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah Azzawajalla, kerana berkat kurniaan nikmat dan rahmatnya aku kembali ke sini dengan blog baruku sebagai pengganti kepada blog lamaku nuekzcyberzone.

Ribuan terima kasih buat sahabat yang telah banyak menyokong ku dari segenap arah, terutama sahabat sefiqrah, teman sekuliah, rakan sekolah dan mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung. Syukran jazilan kathira buat saudara bob, semoga Allah merahmati segala jasamu padaku.

Semoga blog baru ini lebih memberi makna bagi yang berjalan melihat dan mentafsir bahawa kehidupan ini bukan sekadar membiar ia berlalu...