Friday, June 26, 2009

UNTUNG ATAS ANGIN YANG HARAM


Bismillahirrahmanirrahim...
kalimah mulia pembuka bicara, mengubat hati luka, merawat jiwa lara.

Alhamdulillah...
lafaz kesyukuran setinggi-tingginya buat Tuhan Semesta Alam, walau tak terzahir pada lisan, tetap bergema di ruang hati yang dalam. Selawat dan salam buat qudwah hasanah sepanjang zaman, Nabi Muhammad S.A.W, para Sahabat R.A, tabi'in, tabi' tabi'in. Doa kesejahteraan dipanjatkan buat para pejuang Islam yang sudah kembali kerahmatullah dan yang masih melata di bumi ALLAH ini.

Assalamu'alaikum W.B.T kawan-kawan, adik-adik Klang High School (KHS) moga anda semua dalam sihat-sihat sahaja dan terus bersemangat untuk mengejar cita dan cinta kerana ALLAH S.W.T.

Menyingkap keunggulan peribadi dua Umar (Umar al-Khattab dan Umar Abdul Aziz) dalam mentadbir kerajaan dan menguruskan ekonomi negara amat patut dicontohi umat Islam pada sepanjang zaman, penulisan kali ini bukan hendak bercerita tentang bagaimana tokoh-tokoh ini melaksanakan kerja mereka, tetapi lebih kepada pembukaan minda mereka yang sedia ada celik ataupun yang masih ketiduran, suka mengambil untung atas angin walaupun atas niat kebajikan dan kemaslahatan.

"Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain dengan jalan yang batil, dan (janganlah) kamu membawa urusan harta itu kepada hakim, supaya kamu memakan sebahagian harta benda orang lain dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui". (Surah al-Baqarah ayat 188)

"Suatu hari Rasulullah S.A.W malalui di hadapan seorang lelaki yang sedang menjual makanan (bijian). Baginda amat mengaguminya, kemudian memasukkan tangan ke dalam tempat makanan itu, apabila dilihatnya makanan itu nampak basah, maka bertanyalah Baginda: 'apa yang dilakukan oleh pemilik makanan ini?' Dia menjawab : 'Kena hujan'. Kemudin Rasulullah S.A.W bersabda: 'Mengapa kamu tidak meletakkan yang basah itu di atas supaya orang lain mengetahuinya?' Barang siapa menipu, bukanlah mereka dari golongan kami (Islam)." (Riwayat Muslim)

Berdasakan ayat al-Quran dan Hadith di atas, izhar dinyatakan dan tiada apa yang perlu diungkaikan lagi, bagi mereka yang berpegang teguh pada Prinsip Islam, pastinya pengajaran ini diamalkan dalam segenap aspek kehidupan, namun sealiti kini merupakan ironi yang patut diperbetulkan supaya keindahan Islam terzahir pada hijab-hijab mata manusia supaya mereka dapat melihat apa sebenarnya keindahan Islam (posting kali ini lebih pada hal etika Muamalah). Disertakan bersama beberapa contoh realiti yang mungkin kita sendiri pernah melakukannya namun tidak pernah kita ambil pusing. Kerana apa? Mungkin kerana kita menganggap tindakan kita betul dan tepat atas niat memperoleh lebihan dana untuk tujuan kebajikan. Apa yang penting 'NIAT TIDAK MENGHALALKAN CARA'.

MENCIPTA "QUOTATION" SENDIRI.
individu atau organisasi yang dipertanggungjawabkan atau diberi kuasa untuk memilih kontraktor mereka, namun quotation itu diubah malah dicipta sendiri untuk dijadikan bukti semata-mata ingin mengambil lebihan wang tajaan atau peruntukan.

MENAIKKAN HARGA
individu atau organisasi mencari barangan mentah untuk sebarang tujuan, Apabila barangan mentah sudah diperolehi misalannya pada harga RM1200 namun penyataan pada bukti pembelian (resit) dinaikkan kepada RM1500 atau (apa-apa sahaja nilai yang melebihi asal walaupun 1 sen) lalu lebihan tadi diambilnya.

TUNTUTAN PALSU
individu atau organisasi berpakat dengan pembekal untuk meletakkan sebut harga yang tinggi namun pembelian pada harga yang lebih rendah berbeza dari jumlah tertera dan membuat tuntutan kepada syarikatnya atau penajanya dengan harga tinggi.

RESIT CIPTAAN
individu atau organisasi membeli barangan untuk kegunaan individu atau organisasi dari sebuah kedai, bagi meraih keuntungan, pihak tidak bertanggungjawab telah mencipta resit sendiri beserta cop palsu.

Semua contoh di atas telah disepakati oleh para ulama' hukumnya HARAM kerana menglibatkan diri dalam penipuan dan memakan harta secara batil walaupun untuk tujuan kebaikan kerana wang yang haram tiada keberkatan padanya lebih-lebih lagi disumbangkan pada hal-hal kebajikan dan seterusnya menjadi darah daging yang akan menjadi bahan bakar di neraka ALLAH S.W.T. Konsep muamalah yang cacat ini tidak jauh beza dengan konsep 'money laundering', yang jelas HARAM di sisi syara'.

Maka apa 'stand' kita dalam mempertahankan penyataan terhadap mumalat cacat yang telah kita amalkan itu? 'Yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas'. Kembalikan suatu pada yang hak kerana meletakkan suatu bukan pada tempatnya bermakna zalim. bukankah kita ini sebaik-baik manusia yang dilahirkan kedunia, menyeru kepada kebajikan dan mencegah kemungkaran, dan beriman kepada ALLAH S.W.T.

jadilah individu atau organisasi yang berkat, setiap masa mestilah komited dengan kejujuran kerana kejujuran membuka pintu berkat. Tidak memanfaatkan peluang untuk memanipulasi serta tidak lalai beribadah. mudah mudahan kita sentiasa BERJALAN di bawah lembayung rahmat-Nya, MELIHAT dan menyusuri sirah tokoh Islam, supaya kita mudah menghadam dan MENTAFSIR serterusnya mengamalkannya untuk menaikkan Islam seluruhnya.

"seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit, "Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku..." sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram. Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram, maka bagaimana Kami mahu memakbulkan doanya?" (Riwayat Muslim)

Sekian dahulu, renung-renungkan dan selamat beramal...

p/s: Dipetik dan diolah daripada Untung atas angin yang HARAM karya Ustaz Zaharuddin Abd Rahman (majalah solusi keluaran jun)

No comments: