Monday, January 19, 2009

AKU YANG MEMBOSANKAN - SIRI 3

ISNIN (19 Januari 2009)

Rasa lega selepas presentation sabtu lepas, tapi banyak lagi kerja tutorial dan assignment yang perlu di siapkan dan dihantar. malam tadi, sempat menjenguk beberapa blog sahabat yang banyak menceritakan penderitaan rakyat Palestin, kanak-kanak, wanita dan orang tua dibunuh sewenang-wenangnya oleh tentera zionis, pagi ini pula terima mesej yang menyatakan Mc Donald's dan Starbuck's Coffee akan menyumbangkan segala keuntungannya sepanjang minggu ini untuk tentera zionis, manakala filem terbaru Adam Sandler "Bedtime Stories" juga akan menyumbangkan keuntungannya kepada tentera israel laknatullah. (aku juga dah menonton filem tersebut, tapi aku download dari torrentz.com, hahaha, padan muka diorang)

Ketika rakyat Palestin menderita dan semakin ramai yang terkorban, aku di sini pula diuji oleh ALLAH yang Maha Pemberi dengan kesakitan diserang GOUT, sejak semalam aku rasakan keperitan yang amat, Ya ALLAH, aku redha dengan ujian-Mu. Apalah sangat sakitnya diserang gout ni berbanding penderitaan saudara seislam kita di Palestin, hari ini aku berehat sahaja di bilik, tak dapat menghadiri kuliah Perancangan dan Pengurusan Kekayaan, dan juga tutorial Makroekonomi dan tutorial Institusi dan Pasaran Kewangan Islam.

Rasanya itu sahaja setakat ini, hendak BERJALAN tapi tak cukup tenaga hanya mampu MELIHAT dari celahan jendela, namun tak lupa MENTAFSIR besarnya kurniaan Yang Esa...

Tuesday, January 6, 2009

TAHUN BARU, SEMESTER BARU, MINDA BARU, HARAPAN BARU.

assalamu'alaikum...

jemari menari di papan kekunci, memulakan tahun baru ini, dengan hati yang masih berbahagi, adakah aku rela untuk berbagi, tanpa hasrat ingin diberi, masalah demi masalah menghujani, aku tahu ini ujian Illahi, jadi tetap juga ku gagahi. aku berjalan di sepanjang jalan ini, melihat seisi duniawi, berdiri kaku mentafsir segala erti...

cukuplah madah pujangga ngan ayat-ayat jiwang ko tu...

hish...kacau betullah mamat ni, baru aku nak berpuitis sikit...

Ok lah, kembali ke topik asal, 1430 hijrah dan tahun baru 2009 masihi membawa bersama duka, gembira, tangis dan ketawa. Isu palestin yang tak pernah reda kini kembali membara dengan keganasan zionis yahudi laknatullah yang ganas melata. bumi palestin tak pernah sunyi dengan tangisan anak-anak, dentuman bom dan mortar, juga tidak ketinggalan laungan jihad dan takbir. namun di negara kita, isu pengkid yang menghina mufti semakin menjadi 'highlight', bukti keruntuhan paradigma dan akhlak yg semakin meruncing. Semakin ramai yang menuding jari bila masalah keruntuhan akhlak ke udara. ada masa kita bincang dan kupas bersama.

Insyaallah hijrah ini, akan cuba lahir dengan minda baru, isu-isu yang lebih kontemporari, kupasan yang lebih matang dan berani. (harap dapan tunjuk ajar daripada sahabat yang lain). belajar ke kuliah tetap ke kuliah, namun sekolah kehidupan merupakan medan belajar yang sampai ke liang lahad, jadi baik dikongsi molek di sampaikan.

sampai setakat ini dahulu, harapan biarlah disandarkan pada usaha dan tawakkal kepada ALLAH bukan pada kenangan semata, kerana kita ini manusia biasa berdiri atas kehendaknya, beribadah demi redhanya, jadi renung-renungkan dan selamat beramal...

Thursday, December 11, 2008

MELANKOLIK ENIGMA-BAB SATU(1)

Haekal gelisah, hatinya direntap berita yang mengejutkan, sukar untuk dia membuat keputusan ketika itu. Pangilan telefon sebentar tadi membuatkan hatinya dirudung kegusaran. Mesyuarat itu amat penting baginya dan masa depan kerjayanya. Namun dibulatkan tekad dihatinya untuk meninggalkan mesyuarat yang amat penting itu. Projek pembangunan mega yang dirancangkan selama 10 tahun itu sudah mencapai tahap pembentangan kertas kerja dan hanya menunggu pengesahan dan persetujuan daripada kesemua ahli lembaga pengarah Syarikat Prowhalemer Sdn. Bhd. Sebuah syarikat pembangunan kawasan pesisir pantai yang temahsyur di Malaysia.



Tanpa berlengah lagi, setelah meminta izin mengundur diri, Haekal berlari menuju ke arah kereta pacuan empat rodanya yang diparkir di hadapan bangunan pejabatnya. Enjin kereta dihidupkan serta merta, setelah membaca doa menaiki kenderaan, Haekal terus memecut ke arah selatan menuju ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah. Telefon bimbit berjenama Nokia model N95 milik Haekal kembali berdering...

“Hello, assalamu’alaikum”.

“Wa’alaikumussalam wa rahmatullah”.

“Encik Haekal, anda diminta segera berada di wad bersalin sekarang, keadaan isteri encik semakin tenat, kami memerlukan encik disisinya untuk memberi sokongan”.

“Tapi sekarang saya masih dalam perjalanan, dalam lima minit lagi insya-ALLAH saya sampai, tolonglah buat apa saja yang terbaik buatnya sebelum kedatangan saya, tolong ya doktor”.

“Insya-ALLAH pihak kami akan buat yang terbaik, harap encik Haekal cepat ya, assalamu’alaikum”.

“Baiklah, wa’alaikumussalam wa rahmatullah”.


Ganggang di sebelah sana diletakkan dahulu, talian pun putus, peluh dingin mula merembes membentuk manik-manik jernih di dahi Haekal. Hatinya semakin gelisah, risau sebarang kecelakaan menimpa insan yang paling di kasihinya itu. Keriasuan itu bagai menyiat-nyiat dan merobek-robek hati nuraninya itu. berbisik Haekal berdoa...


“Ya ALLAH, kau permudahkanlah segalanya untukku, selamatkanlah isteriku, juga anak yang bakal dilahirkannya itu, jika ini waktunya, janganlah kau ambil dia dariku sebelum aku berada di sisinya, perkenankanlah permintaanku ini ya ALLAH”.



Pelahan-lahan air mata mengalir ke pipinya. Hari yang ditunggu-tunggu selama perkahwinannya dengan Aisyah Humairah, apa lagi kalau bukan hari untuk dia bergelar bapa. Aisyah Humairah merupakan gadis pilihan hati dan imannya, solehah orangnya, lembut tutur katanya, tulus budinya, cukup untuk memenangi hati Haekal. Beruntung sungguh dia kerana dikurniakan ALLAH seorang isteri yang sebaik itu.


Masih dihujani tanda tanya, bagaimanakah anaknya nanti, lelakikah? atau perempuankah? dalam pada itu bimbangnya pada keselamatan isteri dan bakal anaknya masih mengusut di benak fikirannya, mana taknya, isterinya telah di sahkan mengalami lemah rahim. selama sembilan bulan sepuluh hari dia lebih meluangkan masa bersama isterinya demi memastikan keselamatan kedua-dua isteri dan kandungannya.


Sejurus sampai ke perkarangan hospital, dengan pantas Haekal memakir 'Hilux'nya di tempat meletak kereta. tanpa berlengah dia berlari-lari anak menuju ke lobi hospital. tak terfikir untuk menggunakan lif, dia terus mendaki anak tangga kerana wad bersalin hanya di tingkat dua. Termengah-mengah Haekal mengumpul nafas sesampainya di ruang legar tingkat dua. Seorang jururawat mendekatinya.

"Err..Encik Haekal?".

"Ya saya".

"Mari ikut saya".


"Baiklah".



Belum sempat Haekal melangkah masuk ke dalam bilik bersalin, dia terdengar suara tangisan bayi, dan dia terus masuk menyusuri langkah jururawat bertugas. Haekal terpaku, melihat wajah isterinya yang pucat, dan tangan yang terkulai layu, harapannya isterinya hanya keletihan sahaja tak lebih dari itu. Dia menghampiri isterinya, dikucupi dahinya,


sejuk...

"Minta maaf encik Haekal, hanya bayi ini sahaja yang selamat, kami dah usahakan sedaya kami, selebihnya kami serahkan pada ALLAH".
Kata Doktor Ibrahim.

"Ya ALLAH.....".
Raung Haekal bagai tak dapat menerima kenyataan itu.

"Bersabarlah, ALLAH lebih menyayangi dia, terima sahaja takdir ALLAH, moga ALLAH menempat kita dan dia di kalangan orang-orang yang soleh dan solehah".
Pujuk Doktor Ibrahim.

"Eloklah disempurnakan dulu hak bayi encik itu dulu".


Haekal melangkah lambat-lambat menuju ke bilik air untuk mengambil wudhuk, dan kembali sejurus kemudian. dia merangkul anaknya dengan tertib dan terus menghadap qiblat dan melaungkan azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri anaknya. Dalam juraian air matanya, dalam esakan tangisnya dia berkata,


"Duhai anakku, mulai hari ini kau adalah amanat Tuhanmu untukku, waris cinta Aisyah Humairah, aku berjanji akan membesarkan kau dalam ajaran ALLAH, supaya kelak kau mampu berbakti pada agamamu, bangsamu, negaramu, padaku dan ibumu yang telah pergi. semoga ALLAH melindungi kita dan mengekalkan kita dalam iman dan islam, mulai hari ini kau akan ku namakan dengan nama DANIEL..."

PUISI CINTA


cinta...

biasa terungkap di bibir kata,

bahasa indah penuh bermakna,

kala hadirnya indah belaka,

tiada duka tiada nestapa,

insan terbuai dek bayu asmara,

terus dibawa arus dunia.


cinta...

kerananya manusia perkasa,

kerananya manusia berupaya,

kerananya manusia berjaya,

kerananya juga manusia derhaka,

kerananya juga manusia terleka,

kerananya juga manusia binasa.


cinta...

hakikat dunia tiada yang sempurna,

melainkan cinta pada yang Esa,

tunduk bersimpuh di riba Tuhannya,

memohon ampun atas segala dosa,

meminta teduh di lembayung rahmat-Nya,

terima hakikat sebenar seorang hamba.

Wednesday, December 3, 2008

PERMOHONANKU...



Dilubuk hatiku terdalam,


Ini yang ku pilih penuh keyakinan,


Namun kadang bimbang menyerang,


Sanggupkah melangkah untuk terus berjalan.





Saat badai menderaku,


Hingga rapuh dan goyah,


Tiada daya untuk bertahan,


Hanya Engkau tempat berpegang.




Saat hujan basahi ku,


Penuh lumpur dan noda,


Dalam deraian air mata,


Dengarlah permohonanku.




Berkatilah setiap semangat jiwa,


Untuk selalu berjuang di jalan -Mu,


Berjagalah hati yang kadang redup,


Ditiup angin duniawi, gemerlap kilauan harta,


Terkadang cinta manusia yang menyesatkan selamanya.