Monday, September 8, 2008

Semalamku 1

Ramadhan, sudah seminggu berlalu, namun aku masih begini, terlalu banyak masa yang masih dipersiakan, tidur, tidur, dan tidur. amal ibadah entah ke mana. Ahmad menegurku kerana tidak menghadiri kelas tahsin al-Quran, rugi rasanya melayan tidur kerana En. Rushdan sudah menjemput seorang huffaz dari semenanjung semata-mata mahu menyampaikan ilmu al-Quran yang sememangnya menjadi keperluan setiap Muslimin malah mungkin boleh dikatakan kewajipan.

Petang semalam merupakan hari keluarga masyarakat kampus, anjuran Badan Dakwah dan Kerohanian universiti aku. Pertama kali memasak bubur berobok dan sanggar papek, nama pelik tapi rasanya sedap.

Hmmm...kata-kata Ahmad kembali menjengah ruang minda.

"Sekarang ni agak kurang orang yang mahu belajar ilmu Tajwid dan al-Quran, tengok sajalah, kelas al-Quran pagi tadi, berapa kerat saja muslimin yang hadir, muslimat ramai juga. Sepatutnya muslimin yang akan menjadi pemimpin keluarga, imam solat mestilah lebih berasa utamanya belajar semua ni. tapi petang tadi ramai betul yang turun bantu memasak."

Terpukul sungguh aku mendengar kata-kata Ahmad, kadang-kadang kita sibuk di sini membangunkan blog kita dengan ayat-ayat tarbiyyah, menguntai kata-kata perjuangan, namun ibadah fardhiyyah kita masih lagi kurang diusahakan untuk diperkukuh tapaknya. Terkadang sanggup kita utamakan perkara kedua dan ketiga berbanding 'Yang Maha Pertama'

Dan subuh ini masih seperti sebelumnya, bangun sahur segar bugar sahaja tubuhku, namun ke masjid subuh berjamaah tak terlaksana, tewas di ranjang nafsu tidur membelenggu. Subuh sendirian lagi....

Nampaknya aku masih perlu Berjalan, Melihat, dan Mentafsir kehidupan harianku agar hari ini lebih baik dari semalam.

No comments: