Sunday, September 7, 2008

Pelaburan dari perspektif Islam

Dunia arus perdana hari ini mengalir pesat, keperluan terhadap pengurusan dana menjadi suatu kemestian, soalnya bagaimana kita mengurus dan di mana kita mengurus? Terdapat pelbagai alternatif dalam pengurusan dana, sama ada melalui pelaburan unit amanah, mata wang, unit saham, yang diurus secara Islam mahupun konvensional. Umat Islam amat digalakkan untuk membuat pelaburan melalui saluran yang telahpun digariskan halal oleh syara’ kerana ia ukan sahaja menjamin kebersihan dana, malah ia juga menjamin kebersihan dalam setiap proses putaran dana itu, bebas daripada sebarang unsur riba , gharar, maisir, himar dan sebagainya yang ditegah oleh syariat. Semoga apa yang kita usahakan ini dapat menjamin kebahagiaan kita di dunia dan kejayaan di akhirat berkat harta yang halal dan diredhai Allah s.w.t. Apa yang saya ingin ketengahkan pada penulisan ini ialah apakah dia pelaburan dalam perspektif Islam, yang mana membincangkan secara sistematik pelaburan seperti apakah yang telah digariskan oleh syara’ dan pelaksanaannya.

Dalam pelaburan Islam, terdapat beberapa prinsip yang perlu didahulukan sebelum pasti pelaburan itu benar-benar mengaplikasikan syariat atau tidak. Prinsip yang pertama ialah prinsip kebenaran. Betul dalam setiap tindakan, sentiasa memastikan setiap aktiviti muamalat yang dijalankan adalah benar, tepat dan sah dalam setiap perkara , jujur, tidak menipu dan membuat sesuatu yang tidak betul dari segi undang-undang atau kehendak masyarakat. Prinsip ini adalah satu tanggungjawab bagi setiap individu muslimsebagai mana firman Allah di dalam al-Quran yang mana maksudnya:

“Hai orang-orang beriman! Patuhlah kepada Allah dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar!” (At-Taubah: ayat 119)

“(Dengan itu) Allah akan menyiksa lelaki dan perempuan yang beriman palsu, dan lelaki dan perempuan yang mempersekutukan Tuhan. Allah menerima taubat lelaki dan perempuan yang beriman, dan Allah itu pengampun dan penyayang.”
(Al-Ahzab: ayat 73)

Setiap muslim perlu benar dalam setiap urusan seperti percakapan, perjanjian, penulisan, penghantaran, kenyataan, pertemuan dan pelbagai lagi.
kemudian prinsip amanah. Amanah adalah prinsip akauntabiliti kepada Allah. Dalam aktiviti muamalat juga, manusia perlu menunaikan tanggungjawab amanah sesama manusia, organisasi, masyarakat dan kerajaan. Kepentingan amanah ini telah Allah sebutkan dalam al-Quran, lebih kurang maksudnya:

“Hai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu berkhianat kepada Allah dan Rasul, dan juga jangan berkhianat kepada amanat-amanat yang dipercayakan kepada kamu sedang kamu mengetahui.” (Al-Anfal: ayat 27)

Yang ketiga prinsip keikhlasan. Dalam menjalankan pekerjaan dan perniagaan, seorang itu perlu ikhlas & bersungguh, tidak boleh bermuka-muka, menipu dan sebagainya. Ikhlas dapat mewujudkan kecekapan dan peningkatan dalam produktiviti, mengelakkan manipulasi hak orang lain. Allah akan memberikan ganjaran yang tinggi kepada orang yang ikhlas sementara manusia juga akan suka dan kasih kepadanya.

“Dan mereka hanya diperintahkan supaya menyembah Allah dengan tulus ikhlas beragama untuk Allah semata-mata, berdiri lurus mengerjakan sembahyang, membayarkan zakat dan itulah agama yang betul.” (Al-Bayyinah: ayat 5)

Yang kelima prinsip persaudaraan, Islam menganggap semua manusia itu bersaudara. Prinsip ini harus diamalkan oleh seorang ahli perniagaan terhadap pekerjanya, pelanggan dan orang awam. Perhubungan baik yang terjalin akan dapat mewujudkan suasana damai dan harmoni yang seterusnya menjauhkan sifat dengki sesama sendiri. Allah berfirman dalam al-Quran:

“Dan berpegang eratlah kamu sekalian dengan tali Allah, dan janganlah berpecah belah. Ingatlah kurnia Allah kepada kamu, ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, lalu dipersatukannya hati kamu (dalam agama Allah) sehingga dengan kurnia Allah itu, kamu menjadi bersaudara. Dan kamu dahulu berada di tepi lobang neraka, maka dilepaskan Allah daripadanya. Begitulah Allah menjelaskan keterangan-keteranganNya kepada kamu supaya kamu menurut jalan yang benar.” (Al-Imran: ayat103)

Kemudian prinsip pengetahuan. Prinsip ini menuntut setiap aktiviti manusia adalah berdasarkan ilmu. Seseorang itu perlu berpengetahuan dan mahir dalam setiap kerja yang dilakukan (sekarang disebut Knowledge Worker). Ia menjadi prinsip asas dan tanggungjawab setiap individu dalam melakukan pekerjaan. Kepentingan ilmu banyak sekali disentuh dalam Al-Quran malahan wahyu yang pertama yang diturunkan kepada Rasulullah menyentuh tentang ilmu sepertimana. Firman Allah yang bermaksud:

“Bacalah dengan nama Tuhan engkau, yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah! Dan Tuhan engkau itu Maha Pemurah. Yang mengajarkan dengan pena. Mengajarkan kepada manusia apa yang belum diketahuinya.” (Al-Alaq: ayat 1-5)

Dan yang terakhir prinsip keadilan. Prinsip keadilan adalah prinsip asas dalam setiap muamalat. Islam amat mementingkan isu keadilan dalam setiap perkara. Allah memerintahkan manusia sentiasa berlaku adil dlm setiap urusan muamalat. Keadilan bermaksud setiap orang mesti diperlakukan sesuai dgn apa yg sepatutnya (meletakkan sesuatu pada tempatnya), tanpa diskriminasi. Ia diperlukan terutama dalam perletakan harga, kualiti pengeluaran, layanan kpd pekerja, persekitaran dan keputusan perniagaan, sebagai mana firman-Nya:

“Sesungguhnya Allah memerintahkan keadilan, berbuat kebaikan dan memberi kepada kerabat-kerabat, dan Tuhan melarang perbuatan keji, perlanggaran dan kedurhakaan. Dia mengajari kamu supaya kamu mengerti.” (An-Nahl: ayat 90)

Menurut perspektif Islam, pelaburan merupakan aktiviti menukarkan suatu harta (lazimnya wang tunai) dengan harta lain (seperti saham syarikat, akaun simpanan, insuran, hartanah) yang juga disebut penanaman modal pada sesuatu waktu atau sekarang dengan jangkaan untuk mendapatkan pulangan yang positif atau keuntungan pada masa akan datang setelah membuat perkiraan akan risiko bagi setiap aktiviti pelaburan tersebut. Aktiviti pelaburan melibatkan unit lebihan dan kurangan dalam masyarakat. Unit lebihan akan melabur kepada unit kurangan bagi mendapatkan keuntungan bagi kedua belah pihak (Mudharabah). Aktiviti ini memang digalakkan oleh Islam kerana adanya prinsip tolong-menolong dan kecairan harta yang dimiliki oleh pihak yang kaya atau unit lebihan. Islam amat tidak menggalakkan harta-harta beku (idle money) yang tidak digunakan bagi kehidupan manusia. Allah amat suka kepada penggunaan rezeki yang diberikannya secara optimum untuk menghasilkan sumber rezeki kepada manusia untuk kehidupan mereka di dunia.

Pelaburan perniagaan merupakan suatu aktiviti yang dijangka akan mendatangkan hasil kepada pihak yang melabur. Bagi mendapat keredhaan Tuhan, sesuatu aktiviti pelaburan itu mestilah menepati hukum syariah. Penetapan ini akan berasaskan Al-Qur’an dan Al-Sunnah, Ijmak, Ijtihad dan Qiyas.

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu.” (An-Nisa’: ayat 29)

Lima prinsip utama sebagai panduan untuk membuat pelaburan. Sekiranya terdapat salah satu dari prinsip-prinsip berikut tidak dipenuhi maka pelaburan itu adalah tidak sah dari awal atau kontrak itu terbatal.Yang pertama, tidak melabur dalam aktiviti perniagaan yang diharamkan oleh syarak. Yang kedua, tiada jaminan terhadap keuntungan. Ketiga, tiada wujud unsur gharar (ketidakpastian) atau elemen perjudian. Keempat, tiada unsur paksaan dalam keputusan membuat pelaburan.Kelima, tidak terlibat dalam riba. Hujah ini dikuatkan lagi dengan dalil-dalil seperti berikut:

“Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah: Pada kedua-duanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar dari manfaatnya.” (Al-Baqarah : 219)

Dari Abu Hurairah: ‘ Rasulullah (s.a.w) melarang jual-beli gharar.’ (Riwayat Muslim)

Hukum melabur di sesuatu syarikat menurut Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qiyas, telahpun dibahaskan dan disusun oleh ulama’ mutaakhirin. Dan bagi memudahkan proses ini, terdapat juga kaedah-kaedah fiqh yang boleh digunakan bagi menentukan status sesuatu aktiviti.

Prinsip asal sesuatu perkara itu harus - Pada asasnya, hukum bagi semua perkara adalah harus kecuali ada dalil yg menetapkan hukum itu sebaliknya. Dapat merumuskan bahawa mana-mana aktiviti perniagaan yang tidak dinyatakan pengharamannya oleh hukum syarak adalah halal dan harus dilakukan.

Kaedah kontrak dan syarat mengikut apa yang dipersetujui - Menerusi kaedah ini, syarat-syarat yang terkandung dalam kontrak perniagaan akan diteliti untuk mengenalpasti sama ada ia menepati hukum syarak atau sebaliknya.

Prinsip keredhaan berkontrak - Tujuan kontrak adalah untuk menyatakan dengan jelas akan tanggungjawab pihak-pihak yang berkontrak. Oleh yang demikian pihak-pihak berkontrak mesti memahami butiran dalam kontrak perniagaan dan dengan demikian barulah wujud persetujuan dan keredhaan berkontrak. Kandungan kontrak perlu memberi keadilan kepada pihak-pihak berkontrak.

Prinsip ‘Uruf Khas - Ada kalanya, wujud sesuatu perkara yang baru dalam perniagaan. Sekiranya masyarakat memandang perkara itu sebagai suatu kebiasaan dan keperluan yang tidak mendatangkan mudharat, maka harus diterima ‘uruf tersebut selama mana ia tidak bertentangan dengan hukum syarak. Sesungguhnya adat juga merupakan satu sumber hukum.

Prinsip syariah yang utuh - Apabila wujud keadaan yang tidak jelas atau keraguan, maka kita harus kembali semula kepada hukum syariah dan penentuan hukum boleh ditelitikan oleh pakar-pakar syariah.

Prinsip Darurat menghalalkan yang terlarang - Kaedah ini menggunakan prinsip sesuatu perkara yang menjadi halangan boleh menjadi neutral dalam keadaan darurat. Dalam keadaan tertentu sahaja seperti keadaan darurat, hajat dan tahsiniyat, apabila alternatif yang ada juga lebih memudharatkan, maka keharusan telah wujud setakat keperluan itu sahaja dan tidak melampaui batas.

Prinsip menghilangkan kemudharatan - Kaedah ini adalah berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Tidak memudharatkan dan tidak dimudharatkan.” Mengikut kaedah ini, sesuatu tindakan yang dilakukan tidak akan memudharatkan diri sendiri dan juga pihak yang satu lagi.

Demikianlah betapa indahnya Allah menyusun dan mengatur urusan dalam agama-Nya, segalanya tampak lancar dan sempurna. Segala garis panduan dan pelaksanaan pelaburan dalam perspektif Islam mestilah diikuti supaya kita mendapat keredhaan dan keberkatan dalam setiap unit harta dan tenaga yang kita laburkan, kerana kita akan disoal di hari akhirat, hari dimana tiada sebarang pertolongan melainkan beratnya timbangan amalan kebajikan kita dan syafaat daripada Rasulullah s.a.w. Yakinlah kita dihujungnya hanya ada syurga dan neraka dan entah ke mana kita akan ditempatkan-Nya nanti. Wallahu a’lam.

No comments: