Tuesday, June 9, 2009

TRIBUTE TO 'ABAH'



Bismillahirrahmanirrahim...
kalimah mulia pembuka bicara, mengubat hati luka, merawat jiwa lara.

Alhamdulillah...
lafaz kesyukuran setinggi-tingginya buat Tuhan Semesta Alam, walau tak terzahir pada lisan, tetap bergema di ruang hati yang dalam. Selawat dan salam buat qudwah hasanah sepanjang zaman, Nabi Muhammad S.A.W, para Sahabat R.A, tabi'in, tabi' tabi'in. Doa kesejahteraan dipanjatkan buat para pejuang Islam yang sudah kembali kerahmatullah dan yang masih melata di bumi ALLAH ini.

Assalamu'alaikum W.B.T kawan-kawan, adik-adik Klang High School (KHS) moga anda semua dalam sihat-sihat sahaja dan terus bersemangat untuk mengejar cita dan cinta kerana ALLAH S.W.T.

09 JUN 2009...
Cepat sungguh masa berlalu, sedar tak sedar, sudah genap 2 tahun abah pergi meninggalkan kami adik beradik setelah emak pergi menyahut panggilan ILLAHI lebih kurang 5 tahun dan 3 bulan. SMS daripada abang pagi tadi mengingatkan aku perihal perkara ini. Tanpa aku sedari hujan di hatiku mula menitis membasahi lantai jiwa yang tandus gersang, merindu kasih sayang dua insan paling berjasa dalam hidupku ini.

Bukan suatu yang sukar bagiku mengimbau kembali kenangan bersama mereka, kerana tiap detik yang ku lalui bersama mereka pasti meninggalkan sisa-sisa memori bersamanya. Aku tak perna lupa pesan dan nasihatnya, kemarahan dan hambatannya, pujuk dan mesranya, belai dan kasih sayangnya kepadaku. Raut wajah yang semakin tua dihadapan mataku, mata yang sayu, tubuh yang semakin layu, semua telah mataku saksikan.

Abah...Insan ini adalah anak kelahiran Tanah Melayu kurnia ALLAH atas perkongsian hidup Abdul Jalal bin Mohd Said dan Siam binti Marjikun, dilahirkan pada Julai 1942 da diberi nama Hairuddin, merupakan anak keempat daripada tujuh adik beradik. Kisah perjalanan hidupnya menempuh kesukaran amat aku hayati, sejak kecil berkerja mengambil upah mengembala lembu dan kambing setelah pulang dari sekolah, tamat pada darjah tujuh dan mengambil keputusan berhenti belajar untuk berkerja menyokong kewangan keluarga. Yang paling sabar dalam segala hal berbanding abang-abangnya yang lain sehingga sanggup membanting tulang mengumpul dana untuk perkahwinan tiga adik-adiknya yang lain walaupun ketika itu dia belum berkahwin lagi. Mulianya hati Abah...

Abah, perih jerihmu membesarkan kami 6 beradik tidak pernah aku terbayang bagaimana suatu hari nanti untuk aku membalasnya, kala emak derita diambang ajal menanggung sengsara, kau setia di sisi menjadi sumber kekuatannya, aku hanya mampu terus menjalankan amanat yang kupikul, belajar menimba ilmu demi masa depan yang masih tak ku pasti. Saat emak pergi menghadap Rabbul Ghafur kau tampak tabah tanpa setitis pun airmata gugur, namun tuhan sahaja yang tahu betapa lebatnya hujan di hatimu yang luhur.

Kau merelakan kepergianku jauh dari sisi mu hanya kerana ingin melihat aku berjaya menggenggam segulung ijazah, namun raut wajahmu menggambarkan betapa jauh disudut hatimu tidak sanggup lagi berpisah. Namun tidak sempat aku buktikannya kau pergi juga menghadap Yang Maha Agung, luluh hancur jiwaku apabila satu-satu pancang yang mengukuh pasak kekuatanku kembali pada fitrah suratan yang tercoret pada lembar takdir. Ingin sahaja aku berundur dari sini tak menoleh lagi, tapi janji ALLAH itu pasti, yang patah akan tumbuh kembali dan yang hilang akan diganti dan kerana itu aku masih setia di sini. Abah, dengan izin-Nya akan kukotakan harapanmu.

Doa dan tahlil kupanjatkan agar kau tenang di Barzakh sana...Selamat Hari Bapa hanya untukmu Abah, aku mengerti hidup tak selalunya indah, langit pula tak selalu cerah, Ya Allah, kau berikanlah aku kesabaran jiwa, kurniakanlah aku ketabahan hati, hadiahkanlah aku keteguhan iman, supaya aku tak rapuh dipukul ribut amarah, tak luruh dihentam badai nafsu, tak runtuh di terjah musuh abadi. Jadikan ia penguat segala sendi untuk aku BERJALAN, penyuluh jalan supaya aku dapat MELIHAT, dan sebagai lantera yang menerang jiwa dan minda untuk aku MENTAFSIR....

No comments: