Sunday, September 7, 2008

SEJARAH DAN PERKEMBANGAN ILMU USUL FIQH

Pada zaman Rasulullah S.A.W., hukum-hukum diambil dari wahyu (al-Quran) dan penjelasan oleh baginda (as-Sunnah). Segala masalah yang timbul akan dirujuk kepada Rasulullah S.A.W. dan baginda akan menjawab secara terus berdasarkan ayat al-Quran yang diturunkan atau penjelasan baginda sendiri. Namun, terdapat sebahagian Sahabat yang tidak dapat merujuk kepada Nabi lantaran berada di tempat yang jauh daripada baginda, misalnya Muaz bin Jabal yang diutuskan ke Yaman. Baginda membenarkan Muaz berijtihad dalam perkara yang tidak ditemui ketentuan di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Setelah kewafatan baginda Rasulullah S.A.W, Ilmu usul fiqh ini seterusnya dibangunkan oleh golongan para sahabat yang dipercayai oleh baginda Rasulullah S.A.W. mereka mampu mengistinbat hokum terus daripada al-Quran dan as-Sunnah kerana mempunyai tahap penguasaan bahasa arab yang baik, mempunyai pengetahuan tentang sabab al-nuzul dan sabab al-wurud, selain itu mereka juga merupakan para perawi hadith. Hal ini menjadikan para Sahabat mempunyai kepakaran yang cukup untuk mengistinbatkan hukum-hukum. Mereka menetapkan hukum dengan merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah. Sekiranya mereka tidak menemui sebarang ketetapan hukum tentang sesuatu masalah, mereka akan berijtihad dengan menggunakan kaedah qias. inilah cara yang dilakukan oleh para mujtahid dalam kalangan para Sahabat seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar bin al-Khattab, Saidina Uthman bin Affan dan Saidina Ali bin Abu Talib. Sekiranya mereka mencapai kata sepakat dalam sesuatu hukum maka berlakulah ijma'.

Pada zaman para tabi’in, cara ulama' mengambil hukum tidak jauh berbeza dengan zaman Sahabat kerana jarak masa mereka dengan kewafatan Rasulullah S.A.W. tidak terlalu jauh. Yang membezakannya ialah sekiranya sesuatu hukum tidak terdapat dalam al-Quran, as-Sunnah dan al-Ijma', mereka akan merujuk kepada pandangan para Sahabat sebelum berijtihad. Oleh sebab itu idea untuk menyusun ilmu Usul al-Fiqh belum lagi muncul ketika itu. Inilah cara yang digunakan oleh para mujtahid dalam kalangan tabi'in seperti Sa'id bin al-Musayyib, 'Urwah bin az-Zubair, al-Qadi Syarih dan Ibrahim an-Nakha'i.

Ilmu Usul Fiqh tumbuh bersama-sama dengan ilmu Fiqh, meskipun ilmu Fiqh dibukukan lebih dahulu daripada ilmu Usul Fiqh. Kerana dengan tumbuhnya ilmu Fiqh, tentu adanya kaedah yang dipakai untuk menggali ilmu tersebut. Dan kaedah ini tidak lain adalah Usul Fiqh.Pada akhir Kurun Kedua Hijrah, keadaan umat Islam semakin berubah. Bilangan umat Islam bertambah ramai sehingga menyebabkan berlakunya percampuran antara orang Arab dan bukan Arab. Kesannya, penguasaan bahasa Arab dalam kalangan orang-orang Arab sendiri menjadi lemah. Ketika itu timbul banyak masalah baru yang tiada ketentuan hukumnya dalam al-Quran dan as-Sunnah secara jelas. Hal ini menyebabkan para ulama' mula menyusun kaedah-kaedah tertentu yang dinamakana ilmu Usul al-Fiqh untuk dijadikan landasan kepada ijtihad mereka dan Ilmu Usul al-Fiqh ini disusun sebagai satu ilmu yang tersendiri di dalam sebuah kitab berjudul ar-Risalah karangan al-Imam Muhammad bin Idris as-Syafie. Kitab ini membincangkan tentang al-Quran dan as-Sunnah dari segi kehujahan serta kedudukan kedua-duanya sebagai sumber penentuan hukum.

Antara skop perbahasan dalam ilmu Usul al-Fiqh ialah dalil-dalil syarak; merangkumi dalil-dalil yang disepakati dan dalil-dalil yang tidak disepakati. Dilalah; merangkumi kaedah-kaedah istinbat hukum dari nas-nas al-Quran dan as-Sunnah. Ta'arudh dan Tarjih; perbahasan tantang percanggahan antara dalil-dalil serta Jalan jalan penyelesaiannya. Ijtihad dan Mujtahid; merangkumi persoalan taqlid dan muqallid. Hukum-hukum Kulli; merangkumi hukum-hukum taklifi dan hukum wad'ie.

Selepas al-Imam as-Syafi'e, terdapat ramai ulama' yang menulis ilmu Usul al-Fiqh. Cara penulisan ini terbahagi kepada tiga, iaitu Tariqah al-Mutakallimin, Tariqah al-Ahnaf , dan Tariqah al-Muta'akhirin. Cara penulisan Tariqah al-Mutakallimin juga dikenali sebagai Tariqah Syafi'iyyah kerana cara ini dipelopori oleh ulama' Mazhab Syafi'e. Di dalam cara ini, mereka membuat kaedah-kaedah Usul al-Fiqh dan mengukuhkannya dengan dalil-dalil naqli dan 'aqli. Kemudian, kaedah-kaedah ini dibuat dasar dalam menyelesaikan masalah fiqh yang timbul. Namun, mereka tidak memasukkan masalah fiqh dalam penulisan mereka, sebaliknya dibiarkan berasingan dalamk kitab-kitab fiqh. Cara penulisan Tariqah al-Ahnaf turut dikenali sebagai Tariqah al-Fuqaha'. Menurut cara ini, kaedah-kaedah Usul al-Fiqh dibuat berdasarkan hukum-hukum yang telah diputuskan oleh Imam-Imam mazhab mereka. Kaedah-kaedah tersebut akan dipastikan selaras dengan apa yang telah diputuskan dan sekiranya tidak, kaedah-kaedah tersebut akan diubah suai oleh mereka. Disebabkan itu, didapati banyak masalah fiqh yang dimasukkan dalam kitab-kitab yang ditulis mengikut cara ini. Cara penulisan Tariqah al-Muta'akhirin menggabungkan cara penulisan Tariqah al-Mutakallimin dan Tariqah al-Ahnaf. Cara ini kemudiannya diikuti oleh ulama' dari berbagai-bagai mazhab seperti Mazhab Maliki, Mazhab Syafi'e dan Mazhab Hanbali.

No comments: