Saturday, September 20, 2008

Tiga Golongan Manusia Berpuasa..

Pertama, mereka berpuasa kerana sedar dan insaf perintah Allah yang diwajibkan keatasnya. Dia malu untuk meninggalkan puasa itu kerana sedar Allah telah memberi terlalu banyak rahmat kepadanya, dan dia juga malu kepada manusia beriman yang lain yang berlapar serta dahaga sehari suntuk kerana Allah Subhanahu wataala. Dengan kata lain ...mereka berpuasa kerana malu terhadap Allah dan manusia.Mereka berpuasa kerana semata-mata patuh dan taat kepada perintah Allah. Golongan ini akan sentiasa berhati-hati menjaga puasanya dari perkara yang membatalkan ibadatnya. Mereka bukan sahaja menjaga puasanya itu dari makan dan minum bahkan setiap tindak tanduk, perbuatan anggota, budi bicara, gerak hati serta lintasan fikiran sentiasa dikawal supaya tidak melakukan perkara yang membawa keburukan.

Mereka berasa malu kepada Allah sekiranya puasa mereka itu tidak sempurna. Hati mereka sentiasa bimbang jika puasa mereka tidak diterima Allah apabila selesai saja waktu berbuka. Malu mereka kepada Allah menebal kerana pelbagai nikmat yang telah dikurniakan kepada mereka selama ini dirasakan tidak setimpal dengan ketaqwaannya kepada Allah. Oleh kerana itu..dimana-mana sekali pun..sama ada di depan manusia atau bila bersendirian.mereka akan tetap memelihara puasa..kerana mereka yakin akan sabda Rasulullah S.A.W " Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatnya. Walaupun engkau tidak dapat melihatnya, sesungguhnya ketahuilah bahawa Dia dapat melihat engkau"

Golongan kedua..mereka berpuasa semata-mata kerana malu kepada manusia tetapi tidak kepada Allah. Golongan ini biasanya berpuasa kerana malu kepada manusia lain yang berpuasa dan kerana ingin menunjuk-nunjuk atau riak. Mereka berasa bangga apabila dia dikatakan seorang yang rajin dan suka berpuasa. Tetapi jika tidak ada orang yang memujinya...semangat untuk berpuasa akan luntur dan hilang. Biasanya orang seperti ini hanya berpuasa di hadapan khalayak ramai. Tetapi bila berseorangan di rumah atau di kawasan terpencil, dia akan berbuka. Iman golongan ini belum mencapai darjat "Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatnya, walaupun engkau tidak dapat melihatnya, sesungguhnya dia dapat melihat engkau".

Sikap golongan ini sebenarnya mereka tidak amanah dengan Allah..dan lebih-lebih lagi..terhadap diri sendiri. Golongan ini termasuk dalam firman Allah yang bermaksud "Mereka menipu Allah dan orang yang beriman. Padahal tidaklah mereka itu menipu melainkan diri mereka sendiri, sedangkan mereka tidak sedar."

Golongan ketiga, mereka langsung tidak berpuasa kerana tidak malu kepada manusia. Apatah lagi Allah yang Maha Melihat. Golongan inilah yang paling hina di sisi Allah. Sebenarnya mereka tidak berpuasa kerana tidak mempunyai iman dan tidak malukan Allah dan juga manusia yang berpuasa. Mereka ini tidak segan silu untuk makan di khalayak ramai seolah-olah bulan puasa sama saja dengan bulan-bulan yang lain. Lebih jahil lagi apabila golongan ini menuduh orang yang berpuasa sebagai bodoh dan menyiksa diri sendiri. Mereka berasa seolah-olah pada masa itu mereka bukan termasuk dalam golongan orang Islam. Tetapi yang peliknya apabila saat hari raya. Golongan inilah yang lebih dulu membuat persiapan untuk menyambut hari raya. Padahal sebelum itu mereka sanggup mencemuh agama dan orang yang berpuasa dengan bermacam-macam cemuhan.

Semua ini terjadi kerana perasaan malu sudah tidak ada dalam diri mereka. Apabila perasaan malu ini sudah tidak wujud dalam diri mereka, mereka sanggup melakukan apa saja yang dikehendaki sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W "Jika engkau tidak mempunyai malu perbuatlah apa yang engkau suka"

No comments: